Kuantan, 26 Julai 2025 – Kejohanan Futsal Aurelius Cup 2025 anjuran Aurelius Hospital Kuantan telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kesukanan yang tinggi. Kejohanan yang diadakan ini mendapat sambutan luar biasa apabila 16 agensi sekitar negeri Pahang turut serta termasuk Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.
Menariknya, kejohanan kali ini turut mendapat kerjasama erat daripada PKZ Pahang melalui Unit Media Sosial PKZ, yang bertindak sebagai rakan strategik penganjur dengan menyediakan lintas langsung (live streaming) kejohanan tersebut. Siaran langsung ini membolehkan orang ramai mengikuti aksi-aksi menarik perlawanan secara eksklusif di Facebook rasmi Aurelius Hospital dan Pusat Kutipan Zakat Pahang, sekali gus meningkatkan capaian dan promosi kejohanan kepada komuniti setempat.
Dalam kejohanan yang berlangsung sengit ini, CIDB berjaya merangkul gelaran Juara, diikuti oleh UMPSA yang muncul Naib Juara, manakala LKPP Corporation menduduki tempat ketiga. Pasukan PKZ Pahang pula menamatkan saingan di kedudukan keempat, satu pencapaian yang cukup membanggakan memandangkan saingan yang begitu kompetitif dengan penyertaan pasukan-pasukan berpengalaman.
Bagi PKZ Pahang, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan futsal, tetapi menjadi wadah dalam mengeratkan silaturahim antara agensi kerajaan dan swasta, serta memupuk semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan warga kerja. PKZ Pahang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang, khususnya CIDB selaku juara kejohanan, serta penghargaan kepada Aurelius Hospital Kuantan atas penganjuran yang cemerlang. Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, kejohanan seperti ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada hubungan erat antara agensi dan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga kerja di negeri ini.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
