KULIAH DHUHA MUSLIMAT BERSAMA PKZ PAHANG

KUANTAN, 4 Ogos 2024 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Masjid Al-Amin Kg. Seri Damai, Kuantan telah menjalankan satu program kuliah dhuha yang bertajuk “Harta Yang Membawa Ke Syurga”.

Kuliah dhuha ini telah berlangsung pada jam 9 pagi sehingga 11pagi yang melibatkan seramai 30 orang jemaah yang terdiri daripada Jemaah wanita dari kawasan sekitar. Kuliah dhuha tersebut telah disampaikan oleh Ustazah Fatin Nor Azrin binti Omar selaku Penolong Pegawai Bahagian Dawah PKZ Pahang. Taklimat ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman kepada para jemaah berkaitan pensyariatan zakat serta kaedah pengiraan zakat harta dan memfokuskan penerangan berkenaan Zakat Emas Dan Zakat Wang Simpanan kepada jemaah yang hadir.

Sepanjang kuliah dhuha ini berlangsung, jemaah menunjukkan respon yang positif dan keterujaan mereka untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang penerangan zakat harta ini. Dengan wujudnya program sebegini, diharap masyarakat mampu menambah ilmu pengetahuan dan dalam pada masa yang sama PKZ dapat menyebarkan dakwah zakat secara berterusan kepada masyarakat awam di negeri Pahang.

Semoga matlamat Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) untuk menyebarkan pengetahuan tentang zakat secara berterusan dapat memberi penjelasan dan kesedaran kepada masyarakat berkenaan tuntutan rukun Islam yang ketiga ini.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial