PROGRAM ZIARAH PENTERNAK PKZ PAHANG

SELASA, 12 OGOS 2025 – Baru-baru ini Pusat Kutipan Zakat Pahang Cawangan Raub telah mengadakan satu program ziarah penternak di Kampung Bukit Pampong Dong yang diketuai oleh Ustaz Mohd Khairon bin Umar bersama seorang pegawai iaitu Hairul Nain bin Mkhatar. Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang terus komited membantu golongan asnaf meningkatkan taraf hidup menerusi penganjuran ‘Program Ops Ziarah’.

. Dengan wujudnya program ziarah penternak ini, pendedahan berkaitan zakat harta khususnya zakat ternakan dan zakat perniagaan juga telah disampaikan kepada penternak agar mereka mendapat maklumat yang cukup berkaitan zakat selain dapat mengeratkan hubungan di antara masyarakat setempat

Wakil daripada PKZ Pahang sempat membuat lawatan ke sebuah kandang lembu yang menternak sebanyak 45 ekor lembu disini. Menurut seorang penternak iaitu Puan Normah binti Kamis yang berumur 48 tahun, beliau berasa terharu dan melahirkan penghargaan kepada pihak PKZ Pahang kerana kesudian mengunjungi tempat perusahaannya disini. Menurut beliau lagi, lawatan tersebut memberi semangat baharu kepada beliau untuk mengembangkan lagi projek ternakan lembu yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya sangat hargai apabila PKZ Pahang sendiri turun padang dan beri penerangan. Sekarang saya rasa lebih memahami kewajipan berzakat serta berhasrat untuk mula menunaikan zakat ternakan,” katanya.

Antara impak yang positif dari program seperti ini adalah meningkatkan kesedaran dan kemudahan pelaksanaan zakat, menggalakkan kebajikan dan penglibatan langsung komuniti dengan PKZ Pahang serta menyokong pembangunan ekonomi umat islam melalui pemerkasaan amalan zakat ternakan khususnya.

Pihak PKZ Pahang sempat juga mengambil maklumat dan memberi penerangan kepada pengusaha ternakan berkaitan zakat di sebuah warung yang terletak di kampung ini. Selain memberi penerangan, pihak PKZ Pahang juga mendengar perkongsian pengalaman daripada para pengusaha ternakan serta cabaran yang dihadapi sebagai seorang penternak. Pada tahun 2025 ini, PKZ Pahang menyasarkan lebih banyak program berbentuk edukatif dan interaktif seperti ini bagi memastikan kerjasama komuniti setempat dan kesedaran masyarakat berkaitan zakat dapat dilaksanakan demi kesejahteraan ummah di negeri Pahang.

Diharapkan program seumpama ini mampu memberi sumbangan yang lebih efisien kepada masyarakat dalam memahami kewajipan berzakat dan seterusnya menjadi penyumbang kepada dana zakat negeri Pahang demi memperkasakan lagi ekonomi ummah di negeri Pahang.

Disediakan oleh,

Ahmad Amzar Azhari bin Suriadi
Pembantu Tadbir
Pusat Kutipan Zakat Pahang Cawangan Ibu Pejabat

Kongsikan di media sosial