PKZ PAHANG MENYERTAI PERBARISAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI PAHANG KE-67

KUANTAN, 31 Ogos 2024 – Seramai enam orang pegawai Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) turut sama menyertai perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024. Mereka mewakili kontijen Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bersama-sama anak-anak syarikat MUIP lain seperti Grand Darul Makmur (GDM) Hotel, Pasaraya Darul Makmur (PDM), Pusat Dialisis MUIP, MUIP Holdings, Klinik al-Farabi dan Aurelius Hospital dengan kekuatan sumber seramai lima puluh (50) orang pegawai.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat untuk bersama lebih 50,000 pengunjung bagi meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dekat sini pada Sabtu.

Lebih istimewa, tahun ini merupakan tahun pertama Al-Sultan Abdullah berangkat selaku tetamu utama sebagai Sultan Pahang setelah selamat menyempurnakan pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selama 5 tahun di Istana Negara. Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Seramai 4,145 peserta dan 563 kenderaan daripada 111 kontinjen memeriahkan acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang itu. Acara perbarisan dan perarakan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu melibatkan 72 kontinjen berjalan kaki terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan, agensi Kerajaan yang turut melibatkan Pusat Kutipan Zakat Pahang-Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (PKZ-MUIP) dan pasukan beruniform. Turut mengambil bahagian 39 kontinjen berkenderaan termasuk daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kenderaan PKZ Pahang dan Syarikat kumpulan MUIP.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial