KUANTAN, 8 Julai 2025 – Bersempena dengan Bulan Zakat Wakaf negeri Pahang bagi tahun 2025, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dengan kerjasama Pusat Kutipan Zakat Pahang telah menganjurkan satu program dengan tema ‘Jom Berzakat’ bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah berlangsung di Hotel Grand DarulMakmur. Program ini diadakan bagi tujuan penyampaian wakalah zakat negeri Pahang dan penyerahan geran kerohanian kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Penyerahan wakalah ini berjumlah RM 368,500 bagi geran kerohanian yang telah diberikan kepada 22 kem di negeri Pahang. Mengikut data, seramai 2,078 daripada 9,433 anggota ATM telah menunaikan zakat kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang secara potongan gaji.
Kempen ‘Jom Berzakat’ ini menyasarkan tentang kewajipan berzakat serta memberi penjelasan mendalam berkaitan peranan MUIP dalam agihan zakat secara sistematik, telus dan berkesan. Program diserikan lagi dengan Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Haji Badli Shah bin Alaudin. Dalam tausiyyahnya, beliau telah minitipkan dan memberi kesedaran untuk terus istiqamah dengan amalan berzakat demi memperkasakan ekonomi ummah.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Rashidi bin Bujai. Majlis yang gilang gemilang ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kagat, Brigedier Jeneral Dato’ Jabar bin Mohamad Aris, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang Tuan Haji Mohd Azmi bin Othman, Panglima 4 Brigedier (Mekanize) Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin Wan Mohamad Fadlillah, Panglima-panglima, Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia serta barisan pengurusan Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang.
Pusat Kutipan Zakat Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia di atas kesudian bekerjasama dalam menganjurkan program ini. Moga dengan adanya program dan kempen seperti ini, ianya menjadi satu inisiatif memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan zakat yang menjadi instrumen sosial dalam pembangunan ummah.
Disediakan oleh,
Ahmad Amzar Azhari bin Suriadi
Bahagian Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Pusat Kutipan Zakat Pahang
