Nisab Zakat Semasa RM 15,130.76

berita5mei2017

JANGAN KUTIP , URUS ZAKAT TANPA KEBENARAN MUIP

Kuantan - Mana - mana pihak atau individu bukan dilantik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang dikesan mengutip, mengurus atau mengumpul zakat di negeri ini akan dikenakan tindakan tegas. Timbalan Yang Dipertua MUIP, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan berkata, tahun lalu seorang individu dikesan melakukan aktiviti itu di kawasan kilang Gebeng dan sekolah – sekolah swasta.

Menurutnya, individu terbabit melakukannya untuk negeri lain dan mendapat upah daripada jumlah kutipan tersebut. “Modus operandinya, individu tersebut akan memaklumkan untuk menguruskan potongan gaji bagi bayaran zakat dengan resit rasmi dari pihak berkuasa zakat negeri lain.

“Alasan dan tarikan diberikan ialah negeri terbabit akan mengembalikan sehingga 50 peratus daripada jumlah kutipan, untuk diberikan kepada institusi berkenaan. “Individu itu dalam proses mahkamah apabila didakwa di bawah kesalahan Seksyen 38 dan Seksyen 39 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Telekom Malaysia (TM) Berhad bernilai RM225,141 yang diwakili Pengurus Besar TM Pahang, Encik Zulfikri Hashim di Pejabat Saham Wakaaf MUIp, disini. Menurutnya, pihaknya memberikan peringatan melalui pengumuman di semua masjid di negeri ini bermula April. “Selain itu kita turut edar risalah peringatan untuk ditampal di masjid – masjid dan kepada semua majikan di papan kenyataan syarikat dan agensi masing - masing,” katanya.