Johor, 18 Julai 2025 – Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan (KZK) 2025 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan tema “Muafakat Zakat, Negeri Berkat” telah berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 15 Julai hingga 18 Julai 2025, melibatkan penyertaan seramai 164 orang peserta daripada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan agensi pengurusan zakat seluruh negara, serta melibatkan sekitar 60 buah kenderaan yang menjelajahi tiga buah daerah di negeri Johor. Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara JAWHAR, MAIN dan agensi-agensi pengurusan zakat serta mempererat hubungan bersama masyarakat, khususnya golongan asnaf, melalui pelbagai pengisian berbentuk kebajikan, pembangunan dan pemerkasaan komuniti.
Program dimulakan dengan majlis makan malam pada hari pertama, diikuti dengan lawatan pada hari kedua ke tapak projek asnaf fertigasi cili di Bukit Geriba, aktiviti gotong-royong insaniah membaik pulih dua buah rumah asnaf di Kampung Muhibah dan Kampung Benteng Kiri, Peserai serta penyerahan sumbangan subprojek kekal oleh JAWHAR, AMZ dan MAIN kepada Sekolah Kebangsaan Peserai, sebelum konvoi meneruskan perjalanan ke Jeti Pengkalan Nelayan, Parit Penghulu, Mukim Serkat, Pontian bagi penyerahan sumbangan subprojek pembangunan kekal kepada Persatuan Nelayan serta menyantuni penduduk setempat melalui penganjuran sukaneka komuniti kampung. Hari ketiga menyaksikan lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru untuk meninjau fasiliti bertaraf dunia dan disusuli Forum Perdana yang diadakan pada sebelah malam di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Majlis penutup telah diadakan pada hari keempat bertempat di Café Laman XPark, Sunway BigBox dengan ucapan penghargaan disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Johor, Dato’ Ahmad Faisal Mohamed, diiringi ucapan penutupan oleh Ketua Pengarah JAWHAR, Dato’ Selamat Paigo, dengan ucapan terima kasih ditujukan kepada pihak JAWHAR, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) selaku tuan rumah serta seluruh delegasi yang menjayakan program ini.Pusat Kutipan Zakat Pahang berharap agar program sebegini diteruskan demi memperkukuh jaringan kerjasama antara negeri dan meningkatkan keberkesanan penyampaian manfaat zakat kepada golongan sasaran.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
