KUANTAN, 8 Mei 2025 – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang terus memperkukuh peranannya dalam memperluas kefahaman dan pengamalan zakat pendapatan melalui penganjuran siri taklimat zakat di lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri baru-baru ini.
Program yang diadakan secara berperingkat ini telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Pahang, dengan sejumlah 703 borang potongan zakat pendapatan baharu berjaya diterima sepanjang program berlangsung.
Taklimat di IPD Bentong telah dikendalikan oleh Penolong Pengurus PKZ Cawangan Lipis, Ustaz Mohmad Al Zahir Bin Shapiee, manakala Penolong Pengurus PKZ Cawangan Raub, Ustaz Mohd Khairon Bin Umar, telah menyampaikan taklimat di IPD Raub.
Sementara itu, di IPD Pekan, sesi taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pengurus PKZ Cawangan Pekan, Tuan Haji Khahirul Anuar Bin Abdullah, dan di IPD Kuantan pula, oleh Penolong Pengurus PKZ Cawangan Kuantan, Ustaz Wan Mohd Napi Bin Wan Sulaiman.
Bagi IPD Maran, taklimat disampaikan oleh Pengurus PKZ Pahang Zon Barat, Tuan Haji Mohd Asri Bin Awang, yang turut menekankan peranan zakat sebagai instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi ummah.
Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memberi penerangan berkenaan kewajipan zakat pendapatan, cara pengiraan, serta kepentingan saluran zakat yang sah dalam memastikan agihan sampai kepada golongan asnaf yang layak. Sambutan yang memberangsangkan dalam taklimat ini menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan anggota polis terhadap tanggungjawab zakat.
PKZ Pahang berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan secara lebih meluas di masa akan datang melibatkan lebih banyak agensi kerajaan dan swasta. Kejayaan ini turut mencerminkan impak positif kolaborasi antara PKZ dan jabatan-jabatan penting dalam memperkasa institusi zakat di negeri ini.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
