KUALA TERENGGANU, 25 Mei 2025 – Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) terus membuktikan komitmennya sebagai nadi penyelarasan zakat negara apabila Mesyuarat MPZN Kali Ke-38 berlangsung di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Mesyuarat kali ke-38 ini telah dipengerusikan oleh Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM) selaku Pengerusi MPZN sesi 2024/2025 yang mengetuai perbincangan strategik melibatkan pelbagai isu utama berkaitan agihan, kutipan dan inovasi zakat di seluruh negara.
Perbincangan MPZN kali ini sarat dengan pertukaran pandangan bernas, pemurnian dasar serta pencarian pendekatan baharu yang mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan zakat demi manfaat umat Islam seluruh negara.
Detik penting mesyuarat menyaksikan penyerahan rasmi Pengerusi MPZN kepada Pusat Kutipan Zakat Wakaf Pahang yang akan menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi MPZN baharu bagi sesi 2025/2026.
Bagi meraikan ketibaan para delegasi dari seluruh negeri, pihak MAIDAM telah mengadakan satu majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM.
Semoga MPZN terus menjadi medan utama dalam merangka strategi kolektif demi menjadikan zakat sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan ummah yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
