Nisab Zakat Semasa RM 13,981.74

ZAKAT FITRAH PAHANG KEKAL RM7.00 BUAT TAHUN KE 10

Kuantan – 4 Mei 2018. Majlis Ugama Islam Dan Adat resam Melayu Pahang (MUIP) mengekalkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7.00 berdasarkan harga beras semasa di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Dato’ Seri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan berkata, setelah diperkenankan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kadar zakat fitrah kekal di negeri ini pada RM7.00 untuk tahun ke 10 berturut-turut sejak tahun 2009.

Beliau berkata, semua umat Islam di negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang diberi tauliah oleh MUIP di tempat masing-masing bermula awal Ramadhan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Seramai 914 amil ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat di negeri ini. MUIP juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat secara dalam talian sebagai pilihan kepada umat Islam untuk menunaikan rukun Islam keempat ini,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah negeri di sini hari ini.

Selain itu, beliau menjelaskan jumlah kutipan zakat fitrah pada tahun lalu adalah sebanyak RM7.07 juta melibatkan 1,009,756 pembayar.

Dalam majlis yang sama, beliau juga turut menyampaikan bantuan tahunan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi muallaf dan fakir miskin negeri Pahang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 6,062,450.00 bagi tahun 2018.