PKZ PAHANG BERSAMA HARI TERBUKA ARMADA TLDM KE-91 DI TANJUNG GELANG

KUANTAN, 4 Mei 2025 – Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, Kuantan menjadi tumpuan ribuan pengunjung sempena Hari Terbuka Armada TLDM bersempena Sambutan Hari TLDM ke-91 yang berlangsung pada 3 dan 4 Mei 2025.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ini, antaranya Fun Run, persembahan Dikir Barat, pertandingan E-sport FIFA, Liga Penalti, Ship Tour, Boat Ride, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai acara interaktif lain yang sesuai untuk seisi keluarga.

Orang ramai yang hadir berpeluang untuk melihat lebih dekat aset-aset ketenteraan milik TLDM serta mengenali dengan lebih mendalam fungsi dan peranan angkatan laut dalam menjaga keselamatan perairan negara. Suasana kemeriahan turut dimeriahkan dengan penyertaan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang membuka reruai pameran serta perkhidmatan kepada pengunjung.

Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) turut mengambil peluang ini dengan membuka kaunter zakat dan wakaf bagi memberi kemudahan kepada para pengunjung untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pembayaran zakat harta, zakat perniagaan, zakat pendapatan dan menyertai skim wakaf tunai dan wakaf melalui potongan gaji.

Penyertaan PKZWP dalam program ini adalah selaras dengan usaha berterusan untuk mendekati masyarakat di pelbagai lapisan serta memperluaskan lagi kefahaman dan kesedaran terhadap kewajipan zakat dan kelebihan berwakaf.

PKZWP turut berharap agar penganjuran program berskala besar seperti ini dapat menjadi platform strategik untuk meningkatkan kutipan zakat serta penyertaan masyarakat dalam wakaf, seterusnya membantu lebih ramai asnaf di negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir

Kongsikan di media sosial