PNB SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM9.3 JUTA

 
KUANTAN - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan lebih RM9.3 juta kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata, ia adalah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2012 sehingga 2015.

Menurutnya, zakat perniagaan itu tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang akaun unit amanah yang melabur dalam tabung yang dikendalikan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Pembayaran zakat oleh Kumpulan PNB itu dikira mengikut 'haul' dan 'nisab' yang sudah ditetapkan.

“Pemegang akaun dinasihatkan melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah yang berkenaan,” katanya pada majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah  di Istana Abdulaziz, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Sementara itu, Muip dalam kenyataan berkata, sepanjang 2016 sebanyak RM115.3 juta kutipan zakat harga berjaya dikumpulkan.

Jumlah  tersebut melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM115 juta.

Dalam pada itu,  jumlah pembayar zakat harta pada 2016 adalah sebanyak 80,173 orang berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 81,000.

''Zakat pendapatan dan harta yang dibuat melalui potongan gaji adalah penyumbang terbesar bayaran zakat harta.

 ''Sebanyak RM43.9 juta diterima melalui potongan gaji manakala amaun kedua terbesar adalah daripada zakat perniagaan sebanyak RM39 juta," katanya.

sumber : sinar harian online