Nisab Zakat Semasa RM 15,130.76

MAJLIS PENGENALAN APLIKASI BizZakat 2017

JUMAAT , 25 OGOS 2017 Kuantan, PKZ Pahang telah menganjurkan satu majlis 'Pengenalan Aplikasi BizZakat 2017' yang telah disempurnakan oleh Orang Kaya Indera Pahlawan YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

BizZakat adalah satu direktori mudah alih yang menghimpunkan semua kategori perniagaan usahawan yang membayar zakat di Negeri Pahang. BizZakat mengandungi lebih daripada 1000 usahawan dari seluruh daerah di negeri Pahang yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan antaranya Kontraktor, Makanan Minuman,Perkhidmatan, Pertanian Ternakan dan Peruncitan.

Semasa ucapan penyempurnaan perasmian majlis aplikasi ini, Orang Kaya Indera Pahlawan YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Wan Hassan yakin aplikasi BizZakat ini mampu membawa satu perubahan kepada peniaga dalam negeri Pahang secara berterusan. Beliau berkata lagi, tidak mustahil sasaran 5000 perniagaan usahawan dalam negeri Pahang mampu berada di dalam aplikasi ini satu hari nanti dan sekaligus membantu masyarakat awam di negeri Pahang dalam memudahkan urusan harian menerusi carian-carian perniagaan yang diinginkan.

Dalam majlis tersebut juga turut disampaikan anugerah kepada Peniaga yang memenuhi kreteria seperti pembayar istiqomah, pembayar eksklusif serta yang mudah berurusan.

Seluruh warga kerja Pusat Kutipan Zakat Pahang turun padang bagi menjayakan misi pengenalan aplikasi ini kepada pengunjung - pengunjung UTC yang hadir dari pukul 9.00 pagi dan berakhir 5.00 petang.

Beberapa aktiviti diadakan bagi menarik pengunjung UTC mengetahui info berkenaan BizZakat antaranya ialah pengunjung yang memuat turun aplikasi BizZakat diberi kupon untuk layak membuat cabutan bertuah di kemah urusetia. Antara hadiah yang menarik adalah kupon baucer dari ahli BizZakat itu sendiri.

Turut hadir dalam majlis ringkas tersebut adalah Setiausaha MUIP YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang YH Dato’ Haji Halidan Md Daud, Yang Dipertua DPMM Pahang Sdr Yusri Yusof, Pengarah SMECorp, Pengurus PUNB, Pegawai Eksekutif Tekun Kuantan,Wakil Dewan Melayu Perniagaan Pahang,Pengurus UTC Kuantan dan pegawai kerajaan serta beberapa agensi swasta.

Pengurus Besar Kanan Pkz Pahang dalam ucapanya menyatakan setinggi-tinggi harapan yang besar terhadap aplikasi ini dan berharap aplikasi ini dapat diterima umum. Dan berharap semoga aplikasi ini dijadikan sebagai aplikasi terbaik untuk memudahkan urusan harian.

Aplikasi BizZakat memberi kemudahan kpeada umat Islam untuk berurus niaga dengan lebih berkat dan lebih terjamin. BizZakat juga adalah satu usaha murni yang diwujudkan bagi memberi promosi perniagaan usahawan negeri Pahang secara percuma.

Kesemua jemputan yang hadir berminat dan berpuas hati menggunakan aplikasi BizZakat ini dan mengharapkan kerjasama yang baik antara semua agensi yang hadir dan Pusat Kutipan Zakat Pahang.