π—žπ—¨π—‘π—π—¨π—‘π—šπ—”π—‘ 𝗛𝗒π—₯𝗠𝗔𝗧 π— π—”π—œπ——π—”π—  π—žπ—˜ PUSAT KUTIPAN ZAKAT DAN WAKAF PAHANG 2025

KUANTAN, 5 Februari 2025 – Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang (PKZWP) di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Kunjungan ini bertujuan untuk mempelajari dan berkongsi pengalaman dalam pengurusan zakat dan kutipan zakat khususnya di pantai timur, yang menjadi fokus utama lawatan tersebut.

Delegasi MAIDAM yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM, disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman bersama pegawai-pegawai kanan PKZ-MUIP. Dalam kunjungan ini, delegasi MAIDAM berpeluang untuk melihat lebih dekat bagaimana PKZWP – MUIP menguruskan kutipan zakat, yang telah menjadi model kejayaan di Pahang.

Sebagai pusat pengurusan zakat dan wakaf yang berperanan penting dalam ekonomi umat Islam, PKZWP – MUIP telah menunjukkan kecekapan dalam menguruskan dana zakat dan wakaf bagi membantu golongan asnaf dan memperkasa pembangunan ekonomi negeri. Delegasi MAIDAM mengadakan sesi perbincangan mendalam bersama pegawai-pegawai PKZWP – MUIP untuk bertukar pandangan mengenai kaedah dan strategi yang dilaksanakan dalam kutipan zakat di Pahang. Lawatan ini memberi peluang kepada MAIDAM untuk mengkaji sistem kutipan zakat yang diterapkan di Pahang, serta mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diadaptasi di Terengganu.

Selain lawatan ke PKZWP, delegasi juga berkesempatan untuk melihat sendiri bagaimana MUIP memanfaatkan zakat dalam pelbagai inisiatif sosial dan ekonomi, termasuk pengagihan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Mereka turut melawat beberapa institusi di bawah MUIP seperti Pusat Dialisis MUIP Cenderawasih Kuantan, yang menggunakan sebahagian dana zakat untuk membantu pesakit, dan Pasar Raya Darul Makmur Bukit Setongkol, yang turut memberi sumbangan kepada ekonomi umat Islam di Pahang.

Kunjungan ini berakhir dengan pembentangan oleh MUIP Holdings mengenai kejayaan mereka dalam pengurusan zakat dan strategi pengurusan anak-anak syarikat yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi umat Islam. Sesi ramah mesra yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan turut mempereratkan hubungan antara MAIDAM dan MUIP, serta membuka ruang bagi kerjasama lebih erat dalam pengurusan zakat dan kutipan zakat di seluruh pantai timur.

Kunjungan ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan pengurusan zakat dan memperkasa ekonomi umat Islam di pantai timur, khususnya melalui zakat, wakaf, dan perniagaan yang berlandaskan syariah.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial