KUANTAN, 27 Jun 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) Zon Timur berjaya merekodkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM50,185.00 dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Ops Bisnes Zon Timur 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jun 2025 di sekitar kawasan Beserah, Sungai Karang dan Balok. Operasi yang dijalankan ini melibatkan 14 orang petugas PKZP yang dibahagikan kepada empat kumpulan operasi, menggunakan empat buah kenderaan operasi rasmi iaitu UKB, Innova HQ, Innova Kuantan dan Persona Pekan.
Sebanyak 134 premis perniagaan telah dikunjungi, dengan 39 pemilik premis tampil membuat bayaran zakat, terdiri daripada 14 pembayar baharu dan 25 pembayar sedia ada. Kutipan zakat direkodkan sebanyak RM16,515.00 daripada pembayar baharu dan RM33,670.00 daripada pembayar lama.
Menurut penyelaras operasi, usaha turun padang seperti ini membuktikan komitmen PKZP untuk terus memperluas kesedaran dan kefahaman masyarakat perniagaan terhadap kewajipan zakat. PKZP berharap agar program seperti Ops Bisnes ini dapat menjadi platform berterusan dalam meningkatkan kesedaran dan keprihatinan para peniaga terhadap tanggungjawab zakat perniagaan.
PKZP turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang operasi dijalankan, termasuk para pembayar zakat yang memberi sokongan terhadap usaha murni ini.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
