Nisab Zakat Semasa RM 14,082.56

PELANCARAN WAJIB TAKSIR ZAKAT PENDAPATAN

Kuantan – 10 April 2018.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melancarkan Pelaksanaan Wajib Taksir Zakat Pendapatan bagi menggalakkan kira-kira 40,000 kakitangan awam dan swasta menunaikan tanggungjawab berzakat.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Wan Hassan di Hotel Grand Darul Makmur Kuantan. Turut sama hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, YH Dato’ Ahmad Hairi Bin Husin.

Wan Abdul Wahid berkata, pelancaran bertujuan membantu meningkatkan sumber perolehan MUIP untuk memoptimakan pengagihan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.

"Pada tahun 2017, Pusat Kutipan Zakat Pahang(PKZ) mengutip RM47.3 juta dengan 57,329 pembayar zakat pendapatan yang ibuat melalui potongan gaji, membabitkan kakitangan awam, badan berkanun dan swasta.

"Kita anggarkan 40,000 lagi pembayar zakat pendapatan tampil menunaikan zakat sehingga hujung tahun ini.

"PKZ Pahang mengumpul data pekerja di negeri ini dan menghantar borang taksiran kepada pekerja yang belum membayar zakat untuk dikembalikan antara Julai hingga Oktober tahun ini.

"Kita menjangka dapat mengutip antara RM5 juta hingga RM10 juta lagi yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan ekonomi umat Islam di negeri ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Abdul Wahid berharap lebih ramai majikan memberi peluang kepada petugas PKZ memberi penerangan kepada pekerja mereka mengenai kepentingan berzakat dan kelebihan yang mereka peroleh apabila menunaikan tuntutan agama ini.

Sempena majlis itu juga, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud turut membentangkan taklimat khas mengenai proses Pelaksanaan Wajib Taksir Zakat Pendapatan kepada para jemputan yang terdiri daripada Bahagian Sumber Manusia 46 majikan terpilih.

PKZ turut menghargai para majikan yang telah memberi sokongan terbaik kepada pihak PKZ Pahang dalam menyampaikan kempen dakwah zakat dengan tiga (3) kategori anugerah iaitu Anugerah Bilangan PZB Terbaik, Amaun PZB Tertinggi dan Kerjasama Terbaik yang melibatkan sejumlah 14 majikan terpilih berdasarkan rekod pembayaran zakat melalui potongan gaji tahun 2017.

“ POTONG ZAKAT, LEBIH BERKAT LEBIH TERJAMIN’