Nisab Zakat Semasa RM 14,082.56

WANITA CELIK ZAKAT

Gambang, Kuantan – 2 Mei 2018 Bersamaan 16 Syaaban 1439H.

Satu slot kesedaran untuk menambahkan lagi pengetahuan dengan Rukun Islam Ketiga iaitu zakat telah disampaikan khusus kepada wanita di dalam Seminar Wanita Profesional : Kerjaya dan Keluarga” anjuran Universiti Malaysia Pahang(UMP) bertempat di Arabian Bay, Bukit Gambang Resort.

Slot yang berlangsung selama sejam bermula pada jam 9 pagi sehingga 10.00 pagi telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Azmi Bin Haji Othman selaku Pengurus Zon Timur, Pusat Kutipan Zakat Pahang(PKZ Pahang) yang dihadiri kira-kira 40 orang peserta wanita yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kerjaya.

Menyahut inisiatif Kebangsaan iaitu Tahun Memperkasakan Wanita 2018, pihak PKZ Pahang mengambil peluang ini untuk berkongsi pengetahuan agar dapat menjadikan peserta wanita ini celik dan tidak ketinggalan dalam mengetahui maksud, penghayatan dan kaedah kiraan terkini dalam pengiraan zakat.

Sehubungan itu, produk-produk aplikasi telefon pitar terkini daripada PKZ Pahang seperti Bizzakat, Zakatchat dan ZakatKlik juga didedahkan kepada peserta dalam usaha mendidik pengguna agar menggunakan aplikasi-aplikasi ini sebagai kemudahan untuk berzakat dalam kehidupan seharian mereka.

Mudah-mudahan usaha yang sedkit ini mampu memartabatkan wanita di dalam pengetahuan dan menjadikan mereka berdaya saing di dalam arus perdana kini yang pantas bergerak. Sekiranya anda berminat untuk menjemput kami untuk mengadakan program seumpama ini, sila hubungi 09-5131515(Ibu Pejabat PKZ Pahang).