Nisab Zakat Semasa RM 14,082.56

PROGRAM WORLD QURAN HOUR

KUANTAN 7 Jun – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang turut sama menyambut Program World#QuranHour (WQH) yang diadakan serentak di seluruh dunia pada hari ini jam 12 tengahari hingga 1 petang di Ibu Pejabat Pusat Kutipan Zakat Pahang melibatkan semua pegawai dan kakitangan.

Program anjuran Kumpulan Media Karangkraf dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang telah memasuki edisi ketiga ini diadakan di lokasi utama iaitu di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM turut dihadiri oleh KDYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

Selain lokasi di UIAM, program yang sama turut diadakan di lebih 2,000 hotspot di seluruh Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, “Semoga program murni yang dianjurkan ini dapat diterapkan oleh semua kakitangan PKZ untuk menjadikan bacaan Quran ini sebagai budaya harian dan sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan usaha murni ini. Semoga usaha ini diberkati Allah.”

TUANKU YDP MUIP BERZAKAT

KUANTAN. 5 Jun 2018 bersamaan 20 Ramadan 1439H

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menunaikan kewajipan zakat baginda, apabila baginda membayar zakat harta dan zakat fitrah di Istana Abdulaziz pada hari ini.

Bayaran zakat harta baginda itu diterima oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Yang Hormat Dato’ Haji Halidan bin Md Daud.

Manakala zakat fitrah baginda pula diterima oleh Amil Masjid Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Ustaz Aziz bin Haji Salleh.

SERAHAN ZAKAT KORPORAT

05 Jun 2018 bersamaan 20 Ramadan 1439H

Istana Abdulaziz, Bukit Istana Pahang

Segala puji dan syukur kehadrat Allah S,W.T di atas limpah rahmatNya, 6 badan korporat dengan jayanya telah menunaikan fardhu zakat bagi suku tahun kedua 2018.

Majlis penyerahan zakat tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Al-MUsta’in Billah bertempat di Istana Abdulaziz, Bukit Istana Kuantan.

Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, YDH Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, dan YH Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud.

Berikut adalah badan-badan korporat yang telah menyerahkan zakat tersebut:
1. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad telah menyerahakan zakat sebanyak RM 1,323,049.00
2. Tenaga Nasional Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM 1,076,880.37
3. Maybank Islimic Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM 864,241.96
4. FOMEMA Sdn Bhd telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM 168,178.23.
5. Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM 148,632.53
6. Celcom Axiata (M) Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM 113,151.00.

Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua badan korporat tersebut kerana telah melaksanakan ibadah zakat serta semua muslimin dan muslimat.

Semoga kita semua sentiasa dirahmati ALLAH SWT. Sentiasa. Amin.

PUSAT KUTIPAN ZAKAT (PKZ) PAHANG BERSAMA MERAIKAN ANAK YATIM DI ATAS KAPAL KD PAHANG

24 Mei 2018 – Untuk julung-julung kalinya PKZ Pahang bersama-sama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang Kuantan telah meraikan 38 orang anak-anak yatim daripada Perumahan Anak-Anak Yatim Permata Camar (Permata Camar) dan Maahad Bahasa Dan Ilmu Al-Quran (MaBIQ) menjalani ibadah berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di atas kapal KD Pahang sambil merasai pengalaman meredah Laut China Selatan.

Program yang dinamakan program Jelajah Ramadhan ini memuatkan pelbagai aktiviti antaranya lawatan menerokai kapal KD Pahang yang merupakan aset utama bagi Mawilla Satu. Kemudian disusuli dengan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti tazkirah Ramadhan, solat berjemaah dan solat tarawih di atas dek kapal.

Di samping itu, turut diadakan rakaman Takbir Raya Aidilfitri dan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang terlibat. Program tersebut telah dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengarah RTM Pahang Puan Norbaiyah bt Dato’ Borhanuddin dan Panglima Markas Wilayah Laut Timur I Laksamana Muda Dato’ Mohamad Adib bin Abdul Samad.

Pihak PKZ Pahang merakamkan ucapan terima kasih kepada RTM Pahang dan TLDM selaku penganjur utama program serta anak-anak yatim yang turut mengimarahkan program tersebut

WANITA CELIK ZAKAT

Gambang, Kuantan – 2 Mei 2018 Bersamaan 16 Syaaban 1439H.

Satu slot kesedaran untuk menambahkan lagi pengetahuan dengan Rukun Islam Ketiga iaitu zakat telah disampaikan khusus kepada wanita di dalam Seminar Wanita Profesional : Kerjaya dan Keluarga” anjuran Universiti Malaysia Pahang(UMP) bertempat di Arabian Bay, Bukit Gambang Resort.

Slot yang berlangsung selama sejam bermula pada jam 9 pagi sehingga 10.00 pagi telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Azmi Bin Haji Othman selaku Pengurus Zon Timur, Pusat Kutipan Zakat Pahang(PKZ Pahang) yang dihadiri kira-kira 40 orang peserta wanita yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kerjaya.

Menyahut inisiatif Kebangsaan iaitu Tahun Memperkasakan Wanita 2018, pihak PKZ Pahang mengambil peluang ini untuk berkongsi pengetahuan agar dapat menjadikan peserta wanita ini celik dan tidak ketinggalan dalam mengetahui maksud, penghayatan dan kaedah kiraan terkini dalam pengiraan zakat.

Sehubungan itu, produk-produk aplikasi telefon pitar terkini daripada PKZ Pahang seperti Bizzakat, Zakatchat dan ZakatKlik juga didedahkan kepada peserta dalam usaha mendidik pengguna agar menggunakan aplikasi-aplikasi ini sebagai kemudahan untuk berzakat dalam kehidupan seharian mereka.

Mudah-mudahan usaha yang sedkit ini mampu memartabatkan wanita di dalam pengetahuan dan menjadikan mereka berdaya saing di dalam arus perdana kini yang pantas bergerak. Sekiranya anda berminat untuk menjemput kami untuk mengadakan program seumpama ini, sila hubungi 09-5131515(Ibu Pejabat PKZ Pahang).

ZAKAT FITRAH PAHANG KEKAL RM7.00 BUAT TAHUN KE 10

Kuantan – 4 Mei 2018. Majlis Ugama Islam Dan Adat resam Melayu Pahang (MUIP) mengekalkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7.00 berdasarkan harga beras semasa di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Dato’ Seri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan berkata, setelah diperkenankan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kadar zakat fitrah kekal di negeri ini pada RM7.00 untuk tahun ke 10 berturut-turut sejak tahun 2009.

Beliau berkata, semua umat Islam di negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang diberi tauliah oleh MUIP di tempat masing-masing bermula awal Ramadhan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Seramai 914 amil ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat di negeri ini. MUIP juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat secara dalam talian sebagai pilihan kepada umat Islam untuk menunaikan rukun Islam keempat ini,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah negeri di sini hari ini.

Selain itu, beliau menjelaskan jumlah kutipan zakat fitrah pada tahun lalu adalah sebanyak RM7.07 juta melibatkan 1,009,756 pembayar.

Dalam majlis yang sama, beliau juga turut menyampaikan bantuan tahunan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi muallaf dan fakir miskin negeri Pahang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 6,062,450.00 bagi tahun 2018.