Nisab Zakat Semasa RM 14,679.62

MAJLIS AGAMA ISLAM PAHANG AGIH RM100 JUTA ZAKAT SETIAP TAHUN

TEMERLOH. 1 Jun 2017 bersamaan 6 Ramadan 1438H

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat tiba di Masjid Kampung Ketam bersempena Majlis Perasmian Masjid, Penyerahan Zakat, Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Yang Memerlukan dan Berbuka Puasa. Ini adalah merupakan lawatan pertama baginda dalam bulan Ramadan bercemar duli ke daerah-daerah untuk bersama-sama rakyat jelata berbuka puasa dan mengurniakan sumbangan. Baginda diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Baginda bertitah “Selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang selama 34 tahun berasa bersyukur apabila melihat telah banyak peranan yang dimainkan oleh Majlis. Setiap tahun RM100 juta wang zakat diagihkan kepada 8 golongan asnaf dan tahun demi tahun semakin meningkat. Perkara ini menunjukkan peningkatan kesedaran umat Islam berkenaan kewajipan berzakat yang merupakan fardu ain. Baginda menghargai sokongan Ahli-ahli Majlis dan mengharapkan kutipan zakat meningkat tahun demi tahun agar agihan wang zakat dapat dirasa oleh semua 8 golongan asnaf”.

Baginda juga bersyukur dalam majlis pada hari ini terdapat 5 badan korporat akan menyempurnakan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM3,767,928.92 antaranya Tenaga Nasional Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad, Etiqa Takaful Berhad serta Celcom Mobile Berhad. Wakil-wakil badan korporat yang menyerahkan zakat adalah :

i) YBhg. Dato’ Shahruddin Mohd Simin, Pengurus Besar TNB Pahang (RM1,410,335.76)

ii) YBhg. Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (RM1,162,079.00)

iii) YBhg. Encik Nor Shahrizan Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad (RM967,898.16)

iv) YBhg. Encik Ahmad Rizlan Azman, Ketua Pegawai Operasi Etiqa Takaful Berhad (RM120,000.00)

v) YBhg. Encik Saiful Bahrin Abd Ghaffar, Pengarah Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan Celcom Mobile Sdn Bhd (RM107,616.00).

Selain itu juga, baginda bersyukur kerana mendapat sokongan dari pihak Kerajaan Negeri Pahang berkenaan pembinaan dan membaik pulih masjid serta proaktif dalam penganjuran program-program agama. Sebagai ‘Rumah Allah’ yang merupakan tempat beribadah umat Islam, pengurusan sesebuah masjid hendaklah diambil berat. Menjadi tanggungjawab jawatankuasa masjid memastikan dari waktu Subuh hingga qiamullail masjid digunakan dengan sebaik mungkin. Baginda sendiri pada setiap tahun memastikan aku janji oleh imam-imam yang dilantik agar masjid ditadbir dan ditakmir sebaik mungkin oleh imam yang bertauliah, yang dapat menyatukan masyarakat setempat. Mewakili Seri Paduka Ayahanda, baginda berkenan merasmikan Masjid Kg. Ketam dengan menamakannya Masjid Sultan Haji Ahmad Shah. Masjid yang dibina dengan kos RM3.5 juta dapat memuatkan sejumlah 750 orang jemaah.

Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan kepada 600 orang asnaf yang menerima wang tunai berserta hamper daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang berjumlah RM156 ribu. Manakala RM1,000 dikurniakan bagi meraikan 100 orang kanak-kanak yang turut hadir di majlis tersebut.

SUMBER