KUANTAN, 19 November 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) telah menjalankan Kerjasama bersama PRONITA Negeri Pahang dalam program kursus pengurusan jenazah untuk muslimah yang diadakan bertempat di Surau Ar-Raudhah Kempadang Sejahtera. Di dalam program ini Bahagian Dakwah PKZP telah mengambil satu slot dalam Kuliah Dhuha bagi mengupas berkenaan kefardhuan zakat kepada peserta yang hadir.
Kuliah dhuha ini telah berlangsung pada jam 9 pagi sehingga 10.30pagi, yang melibatkan seramai 50 orang jemaah yang terdiri daripada para muslimat dari kawasan sekitar. Kuliah dhuha tersebut telah disampaikan oleh Ustazah Fatin Nor Azrin binti Omar selaku Penolong Pegawai Bahagian Dawah PKZ Pahang. Taklimat ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman kepada para jemaah berkaitan pensyariatan zakat serta kaedah pengiraan zakat harta dan menumpukan penerangan tentang zakat emas dan zakat wang simpanan kepada jemaah yang hadir.
Sepanjang kuliah dhuha ini berlangsung, jemaah menunjukkan respon yang positif dan keterujaan mereka untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang penerangan zakat harta ini. Dengan wujudnya program sebegini, diharap masyarakat mampu menambah ilmu pengetahuan dan dalam pada masa yang sama PKZ dapat menyebarkan dakwah zakat secara berterusan kepada masyarakat awam di negeri Pahang. Kaunter Zakat Dan Wakaf turut dibuka sepanjang program ini berlangsung.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
