WARGA PULAU TIOMAN BERZAKAT

ROMPIN, 14 Julai 2023 bersamaan 25 Zulhijjah 1444H – Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, pada 11 hingga 13 Julai 2023 seramai 6 orang petugas daripada PKZ Zon Timur yang diketuai oleh Penolong Pengurus PKZ Zon Timur, Ustaz Mohd Amran bin Haji Abd Hamid dan 5 orang pegawai zakat yang mewakili Pejabat Zon Timur telah mengadakan program kunjungan zakat bagi menyantuni pembayar-pembayar zakat untuk menyempurnakan rukun Islam yang ketiga di Pulau Tioman, Rompin.

Alhamdulillah, pada tahun ini ada penambahan 49 orang pembayar baru sekaligus menjadikan bilangan pembayar zakat di pulau peranginan ini menjangkau hampir 100 orang iaitu seramai 41 orang pembayar zakat perniagaan, 4 orang zakat simpanan dan 4 orang pembayar zakat pendapatan.

Objektif program tahun ini, adalah untuk mengekalkan 90% pembayar tahun lalu melalui aktiviti ziarah bersama Briged Zakat iaitu kunjungan petugas zakat bersama dengan wakil penduduk setempat yang terdiri daripada Tuan Haji Mohamad Kamarudin bin Hitam dari Kg Air Batang, Encik Darus bin A. Aziz (Pak Teh Darus) dari Kampung Tekek dan Encik Abd Kadir bin Harun dari Kampung Salang. Selain daripada kunjungan dan kaunter turut diadakan Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, dan perbincangan berkumpulan bersama masyarakat setempat.

Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap zakat harta yang telah dikeluarkan oleh penduduk Tioman dan memberkati segala harta mereka yang masih tinggal.

Disediakan oleh
Mohd Firdaus bin Abdul Rasid
Pusat Kutipan Zakat Pahang
Cawangan Rompin

Kongsikan di media sosial