PEKAN, 12 Ogos 2025 (Selasa) – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf (PKZW) Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang telah menganjurkan Taklimat Wakalah dan Wakaf khusus kepada para pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang bertempat di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang, Pekan. Program yang bermula jam 9.00 pagi itu dihadiri seramai 18 pengetua SMAN dari seluruh negeri Pahang. Taklimat berakhir pada jam 10.30 pagi dengan sambutan yang amat menggalakkan.
Ceramah utama disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKZW Pahang, Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, Dr. Mohd Syakir bin Haji Mohd Taib, Penolong Pengurus Pusat Kutipan Zakat Cawangan Pekan, Haji Khahirul Anuar bin Abdullah, serta Penolong Pengurus Pusat Kutipan Zakat Cawangan Kuantan, Encik Wan Mohd Napi bin Wan Sulaiman.
Dalam taklimat berkenaan, pengetua-pengetua SMAN menyatakan komitmen untuk mengusahakan agar sekolah masing-masing menerima wakalah zakat sekali gus meningkatkan lagi penglibatan warga sekolah dalam skim potongan gaji zakat. Usaha ini dijangka dapat memberi manfaat besar kepada sekolah, pelajar serta masyarakat setempat.
PKZW Pahang melihat perkembangan positif ini sebagai satu langkah ke arah memperkukuh budaya berzakat dan berwakaf dalam kalangan warga sekolah agama di negeri ini.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
