Artikel berkaitan Zakat
ZAKAT HARTA DALAM KALANGAN PROFESIONAL MUDA : KESEDARAN DAN KEALPAAN
Zakat harta bukanlah perkara baharu dalam Islam. Ia telah ditetapkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi sebagai salah satu daripada lima rukun Islam. Bezanya, bentuk harta kini semakin pelbagai bukan hanya emas dan ternakan seperti dahulu, tetapi turut merangkumi pendapatan bulanan, simpanan bank, pelaburan, caruman KWSP malah aset digital menurut sebahagian pandangan. Namun, walaupun sistem zakat semakin berkembang dan mudah diakses, timbul persoalan adakah semua orang benar-benar faham dan menunaikannya? Khususnya golongan profesional muda kini.
Konsep dan Kewajiban Zakat Harta
Zakat harta meliputi pendapatan, simpanan, emas dan perak, KWSP, saham, perniagaan, dan ternakan. Kadar umum zakat harta ialah 2.5% daripada harta yang cukup nisab dan haul (setahun). Ramai yang masih keliru antara zakat fitrah (dibayar setahun sekali sebelum Aidilfitri) dengan zakat harta yang lebih besar impaknya terhadap ekonomi umat Islam.
Firman Allah SWT :
“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka…” (At-Taubah: 103).
Selain kewajipan agama, zakat membersihkan jiwa daripada sifat bakhil, menyuburkan harta, dan membantu agihan kekayaan lebih adil.
Generasi yang Cakna Zakat
Golongan profesional muda hari ini biasanya terdiri daripada mereka yang berumur antara 22 hingga 35 tahun. Mereka merupakan graduan baharu yang berjaya menamatkan pembelajaran dan perkhidmatan, memperolehi peluang dalam sektor pekerjaan iaitu seperti dalam kerajaan atau swasta. Mereka inilah yang akan menjadi tulang belakang dalam ekonomi digital dan industri moden sekarang.
Statistik Pusat Kutipan Zakat Pahang (2024) menunjukkan seramai 68,207 individu dalam lingkungan umur ini telah menunaikan zakat dengan jumlah kutipan RM8.36 juta, membuktikan semakin ramai anak muda mula cakna terhadap kewajipan zakat. Dengan kesedaran yang terus dipupuk, potensi kutipan zakat dalam kalangan generasi muda pasti mampu berkembang lebih besar pada masa akan datang.
Cabaran Generasi Muda Masa Kini
Antara cabaran utama yang menyebabkan golongan muda alpa dalam menunaikan zakat harta ialah salah faham bahawa zakat hanya wajib apabila sudah kaya atau berumur, selain tanggapan bahawa zakat fitrah sahaja yang penting. Sikap sambil lewa seperti menangguh atau menganggap proses zakat rumit, ditambah pula dengan gaya hidup moden yang mementingkan perbelanjaan mewah, hutang mudah dan budaya penghargaan diri juga turut menyumbang kepada kealpaan.
Kesan daripada kegagalan ini bukan sahaja menghilangkan keberkatan rezeki individu, malah melemahkan sistem ekonomi Islam kerana sumber agihan kepada fakir miskin semakin terhad sedangkan permintaan bantuan terus meningkat.
Zakat Sebagai Tanggungjawab Sosial Generasi Muda
Masih ramai profesional muda belum benar-benar faham cara pelaksanaan zakat harta, sama ada dari segi taksiran atau kewajipan membayarnya. Golongan muda yang celik teknologi dan berpendidikan perlu lebih cakna serta menjadikannya sebahagian daripada pengetahuan asas dalam kehidupan.
Zakat bukan sekadar tuntutan agama, tetapi juga tanggungjawab sosial yang memberi impak besar kepada masyarakat. Dengan pendekatan yang mudah dan relevan, generasi muda boleh menghidupkan semula semangat zakat, menjadikannya amalan yang bermakna serta satu deklarasi iman yang menyucikan rezeki dan menyantuni mereka yang memerlukan.
Kesimpulannya, zakat bukan sekadar kewajipan agama, tetapi juga tanggungjawab sosial yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Golongan muda yang bekerjaya perlu menjadikan zakat sebagai sebahagian budaya hidup. Ianya bukan sahaja tentang mengeluarkan wang, tetapi juga menyucikan rezeki, memelihara hati, dan menyantuni mereka yang memerlukan. Jika generasi muda benar-benar cakna, sistem ekonomi Islam akan kembali kukuh, adil dan penuh keberkatan.
Disediakan oleh : Nur Maizatul Hidayah binti Nor Azuyang
Keberkatan Zakat: Manfaat untuk Jiwa dan Kehidupan
Zakat ialah salah satu rukun Islam yang bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah membawa manfaat besar dari sudut spiritual dan sosial. Ia adalah satu bentuk penyucian harta dan jiwa yang membuka pintu keberkatan dalam kehidupan individu dan masyarakat. Keberkatan berasal dari perkataa al-barkat bermaksud bertambahnya kebaikan yang melimpah dan berpanjangan. Zakat menjadi antara instrument sumber keberkatan kerana ia melibatkan pengorbanan harta demi kesejahteraan orang lain. Seperti dinyatakan dalam Surah At-Taubah yang bermaksud “Ambillah (wahai Muhammad) sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan dan menyucikan mereka, dan doakanlah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (At-Taubah, ayat 103) ini menerangkan zakat menyucikan harta dan hati pemberinya daripada sifat tamak dan bakhil.
Manfaat zakat kepada jiwa Pertama, zakat membersihkan jiwa daripada sifat negatif seperti cinta dunia dan kedekut. Ia melatih Muslim memberi dengan ikhlas, melepaskan pemilikan pada harta dan memupuk rasa Redha dengan harta yang diberikan. Kedua, zakat menanamkan rasa syukur atas nikmat yang dimiliki dengan berkongsi sebahagiannya Bersama orang lain. Ketiga, ia meningkatkan ketakwaan kerana ia mengajar kita bergantung kepada janji Allah untuk menggantikan setiap pemberian dengan kebaikan seperti yang dinayatakan dalam al-quran “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkannya. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka Allah akan menggantikannya. Dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Saba’,39).
Manfaat zakat kepada kehidupan duniawi, zakat menyucikan harta dan memastikan ia diperoleh dari sumber yang halal dan dibelamjakan serta digunakan secara halal dan berkat. Zakat juga membantu mengurangkan jurang antara kaya dan miskin, sekali gus mewujudkan masyarakat yang harmoni. Dana zakat berpotensi memperkasa ekonomi asnaf melalui pelbagai jenis bantuan yang diagihkan oleh pihak yang menguruskan seperti modal perniagaan dan latihan, yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Di samping itu, zakat juga membantu mencipta keamanan sosial apabila keperluan asas golongan miskin dapat dipenuhi.
Kisah keberkatan zakat dalam sejarah Islam membuktikan betapa besarnya kesan positif apabila ia dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berlandaskan syariat. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pengurusan zakat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan ketelusan sehingga berlaku satu keadaan luar biasa — hampir tiada lagi golongan fakir miskin yang layak menerima zakat kerana semua telah terbela dan hidup dalam kecukupan. Zakat yang diagihkan secara sistematik, bukan hanya kepada golongan miskin, malah digunakan membantu para pelajar dalan urusan menuntu ilmiu, membebaskan hamba, membantu mereka yang tertindas, dan membiayai pembangunan masyarakat. Ini menunjukkan bahawa jika zakat diuruskan secara berkesan, ia mampu menghapuskan kemiskinan dan mencipta masyarakat yang makmur.
Begitu juga dengan kisah para sahabat Rasulullah SAW seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kemurahan hati mereka. Mereka sering mendahului keperluan umat dengan infaq dan sedekah dalam jumlah yang besar. Uthman bin Affan, misalnya, pernah menyumbangkan 100 ekor unta yang lengkap dengan muatannya untuk tentera Islam, manakala Abdul Rahman bin Auf pernah menyumbangkan separuh daripada hartanya dalam satu majlis infaq. Tindakan mereka bukan sahaja membantu sahabat, tetapi juga membawa keberkatan luar biasa dalam kehidupan mereka. Perniagaan mereka terus berkembang, nama mereka dikenang sepanjang zaman, dan mereka mendapat jaminan syurga daripada Rasulullah SAW sendiri. Ini membuktikan bahawa zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga jalan menuju keberkatan hidup dunia dan akhirat yang berpanjangan.
Amalan zakat dalam kehidupan seharian bagi meraih keberkatan, zakat hendaklah ditunaikan dengan ikhlas, disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak “Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil yang mengurusnya, orang-orang yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk memerdekakan hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah, dan untuk mereka yang dalam perjalanan (musafir) — sebagai satu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (At-Taubah, 9), dan diamalkan secara konsisten bersama sedekah serta infaq. Zakat yang ditunaikan secara berterusan menjadikan seseorang lebih peka terhadap keperluan masyarakat dan lebih dekat kepada Allah SWT
Penutup
Zakat membawa keberkatan dalam bentuk ketenangan jiwa, kesejahteraan hidup, dan hubungan sosial yang harmoni. Ia bukan sekadar kewajipan, tetapi cerminan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap sesama. Dengan menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada gaya hidup, umat Islam dapat mencapai keseimbangan dunia dan akhirat serta membina masyarakat yang lebih adil dan berkat.
Disusun Oleh :
Ustaz Mohd Nadhir Syafiq bin RameliPegawai Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
nadhir@zakatpahang.my
SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT DAN JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian Pertama –Zakat Fitrah)
SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT
1 Niat
Ulama telah bersependapat mengatakan bahawa sah zakat dengan niat yang disertakan semasa mengeluarkannya. Ulama telah bersependapat mengatakan bahawa niat adalah menjadi syarat penunaian zakat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Sesungguhnya setiap amalan itu hendaklah disertakan dengan niat.
Menunaikan zakat ialah suatu pekerjaan. Sementara zakat ialah suatu ibadah, sama seperti sembahyang. Oleh itu ia memerlukan niat untuk membezakan di antara wajib dengan sunat. Ulama As-Syafii mengatakan wajib niat dengan hati dan tidak disyaratkan melafazkannya. Oleh itu orang yang mengeluarkan zakat hendaklah berniat seperti: “Ini zakat hartaku”. Tidak mengapa jika tidak disebut fardu (wajib), kerana zakat sememangnya fardu (wajib).
2 Memberi Milik (At-Tamlik)
Untuk sahnya pemberian zakat disyaratkan “memberi milik”, iaitu dengan cara diberi kepada orang yang berhak. Oleh itu tidak memadai (tidak sah) setakat memberi guna (ibahah) atau setakat memberi makan tetapi ia mestilah dengan cara memberi milik.
Syarat pemberian milik ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 56 yang bermaksud:
….Keluarkanlah zakat.
Kalimah Al-Ita’ bermakna tamlik yang bermaksud memberi milik.
JENIS-JENIS ZAKAT
Zakat Badaniah atau Zakat Fitrah
Zakat Maliah atau Zakat Harta
PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat fitrah ialah zakat diri yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
SYARAT WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KEWAJIPAN ZAKAT FITRAH MENGIKUT KEMAMPUAN
Wajib zakat fitrah bagi mereka yang berkemampuan dengan sebab memiliki lebihan makanan atau hartanya pada 1 Syawal. Sebagai contoh individu yang mempunyai lima orang anak tetapi hanya mampu untuk seorang sahaja, maka wajib dikeluarkan fitrah untuk dirinya sahaja berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“…… mulailah dengan dirimu, kemudian jika ada lebihan maka berilah untuk ahlimu….”
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry yang bermaksud:
“… Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang kecil dan besar, merdeka atau hamba, satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan ibadah haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa dua mud (cupak) gandum Syam menyamai satu Sho’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya (Hadis riwayat Muslim)
KADAR ZAKAT FITRAH
Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri.
WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5 keadaan:
Waktu wajib: iaitu apabila terbenamnya matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbitnya matahari esoknya.
Waktu paling afdal: Sebelum menunaikan solat Hari Raya Edul fitri.
Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.
Waktu makruh: Selepas solat Raya Edul fitri sehingga terbenamnya matahari pada satu Syawal.
Waktu haram: Selepas terbenamnya matahari satu Syawal.
Walau bagaimanapun dinasihatkan supaya zakat fitrah dikeluarkan bermula pada awal Ramadhan sehingga sebelum solat Edul fitri pada satu Syawal bagi mengelakkan kesukaran kepada amil-amil yang mengutip zakat.
Berkenaan dengan waktu yang paling afdal dalam mengeluarkan zakat fitrah, terdapat berbagai-bagai pendapat ulama, tetapi yang pastinya ia dikeluarkan sebelum solat raya Edul fitri sebagaimana yang telah dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah seperti berikut yang bermaksud:
“…Maka sesiapa yang mengeluarkan (fitrah) sebelum solat raya Edul fitri maka itulah zakat yang diterima dan sesiapa yang mengeluarkannya selepa solat raya Edul fitri makan pengeluarannya itu merupakan sebagai sedekah sahaja. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian Kedua –Zakat Ternakan)
JENIS-JENIS ZAKAT HARTA
Zakat Ternakan (Lembu/Kerbau/Kambing/Biri-biri)
Zakat Emas Dan Perak
Zakat Wang Simpanan
Zakat Tanaman (Padi)
Zakat Perniagaan
Zakat Rikaz dan Ma’adin
Zakat al-Mal al-Mustafad (pendapatan/penghasilan dan seumpamanya)
Zakat Saham
ZAKAT TERNAKAN
Kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan makhlukNya sebahagiannya tergambar melalui penciptaan binatang di muka bumi ini. Dunia binatang amat luas sekali tetapi hanya sebahagian kecil sahaja dari dunia binatang ini dapat dimanfaatkan oleh manusia. Yang paling berguna adalah binatang-binatang ternak yang diistilahkan dalam bahasa Arab al-An’am adalah binatang-binatang ternak yang diistilahkan dalam bahasa Arab sebagai al-An’am iaitu unta, lembu termasuk kerbau, kambing dan biri-biri.
Binatang-binatang ternak ini semuanya diciptakan Allah SWT untuk kepentingan manusia antara lainnya untuk ditunggangi sebagai kenderaan, dimakan dagingnya, diminum susunya dan diambil bulu dan kulitnya. Dengan disebabkan kepentingan-kepentingan di atas, Allah SWT meminta para pemilik binatang ini supaya bersyukur atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka.
Firman Allah SWT di dalam surah Yaasin ayat 71 hingga 73 yang bermaksud:
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?
Merealisasikan konsep syukur tersebut sesuai dengan tuntutan al-Quran dan Hadis Nabi saw adalah melalui zakat berserta syarat-syarat yang telah ditetapkan syarak, ganjaran serta ancaman seksaan di dunia dan akhirat bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat.
DALIL WAJIB ZAKAT TERNAKAN
Hadis Nabi saw yang bermaksud:
Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana dengan zakat unta?” Baginda bersabda, “tiada seorang pemilik unta yang tidak menunaikan haknya dan di antara haknya adalah memerah susunya pada waktu keluarnya melainkan pada hari kiamat kelak, orang itu akan ditelentangkan di tempat yang rata dan datang unta-unta yang paling besar dan gemuk daripada masa di dunia, lalu menginjak-injaknya dengan tapak kakinya dan menggigit dengan giginya yang tajam. Apabila selesai binatang yang pertama, datang pula yang lainnya. Demikianlah hal itu berlangsung setiap hari, yang kadar satu hari di sana (akhirat) sama dengan lima puluh ribu tahun (di dunia). Sehinggalah selesai Allah menghukum hambanya, maka diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka.” Sahabat bertanya lagi, “Ya Rasulullah, bagaimana dengan (zakat) lembu dan kambing?” Baginda bersabda, “tiada seorang pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan haknya (zakat) melainkan pada hari kiamat ditelentangkannya di suatu tempat yang rata dan dipijak-pijak oleh lembu dan kambing itu dengan kuku yang tajam dan ditanduk-tanduk dengan tanduknya. Tiada binatang itu yang tanduknya bengkok, tidak bertanduk dan tanduknya patah. Apabila selesai binatang yang pertama, diikuti pula dengan lainnya setiap hari, yang kadar satu hari di sana (akhirat) sama dengan lima puluh ribu tahun (di dunia) sehinggalah selesai Allah menghukumnya, kemudian diperlihatkan jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka.”
(Riwayat Muslim)
Hadis Nabi s.a.w dari Abu Zhar berkata yang bermaksud:
“Seseorang tuan unta atau lembu atau kambing yang tidak mengeluarkan zakatnya, maka unta atau lembu atau kambing itu akan datang pada hari kiamat dalam bentuk yang sangat besar dan amat gemuk dan ia menanduk tuannya serta memijaknya. Apabila yang terakhir telah berbuat demikian, datang semula yang awal, dan keadaan ini berterusan sehinggalah dia menyelesaikan segala apa yang ada di antaranya dengan manusia”.
-Muttafaqun ‘alaih-
NISAB DAN KADAR ZAKAT TERNAKAN
Hadis Nabi saw yang bermaksud:
“… pada empat puluh ekor biri-biri, dikenakan (zakat) seekor…”
(Riwayat Ibnu Majah)
Hadis Nabi saw yang bermaksud:
Daripada Mu’az bin Jabal, beliau berkata, ” Baginda Rasulullah s.a.w telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu musinnah (lembu betina yang umurnya mencapai 3 tahun) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, tabi’ atau tabi’ah (lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun).”
(Riwayat Ibnu Majah)
SYARAT–SYARAT ZAKAT TERNAKAN
SAMPAI NISAB
Syarat pertama bagi zakat ternakan ini ialah sampai nisab iaitu mencapai kuantiti tertentu yang telah ditetapkan hukum syarak.
CUKUP HAWL (telah dimiliki satu tahun)
Nisab hendaklah berkekalan di sepanjang haul.
SAIMAH (digembala)
Syarat diwajibkan zakat ke atas ternakan ialah “Saimah” ertinya binatang-binatang itu dipelihara di padang ternakan bebas. Tujuan di gembala adalah untuk memperoleh susu, pembiakan dan dagingnya.
Syaratnya ialah binatang itu di gembala di kawasan penggembalaan pada sebahagian besar hari-hari dalam setahun. Hukum sebagai binatang gembalaan tidak gugur sekalipun hanya dilepaskan di kawasan padang ragut dalam beberapa ketika sahaja dalam setahun disebabkan tiada padang ragut atau hanya sedikit saja rumput di padang ragut. Binatang-binatang yang dipelihara bagi tujuan membantu kerja seperti lembu yang dipelihara untuk mengangkat barang-barang atau kerbau yang dipelihara untuk membajak sawah, tidak diwajibkan zakat.
DALIL YANG MENUNJUKKAN BILANGAN ATAU KIRAAN DALAM MENENTUKAN ZAKAT YANG HARUS DIKELUARKAN BAGI ZAKAT TERNAKAN
Unta
Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Pada unta yang tidak sampai 5 ekor tidak diwajibkan zakat”.
Muttafaqun ‘alaih.
LEMBU ATAU KERBAU
Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
Daripada Mu’az bin Jabal, beliau berkata, ” Baginda Rasulullah s.a.w telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu musinnah (lembu betina yang umurnya mencapai 3 tahun) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, tabi’ atau tabi’ah (lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun).”
(Riwayat Ibnu Majah)
KAMBING ATAU BIRI-BIRI
Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
Dari Anas, “zakat kambing yang ternak di padang rumput apabila bilangannya dari 40 ekor hingga 120 ekor, maka zakatnya 1 ekor. Apabila bertambah dari 120 ekor hingga 200 ekor maka zakatnya 2 ekor. Dan apabila bertambah dari 200 ekor hingga 300 ekor, maka zakatnya 3 ekor. Dan apabila bertambah dari 300 ekor (ke atas) maka tiap-tiap 100 ekor zakatnya seekor.”
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian Ketiga –Zakat Ternakan)
JADUAL PENGIRAAN ZAKAT TERNAKAN
Menyambung kepada susunan dari keluaran yang lalu, seperti mana yang kita maklumi bersama, Allah SWT menciptakan binatang-binatang ternakan ini untuk kepentingan manusia antara lainnya untuk ditunggangi sebagai kenderaan, dimakan dagingnya, diminum susunya dan diambil bulu dan kulitnya. Dengan disebabkan kepentingan-kepentingan di atas, Allah SWT meminta para pemilik binatang ini supaya bersyukur atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka. Ini dirakamkan di dalam surah Yaasinn ayat 71 hingga 73 yang bermaksud:
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?
Melaksanakan tuntutan zakat atas binatang-binatang ternakan ini adalah tindakan merealisasikan konsep syukur kepada Yang Maha Berkuasa dan memohon keredaan dari-Nya sesuai dengan tuntutan al-Quran dan Hadis Nabi saw.
Untuk melaksanakan tuntutan zakat ini, berikut adalah binatang ternakan yang wajib dikeluarkan zakatnya:
Lembu / kerbau
Kambing / biri-biri
Unta
Kerbau dan lembu adalah terdiri dari jenis yang sama, oleh itu hukum zakat ke atasnya adalah sama seperti juga keadaannya kambing dan biri-biri.
Jadual Pengiraan zakat Lembu / Kerbau
| Bil | Zakat (ekor) |
| 30-39 | 1 Jantan |
| 40-59 | 1 Betina |
| 60-69 | 2 Jantan |
| 70-79 | 1 Jantan & 1 Betina |
| 80-89 | 2 Betina |
| 90-99 | 3 Jantan |
| 100-109 | 2 Jantan & 1 Betina |
| 110-119 | 1 Jantan & 2 Betina |
Nota: Sekiranya jantan maka umurnya mestilah berumur 1 tahun atau lebih dan betina mestilah berumur 2 tahun atau lebih.
Panduan:
Apabila bilangan itu lebih daripada yang dinyatakan di atas, maka bagi setiap 30 ekor lembu / kerbau diwajibkan zakat 1 ekor anak lembu jantan yang berumur 1 tahun. Bagi setiap 40 ekor lembu diwajibkan zakat 1 ekor lembu betina yang berumur 2 tahun.
Jika ternakan bercampur antara lembu dan kerbau, maka zakatnya terserah kepada pembayar sama ada mahu memberi lembu atau kerbau daripada peliharaan itu.
Jadual Pengiraan zakat Kambing / Biri-biri
| Bil | Zakat (ekor) |
| 40-120 | 1 (jantan atau betina) |
| 121-200 | 2 (jantan atau betina) |
| 201-399 | 3 (jantan atau betina) |
Nota: Sekiranya jantan maka umurnya mestilah 1 tahun atau lebih dan sekiranya betina mestilah berumur 2 tahun atau lebih.
Panduan:
Bagi jumlah 400 ekor dan ke atas, zakatnya ialah 1 ekor bagi setiap 100 ekor.
Contoh:
| Bil | Zakat (ekor) |
| 400-499 | 4 |
| 500-599 | 5 |
| 600-699 | 6 |
Pengiraan zakat Unta (apabila nisab unta kurang dari 24 ekor)
| Bil | Zakat (ekor) |
| 1-4 | Tidak diwajibkan zakat |
| 5-9 | 1 ekor kambing |
| 10-14 | 2 ekor kambing |
| 15-19 | 3 ekor kambing |
| 20-24 | 4 ekor kambing |
Pengiraan zakat Unta (apabila nisab unta lebih dari 24 ekor)
| Bil | Zakat (ekor) |
| 25-35 | 1 ekor unta betina (1 tahun) |
| 36-45 | 1 ekor unta betina (2 tahun) |
| 46-60 | 1 ekor unta betina (3 tahun) |
| 61-75 | 1 ekor unta betina (4 tahun) |
| 76-90 | 2 ekor unta betina (2 tahun) |
| 91-120 | 2 ekor unta betina (3 tahun) |
| 121-129 | 3 ekor unta betina (2 tahun) |
| 130-139 | 1 ekor unta betina (3 tahun) + 2 ekor unta betina (2 tahun) |
| 140-149 | 2 ekor unta betina (3 tahun) + 1 ekor unta betina (2 tahun) |
| 150-159 | 3 ekor unta betina (3 tahun) |
| 160-169 | 4 ekor unta betina (2 tahun) |
| 170-179 | 3 ekor unta betina (2 tahun) + 1 ekor unta betina (3 tahun) |
| 180-189 | 2 ekor unta betina (2 tahun) + 2 ekor unta betina (3 tahun) |
| 190-199 | 3 ekor unta betina (3 tahun) + 1 ekor unta betina (2 tahun) |
| 200-209 | 4 ekor unta betina (3 tahun) + 5 ekor unta betina (2 tahun) |
Panduan:
Bagi jumlah yang lebih banyak dari jadual di atas, setiap 50 ekor tambahan, zakatnya hendaklah ditambah lagi 1 ekor unta betina (3 tahun) dan sekiranya bertambah lagi, bagi tambahan 40 ekor seterusnya, zakatnya hendaklah ditambah lagi 1 ekor unta betina (2 tahun) dan begitulah seterusnya jika ada penambahan lagi.
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian Keempat –Zakat Emas Dan Perak)
Emas dan perak merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah s.w.t. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang.
Dalam hal ini, zakat emas dan perak terbahagi kepada dua perbahasan iaitu atas zat atau ‘ain emas dan perak itu sendiri sama ada dipakai atau disimpan dan perbahasan kedua ialah zakat mata wang kerana sandaran mata wang pada zaman ini asasnya kepada emas.
ZAKAT EMAS DAN PERAK
Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila telah sampai nisab dan telah cukup haul setahun.
DALIL WAJIB ZAKAT EMAS DAN PERAK
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak, serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
(Surah at-Taubah 34)
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
Tidak ada seseorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap kali ia sejuk dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.
-Riwayat Muslim-
JENIS EMAS YANG DIWAJIBKAN ZAKAT
EMAS YANG DISIMPAN
Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas yang dipakai menyamai atau melebihi 85 gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. sebagai contoh, jika berat keseluruhan emas yang tidak dipakai itu seberat 90 gram bernilai RM9500 maka zakatnya adalah: RM9500 x 2.5% = RM237.50
EMAS YANG DIPAKAI
Emas sama ada dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai ‘uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
NISAB DAN KADAR ZAKAT EMAS
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (85gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar (2.5%). Maka sekiranya lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya”.
(Riwayat Abu Daud)
Nisab bagi emas ialah 85gm atau 20 misqal / dinar atau 25 mayam.
Apabila seseorang memiliki emas menyamai nisab semasa atau lebih dan telah cukup haul (setahun) ia wajib mengeluarkan zakat. Ulamak sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, maka wajib dikenakan zakat. Kadar zakat ialah rubu’ al ‘usyur iaitu satu perempat puluh (1/40) atau dua setengah peratus (2.5%).
Emas yang disimpan seberat 85gm dan telah mencukupi satu tahun, wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 % daripada nilai semasa emas tersebut (termasuk juga emas yang rosak / patah)
Emas yang dipakai tidak diwajibkan zakat kecuali melebihi uruf. Kadar uruf (kebiasaan pemakaian setempat) di Negeri Pahang ialah 200gm. Emas yang dipakai yang melebihi uruf dikenakan zakat sebanyak 2.5 %. (Berat yang melebihi uruf sahaja).
CONTOH PENGIRAAN:
(Andaikan nisab semasa 85gm emas adalah RM 8,909.48)
Emas tersimpan seberat 90gm.
1gm emas = (RM 8,909.48 ¸ 85) = RM 104.82
90gm emas = 90gm x RM 104.82 = RM 9,433.80
Zakatnya = RM 9,433.80 X 2.5% = RM 235.85
Emas yang dipakai seberat 300gm.
200gm = uruf pemakaian emas
300-200gm = lebihan daripada uruf = 100gm
100gm emas = 100gm x RM 104.82 = RM 10,482.00
Zakatnya = RM 10,482.00 X 2.5% = RM 262.05
NISAB DAN KADAR ZAKAT PERAK
Wajib zakat pada perak lima auqiyah.
[ Satu auqiyah = 40 dirham. (5 x 40 = 200 dirham)] Ijma’ ulama’ telah menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gram.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“…tidak diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq.”
(Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
“Pada perak (zakatnya) 1/40…”
(Riwayat al-Bukhari)
Contoh Pengiraan Zakat Perak:
Andaian 1 gram perak = RM 30.00
Perak yang dimiliki seberat 1,000 gram.
1,000 gram perak (lebihan 405 gm dari nisab)
1,000 x RM 30 = RM30,000
Zakat yang dikenakan ialah : RM 30,000 X 2.5% = RM 750.00
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian Kelima –Zakat Wang Simpanan )
Jumhur ulamak feqah sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam berurus niaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenali sebagai “dinar” manakala perak dikenali sebagai “dirham”.
DALIL WAJIB ZAKAT WANG SIMPANAN
Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (85 gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar (2.5%) Maka jika lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya.”
(riwayat Abu Daud)
Pada dasarnya wang simpanan bermaksud “wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, saham, saham amanah serta lain-lain bentuk simpanan”. Zakat dikenakan atas jumlah baki terendah yang sudah cukup nisab dan haul.
Contoh jenis-jenis wang simpanan:
Simpanan bank
Simpanan berbentuk pelaburan seperti Amanah Saham, Tabung Haji, KWSP, LTAT.
Simpanan di rumah
KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT MENGIKUT JENIS-JENIS AKAUN.
Jadual 1: Contoh Akaun Konvensional
| TARIKH | MASUK | KELUAR | BAKI |
| (RM) | (RM) | (RM) | |
| 01/06/08 | 20,000 | 20,000 | |
| 23/07/08 | 2,000 | 18,000 | |
| 30/09/08 | 3,000 | 15,000 | |
| 10/12/08 | Faedah 200 | 15,200 | |
| 12/02/09 | 1,000 | 14,200 | |
| 11/03/09 | 2,000 | 12,200* | |
| 19/05/09 | 1000 | 13,200 |
* Baki terendah
Baki terendah dalam jadual ini ialah RM 12,200. Ia telah melebihi nisab (RM 8,909.48) dan genap setahun. Baki terendah diambil sebagai asas pengiraan zakat kerana ia merupakan jumlah yang tetap ada dalam simpanan sepanjang setahun (haul). Walaubagaimanapun, wang sebanyak RM 12,200 ini termasuk wang faedah. Oleh yang demikian, wang faedah perlu ditolak daripada baki terendah tersebut sebelum dikira zakatnya.
Cara Pengiraan:
Tahun Haul : 1 Muharram – 30 Zulhijjah
Nisab (contoh) : RM 8,909.48 (mengikut harga semasa bagi 85 gram emas)
Baki Terendah : RM 12,200 – RM 200 (faedah) = RM 12,000
Kadar Zakat : 2.5%
Zakat yang Dikenakan : RM 12,000 x 2.5% = RM 300
Jadual 2: Contoh Akaun Wadiah
| TARIKH | MASUK | KELUAR | BAKI |
| (RM) | (RM) | (RM) | |
| 01/06/08 | 20,000 | 20,000 | |
| 23/07/08 | 2,000 | 18,000 | |
| 30/09/08 | 3,000 | 15,000 | |
| 10/12/08 | Hibah 200 | 15,200 | |
| 12/02/09 | 1,000 | 14,200 | |
| 11/03/09 | 2,000 | 12,200* | |
| 19/05/09 | 1000 | 13,200 |
* Baki terendah
Baki terendah dalam jadual ini ialah RM 12,200. Ia telah melebihi nisab (RM 8,909.48) dan genap setahun. Baki terendah diambil sebagai asas pengiraan zakat kerana ia merupakan jumlah yang tetap ada dalam simpanan sepanjang setahun (haul). Wang sebanyak RM 12,200 ini termasuk di dalamnya pemberian hibah (hadiah dalam bentuk wang yang diterima oleh penyimpan terhadap wang yang disimpan setelah pihak bank menjalankan perniagaannya dalam tempoh setahun).
Cara Pengiraan:
Tahun Haul : 1 Muharram – 30 Zulhijjah
Nisab (contoh) : RM 8,909.48 (mengikut harga semasa bagi 85 gram emas)
Baki Terendah : RM 12,200 (temasuk hibah)
Kadar Zakat : 2.5%
Zakat yang Dikenakan : RM 12,200 x 2.5% = RM 305.00
Jadual 3: Contoh Pengiraan Pelbagai Buku Akaun Simpanan
Sekiranya seseorang penyimpan mempunyai banyak akaun simpanan di dalam bank atau mana-mana institusi kewangan, satu tempoh haul yang sesuai mestilah ditentukan. Kemudian diambil baki terendah kesemua buku akaun simpanan dan sekiranya melebihi nisab maka hendaklah dikenakan zakat.
Cara Pengiraan:
Tahun Haul : 1 Muharram – 30 Zulhijjah
Nisab (contoh) : RM 8,909.48 (mengikut harga semasa bagi 85 gram emas)
| TARIKH | BANK 1 | BANK 2 | BANK 3 | JUMLAH |
| 01/06/2008 | 10,000 | 200 | 2,700 | 12,900 |
| 23/07/2008 | 10,000 | 300 | 2,800 | 13,100 |
| 30/09/2008 | 10,000 | 300 | 3,000 | 15,100 |
| 10/12/2008 | 8,000 | 300 | 3,000 | 11,300* |
| 12/02/2009 | 8,000 | 300 | 3,500 | 11,800 |
| 11/03/2009 | 8,000 | 300 | 4,000 | 12,300 |
| 27/05/2009 | 10,000 | 500 | 4,000 | 14,500 |
* Baki terendah dalam setahun bagi ketiga-tiga buku akaun.
Zakat yang Dikenakan: RM 11,300 x 2.5% = RM 282.50
ZAKAT WANG SIMPANAN KWSP / LTAT
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkata Tentera (LTAT) wajib dizakatkan serta-merta apabila dikeluarkan tanpa perlu menunggu setahun sekiranya amuan yang dikeluarkan itu melebihi nisab semasa. Zakatnya ialah 2.5% ke atas setiap pengeluaran yang menyamai atau melebihi nisab.
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA ( Bahagian Keenam-Zakat Perniagaan)
Perniagaan merupakan satu sumber zakat yang terbesar berbanding sumber-sumber zakat yang lain seperti ternakan, tanaman dan sebagainya.
Firman Allah swt yang bermaksud:
(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut atau mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbolak balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari kurniaNya. Dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.
Surah an-Nur ayat 37-38
Hadis yang diriwayat oleh Abu Daud r.a:
Rasulullah S.A.W memerintahkan kami agar bersedekah dari segala yang kami maksudkan untuk dijual.
Justeru, perniagaan bagaimanakah yang yang layak untuk dikenakan zakat? Sila lihat senarai berikut.
Peruncit kecil-kecilan (penjaja, peniaga pasar malam, warung, gerai dan sebagainya)
Peruncit dan pemborong bermodal sederhana dan besar (kedai runcit, pasar mini, pasar raya, kedai buku, kedai jahit dan sebagainya)
Syarikat pengeluaran/perkilangan (automobil, elektrik, makanan, percetakan, tekstil dan sebagainya)
Perladangan, pertanian, perlombongan.
Pembinaan bangunan dan hartanah.
Syarikat perkhidmatan (kewangan, bank, pengangkutan, keselamatan, pembersihan, perhotelan, perundingan, profesional dan sebagainya).
Sekiranya anda seorang peniaga atau usahawan yang menjalankan perniagaan seperti di atas serta dengan tujuan memperolehi keuntungan, maka perniagaan anda tertakluk kepada zakat perniagaan.
Umumnya semua bentuk, jenis dan entiti perniagaan berikut, berdaftar atau tidak berdaftar adalah tertakluk kepada taksiran zakat.
Syarikat Sendirian Berhad
Syarikat Berhad
Syarikat Awam Berhad
Perkongsian
Koperasi
Milik Tunggal/Perniagaan Persendirian.
Selain daripada syarat-syarat wajib zakat yang umum seperti Islam, Merdeka, Cukup Nisab, Cukup Haul, Sempurna Milik, terdapat beberapa syarat-syarat lain yang berkaitan dengan zakat perniagaan. Ianya adalah merangkumi seperti berikut:
Perniagaan mestilah berorientasikan halal
Harta perniagaan yang produktif (berkembang atau berpotensi untuk berkembang)
Niat untuk perniagaan
Harta tersebut bukan untuk kegunaan sendiri atau peribadi.
Sumber harta perniagaan sama ada melalui pembelian atau tukaran.
KAEDAH TAKSIRAN ZAKAT PERNIAGAAN
Asas bagi taksiran zakat perniagaan berpaksi kepada modal dan perkembangan terhadap modal itu. Sumber modal ini disediakan sama ada oleh dana pemilik perniagaan, dana pelaburan luar atau dana berbentuk pinjaman atau pembiayaan. Keseluruhan sumber modal ini memberikan kuasa penuh kepada pemilik atau pengurusan perniagaan untuk menggunakan modal dalam menjana keuntungan. Maka jelas bahawa harta berkembang (al-nama’) menjadi asas kewajipan zakat.
Dari segi prinsip, harta perniagaan wajib dizakatkan apabila memenuhi sifat berkembang (al-nama’), diniagakan (urud al-tijarah) dan milik sempurna (al-milk al-tam). Ini bererti taksiran zakat tidak mengambil kira sumber harta diperoleh, sama ada melalui sumber dalaman atau pinjaman.
Proses taksiran zakat adalah terhadap tempoh perniagaan yang telah berlalu. Oleh itu, ia memfokuskan kepada aktiviti perniagaan setahun yang berlalu (sehingga akaun ditutup). Aset semasa dalam tempoh tersebut akan dizakatkan, manakala liabiliti operasi untuk tempoh itu sahaja yang dibenarkan untuk ditolak semasa pengiraan zakat.
Secara umumnya, kaedah taksiran zakat perniagaan terbahagi kepada dua, iaitu kaedah modal berkembang dan kaedah modal kerja.
Kaedah Modal Berkembang ini adalah:
Ekuiti Pemilik (+) Liabiliti Jangka Panjang (-) Aset Tetap (-) Aset Bukan Semasa (+/-) Pelarasan = Harta Perniagaan Wajib Dizakatkan (x) 2.5% (kadar zakat).
Untuk Kaedah Modal Kerja pula, ia adalah proses pengiraan seperti berikut:
Aset Semasa (-) Liabiliti Semasa (+/-) Pelarasan = Harta Perniagaan Wajib Dizakatkan (x) 2.5% (kadar zakat).
Bagi perniagaan yang mempunyai penyata kira-kira yang lengkap, pengiraan zakat adalah berpandukan kepada “Kunci Kira-Kira”. Kiraan zakat boleh dibuat dengan menggunakan dua kaedah di atas.
Bagi peniaga yang tidak mempunyai penyata kewangan yang lengkap, cara taksiran zakat boleh dilakukan seperti ini:
Peniagaan yang mempunyai “Stok Barang Niaga” seperti kedai runcit, kedai emas, mini market, kedai pakaian dan lain-lain, pengiraan zakat adalah seperti kaedah modal kerja.
Perniagaan yang tidak mempunyai “Stok Barang Niaga” seperti kedai makan, kontraktor, firma-firma, syarikat pengangkutan, perkhidmatan dan lain-lain, pengiraan zakat adalah berdasarkan jualan atau terimaan dalam setahun, ditolak dengan kos operasi setahun dan didarab dengan 2.5% (kadar zakat).
Bagi perniagaan yang berkongsi pemilikan bersama bukan Muslim, zakat hanya tertakluk kepada pemilikan individu atau syarikat Muslim sahaja.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
Al-Quran tidak memberi keterangan yang jelas tentang kekayaan yang wajib dizakatkan dan tidak pula menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipenuhi serta tidak menjelaskan juga tentang berapa banyak atau jumlah yang harus dizakatkan melainkan hanya menyentuhnya secara umum.
Sebagai menjelaskan dan menerangkan perkara-perkara di atas, Sunah Nabi (sama ada berbentuk ucapan atau perbuatan) yang akan mentafsirkan perkara-perkara yang bersifat umum, menerangkan perkara yang masih samar-samar dan mengkhususkan perkara yang terlalu umum, menjadi contoh atau qudwah dalam setiap pelaksanaannya. Ini kerana Rasulullah s.a.w bertanggungjawab dalam menjelaskan al-Quran melalui ucapan, perbuatan dan ketetapan baginda kerana baginda s.a.w lebih faham tentang maksud firman Allah dan al-Quran.
Allah S.W.T dalam menjelaskan perkara di atas melalui ayat 44 surah an-Nahl yang bermaksud: (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
Terdapat beberapa jenis kekayaan yang disebutkan dan diperingatkan di dalam al-Quran untuk dikeluarkan zakatnya sebagai hak Allah S.W.T antaranya:
- Emas dan perak, firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
- Tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam surah an-An’aam yang bermaksud: “Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”
- Hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
- Hasil perut bumi. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 267 juga yang bermaksud “Dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
Selain dari apa yang disebutkan di atas, al-Quran hanya merumuskan apa yang wajib dizakatkan itu dengan rumusan yang umum iaitu dengan perkataan “harta kekayaan” seperti firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:
“Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”
Dan juga firman Allah di dalam surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud:
“Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
Terminologi dan Pengertian “Harta Kekayaan”
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi tentang istilah “harta kekayaan” ini?
“Harta kekayaan” (amwal) merupakan bentuk jamak (bilangan ramai atau banyak) dari kalimah (mal) dan mal bagi istilah orang Arab (bahasa yang diturunkan al-Quran) adalah “segala sesuatu yang diinginkan sekali oleh manusia menyimpan dan memilikinya”. Berdasarkan kepada maksud di atas maka unta, lembu, kambing, tanah, kelapa, emas, perak dan lain-lain adalah harta kekayaan. Oleh kerana itulah ensiklopedia-ensiklopedia Arab sebagai contoh al-Qamus al-Muhith dan Lisan al-Arab mengatakan bahawa harta kekayaan adalah segala sesuatu yang dimiliki namun bagi orang-orang kampung atau desa sering menghubungkannya dengan ternakan atau tanaman dan orang-orang bandar atau kota menghubungkannya dengan emas, perak dan pendapatan harian melalui perniagaan atau perkhidmatan tetapi semua ini adalah harta kekayaan.
Ibnu Asir mengatakan “Kekayaan pada mulanya bererti emas dan perak, tetapi kemudian berubah pengertiannya menjadi segala barang yang tersimpan dan dimiliki.”
Tetapi ulama-ulama Feqh berbeza pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan pengertian harta kekayaan ini. Sebahagian fuqaha’ menyatakan harta kekayaan adalah segala yang dapat dimiliki dan dapat digunakan secara kebiasaannya. Kekayaan hanya dapat disebut kekayaan apabila memenuhi 2 syarat iaitu dimiliki dan boleh diambil manfaatnya secara kebiasaannya.
Sesuatu yang dimiliki dan boleh diambil manfaatnya adalah kekayaan yang berbentuk seperti tanah, binatang, barang-barang kelengkapan dan wang ringgit. Bagi sesuatu yang tidak dapat dimanfaatkan tetapi mungkin boleh dimiliki dan mungkin boleh diambil manfaatnya juga termasuk dalam istilah kekayaan sebagai contoh segala yang boleh diambil seperti ikan di laut, burung di langit binatang di hutan dan sebagainya.
Sebaliknya sesuatu yang tidak mungkin dimiliki tetapi dapat diambil manfaatnya seperti cahaya dan panas matahari dan seumpama dengannya tidaklah termasuk dalam istilah ini. Begitu juga tidak termasuk dalam istilah kekayaan, sesuatu yang dimiliki pada dasarnya seperti memiliki segenggam tanah, setitis air, seekor lebah, sebutir beras dan seumpama dengannya tetapi tidak dapat diambil manfaatnya.
Hasil dari definisi di atas menunjukkan bahawa harta kekayaan itu bermaksud hanya kepada sesuatu benda yang wujud sehingga dapat dipegang dan dimiliki sahaja tidak termasuk manfaat dari sesuatu benda tersebut.
Sebahagian fuqaha’ yang lain pula menyatakan bahawa manfaat-manfaat itu termasuk dalam istilah harta kekayaan, menurut mereka yang penting bukanlah dapat dimiliki sendiri tetapi dimiliki dengan menguasai sumbernya. Yang pastinya adalah manfaat-manfaat itu dapat dikuasai dengan menguasai tempat dan sumbernya sebagai contoh seseorang memiliki sebuah kereta dan dia menghalang orang lain untuk menggunakan kenderaan itu tanpa izinnya.
Ibnu Najim mengatakan bahawa kekayaan, sesuai dengan yang ditegaskan oleh ulama’ Usul Feqh adalah sesuatu yang dapat dimiliki dan disimpan untuk keperluan. Ini dari satu sudut dan dari satu sudut yang lain pula beliau menyatakan manfaat itu adalah kekayaan kerana dengan manfaat ini pada dasarnya berubah fungsinya (manfaat) menjadi kekayaan itu.
Walau apa pun perbezaan pendapat di atas, yang kita ambil iktibar di sini adalah bahawa kekayaan pada dasarnya adalah sesuatu yang berwujud (memang ada, boleh dipandang,dipegang dan seumpama dengannya) dan itulah yang wajib dizakatkan.
Waallahu ’alam.
SUMBER-SUMBER KUTIPAN ZAKAT (Bahagian Pertama)
Kita telah maklum bahawa zakat harta di wajibkan sejak zaman awal dari bermacam-macam jenis pendapatan dan perusahaan yang boleh mendatangkan kekayaan, selain daripada sumber-sumber khusus seperti emas dan perak, pertanian, ternakan dan sebagainya. Diriwayatkan dari Abu Jaa’far Muhammad bin Ali (m.14H) pernah mendengar Ali bin Abi Talib k.w berkata: “Allah swt telah mewajibkan zakat kepada setiap orang kaya yang memiliki harta untuk membantu fakir miskin.” Seandainya fakir miskin itu terbiar kelaparan, kesakitan dan tidak berpakaian, beliau membenarkan orang kaya yang berkenaan dihukum.
Dalam riwayat lain, khalifah Ali bin Abi Talib k.w pernah menyebut perkataan al-Mal dengan sebutan makrifah mufrad (kalimah itu merangkumi pelbagai jenis harta) di samping itu beliau menentukan haul sebagai prasyarat kewajipan berzakat kecuali zakat pertanian. Langkah Ali bin Abi Talib k.w diikuti para sahabat dan tabiin yang lain. Maymun bin Mihram (m.125H) berkata: “Apabila sampai masa membayar zakat, semua harta (Kull Mal) yang dimiliki oleh orang kaya dan pendapatan bersih sahaja yang diwajibkan zakat”. Langkah ini dilanjutkan oleh Tawus (m.106H), di mana beliau berpendapat bahawa zakat diwajibkan kepada orang kaya yang memperoleh harta benda daripada pelbagai sumber.
Kekayaan boleh diperoleh melalui dua sumber. Pertama, melalui sumber tabii (semula jadi) seperti hasil ternakan binatang, pengeluaran pertanian dan hasil logam. Pendapatan sumber tersebut diwajibkan zakat. Selain itu, kekayaan juga boleh diperoleh melalui kerja-kerja perkhidmatan dan kemahiran intelektual. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Setiap orang Islam diwajibkan zakat.” Mereka berkata kepada Rasulullah: “Wahai Nabi Allah, kalau kami tidak memiliki harta, bagaimana?” Jawab baginda: “Berusahalah kamu dengan sepenuh tenaga bagi menyara diri kemudian bayarlah zakat. “Mereka berkata lagi: “Usaha kami tidak berhasil? Jawab baginda: “Berilah pertolongan kepada orang yang berhajat. “Mereka berkata lagi: “Kalau kami tidak berupaya? Sabda baginda: “Bergiatlah dalam perkara makruf dan mencegah terjadinya keburukan. Sesungguhnya pekerjaan itu bagi kamu adalah sadaqah”
Pada masa ini, seseorang yang menawarkan perkhidmatan akan mendapat upah. Kepakaran yang mereka curahkan itu akan dinilai dengan wang ringgit. Upah atau hasil pendapatan merupakan harta yang wajib dikenakan zakat. Walau bagaimanapun, hadis di atas pada lahirnya memberi makna yang luas kepada konsep zakat kerana zakat yang dimaksudkan oleh hadis itu tidak tertumpu kepada keuntungan harta modal semata-mata atau kepada zakat wajib yang telah ditetapkan sahaja, bahkan ia merangkumi segala pendapatan perkhidmatan yang dilakukan oleh setiap ahli profesional.
Dalam sebuah hadis lain daripada Abu Dharr al-Ghifari (m.31H) bahawa beliau pernah mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w:
Bagaimanakah kami hendak mengeluarkan sadaqah (zakat) sedangkan kami tidak berharta? Baginda bersabda: “Sadaqah itu mempunyai banyak cabang, antaranya ialah mengucap takbir, tasbih, tahmid, istighfar, melakukan amal makruf, membersihkan halangan di jalan, memimpin orang buta, merawat orang bisu dan pekak, menunjuk jalan kepada orang yang sesat dan membantu orang yang lemah. Semuanya ini merupakan cabang-cabang sadaqah yang akan mendapat pahala.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Seorang jururunding yang membimbing pelanggannya akan menggunakan kepakarannya iaitu kalimah tayyibah (perkataan yang baik) untuk mendapat ganjaran. Adi bin Hatim r.a (m.86H) dan Abu Hurairah r.a kedua-duanya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya: “Jauhilah diri kamu daripada seksaan neraka walaupun dengan secebis tamar. Jika kamu tidak memiliki harta benda, maka bersedekahlah dengan kalimah tayyibah”.
Begitu juga dengan jurubina, doktor, guru-guru dan lain-lain. Kesemua khidmat akan dibayar gaji, elaun, bonus dan lain-lain lagi. Apakah pendapatan seperti tersebut tidak diwajibkan zakat? Jika kedua-dua hadis tersebut difahami, maka ini akan hanya diertikan sebagai kerja sosial yang dilakukan secara tatawwu’ (sukarela) atau sebagai ibadah sampingan. Peredaran masa boleh membawa kepada perubahan terhadap kefahaman pengertian hadis tersebut. Perkhidmatan yang dinyatakan dalam hadis tersebut sekarang boleh diperluaskan kepada kerja profesional.
Perkhidmatan tersebut bukanlah kerja sukarela atau ihsan tetapi telah menjadi bidang pekerjaan untuk mendapat upah yang lumayan. Ini bermakna hadis ini memberikan pengertian yang amat rasional dan praktikal sesuai dengan perubahan dunia pekerjaan masa ini.*
Teras zakat menurut al-Quran dan hadis sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini ialah berpaksi kepada “harta” dan “orang kaya”. Prinsip dan tujuan mewajibkan zakat ke atas harta orang kaya ialah supaya sistem zakat dapat mengimbangi pendapatan per kapita dan sistem agihan untuk mewujudkan keadilan ekonomi masyarakat Islam secara berterusan. Justeru, jika seorang petani yang mengusahakan tanaman padi memperoleh antara 350-600 gantang bernilai lebih kurang RM400 hingga RM550 sudah diwajibkan zakat pertanian sebanyak 10% atau 5%, maka wajarkah seorang pegawai atau seorang ahli profesional yang mendapat gaji, elaun dan ganjaran bernilai sebanyak RM1000 hingga RM3000 lebih sebulan tidak diwajibkan zakat? Mereka mestilah membantu golongan yang tidak bernasib baik melalui mekanisme zakat ini. Nabi s.a.w bersabda yang ertinya:
“Tiga golongan akan dimurkai Allah s.w.t: orang telah berkahwin melakukan persetubuhan haram, orang miskin yang pembelit dan orang kaya yang menindas” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Mengikut Abu Darda’ (m.32H):
“Salah satu tanda seseorang itu benar-benar beriman ialah orang yang membela nasib orang miskin”
Antara hikmah zakat ialah membersihkan harta dan jiwa pemiliknya. Adakah petani, penternak dan ahli perniagaan sahaja yang berhati kotor? Adakah golongan ini sahaja yang perlu menyucikan diri dan pendapatan mereka?
Adakah pendapatan penggajian dan pendapatan ahli profesional itu tidak perlu disucikan? Mengapa harta mereka dibezakan dengan harta lain? Mengapakah status kaya tidak dipandang antara petani dan penternak dengan pegawai tinggi dan ahli profesional? Jabir bin Samurah r.a (m.10H) dan Abdullah bin Umar r.a (m.74H) menegaskan bahawa seseorang yang telah menunaikan zakat kekayaan, maka mereka telah membersihkan diri dan harta mereka. As-Sya’bi pernah membacakan ayat 177 dalam surah al-Baqarah kepada Abu Hamzah agar menjelaskan bayaran zakat sebagai pesanan untuk menjadi orang bertakwa dan berkebajikan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Kebajikan bukan semata-mata kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang itu kepada Allah S.W.T, hari kiamat, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, mendermakan harta kesayangannya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), peminta sedekah, membebaskan hamba abdi, menunaikan solat dan zakat, menepati janji apabila berjanji, tabah dan sabar pada masa kesempitan serta kesakitan dan perang. Mereka inilah orang yang benar-benar membuat kebaikan dan bertakwa” (Surah al-Baqarah 2:177)
Itu merupakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap Muslim yang memiliki kekayaan kerana harta itu merupakan rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t.
SUMBER-SUMBER KUTIPAN ZAKAT (Bahagian Terakhir)
Sebagai menyambung bicara pada keluaran lalu berkaitan dengan harta kekayaan yang merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap Muslim yang memiliki kekayaan kerana harta itu merupakan rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t. Ini dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran, firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Berikanlah (melalui sistem zakat) kepada (hamba) segala harta yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kamu. (Surah an-Nisa’ 4:39)
Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud:
“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah s.w.t) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah s.w.t): mereka tetap beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Hadid 57:7)
Allah s.w.t juga menjelaskan bahawa seseorang yang telah menunaikan kewajipan zakat digolongkan sebagai seorang yang benar-benar Muslim dan bersaudara dalam Islam.
Pada zaman Nabi s.a.w, sememangnya harta yang diwajibkan zakat terhad kepada binatang ternakan, pertanian, emas dan perak sahaja, iaitu barangan yang bernilai komersial dan berdaya maju di pasaran ketika itu. Analisis ilmiah patut diterokai ke atas struktur dan klasifikasi harta yang diwajibkan zakat pada masa Nabi Muhammad s.a.w supaya alasan atau ‘illat kewajipan itu dapat diterapkan ke atas pembangunan ekonomi pada masa kini. Sistem zakat jika diselidik dengan lebih mendalam, tidak terdapat satu nas pun yang menghalang atau melarang pertumbuhan zakat yang sedia ada kerana struktur zakat yang berlaku pada masa Nabi s.a.w merupakan contoh iktibar (amthal), dan bukan sebagai batasan (ihsar).
Berdasarkan maksud sebuah hadis: “tidak akan berkurangan sesuatu harta disebabkan kewajipan zakat.” Oleh itu kadar zakat antara 2.5% hingga 10% sudah tentu tidak akan membebankan pembayar zakat. Ia tidak akan mengikis kuantiti harta disebabkan bayaran zakat setiap tahun.
Zakat merupakan ibadah ta’abbudiyyah serta menjadi mekanisme pembangunan sosial dan ekonomi ummah. Secara langsung, ia dikaitkan dengan prinsip “daya maju” (an-Nama’) secara aktif dalam bidang ekonomi. Ia juga dijadikan satu ‘illat atau prasyarat dalam sistem zakat. Dengan prinsip ini, zakat boleh diperluaskan lagi kepada harta lain yang berdaya maju secara semula jadi atau dimajukan dengan secara usaha. Wang atau sesuatu yang sehukum dengannya merupakan harta yang berdaya maju.
Wang merupakan alat timbang tara dan piawaian. Justeru, tahap kekayaan seseorang akan dinilai dengan perantaraan wang. Mengikut Ibnu Rusyd al-Qadi (m.520H) : “Sesuatu kekayaan yang berdasarkan kepada emas dan perak atau sesuatu yang dikaitkan dengan kedua-duanya merupakan modal untuk mencari keuntungan dan bukan digunakan sebagai barang pengguna semata-mata”. Dengan itu, logam dan sesuatu yang sehukum dengannya dikaitkan dengan syarat berdaya maju oleh mazhab Maliki dan mazhab Hanafi yang merupakan kumpulan terpengaruh bagi mewajibkan sesuatu dikenakan zakat. Menurut kedua-dua mazhab tersebut, si piutang tidak perlu berzakat kecuali setelah dilunaskan hutangnya terlebih dahulu.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a (m.101H) berpendapat, harta yang dipinjamkan (hutang tidak terbayar) dikategorikan sebagai harta hilang. Pendapat ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang mengecualikan barang-barang kegunaan peribadi. Baginda bersabda yang bermaksud: “Lembu yang digunakan untuk membajak dan pengangkutan dikecualikan daripada zakat”. Ali (m.40H), al-Hasan al-Basri (m.110H), Mujahid (m.103H), an-Nakha’I (m.95H), Musa bin Talhah (m.103H), Umar bin Abdul Aziz, az-Zuhri (m.123H), dan al-Layth bin Sa’ad (m.175H), juga menyokong pengertian hadis tersebut. Golongan Ahl as-Sunnah keseluruhannya menjadikan berdaya maju atau berkembangnya sesuatu harta itu sebagai prasyarat kewajipan zakat. Oleh itu wajar bagi para pengkaji dan sistem zakat menggunakan ‘illat (sebab) an-Nama’. Sungguh menghairankan jika pendapatan ahli profesional, pegawai awam, swasta dan anugerah atau hadiah yang bernilai berjuta-juta ringgit dikecualikan daripada zakat, sedangkan mereka mengaut keuntungan dan kekayaan yang besar.
Dasar haul dan sistem zakat memberi peluang kepada pemilik harta mengembangkan hartanya sepanjang tempoh itu supaya mendapat keuntungan. Dengan langkah itu, harta asal (modal) tidak hanya dijadikan barang pengguna atau untuk membayar zakat yang mana ia akan susut sedikit demi sedikit. Meskipun harta benda lain yang belum dikenakan zakat menjadi kewajipan dan tanggungjawab para fuqaha yang kini membuat kajian semula serta menerokai bidang-bidang baru dalam sistem zakat. Moga-moga pendekatan ini menjadi nadi bagi menghidupkan kembali Sunnah. Rasulullah s.a.w bersabda, ertinya:
“Barang siapa yang menerokai sunnah hasanah (amalan kebaikan), maka pahalanya adalah serupa dengan orang yang mengerjakannya tanpa terkurang sedikit pun. Begitu juga sesiapa yang mempelopori sunnah sayyi’ah (amalan kejahatan), maka akan mendapat dosa seperti penganutnya tanpa dikurangi sedikit pun.”
(Hadis riwayat Muslim)
Zakat al-Mal al-Mustafad
Al-Mal al-Mustafad merupakan zakat ke atas harta benda yang diperoleh hasil daripada kerja dan usaha yang dilakukan seseorang sama ada dalam bentuk gaji, upah, subsidi, elaun, pemindahan dan lain-lain lagi. Zakat ini merupakan zakat yang telah lama diperkenalkan.
Daripada huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa al-Mal al-Mustafad boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan iaitu:
Hasil daripada usaha perdagangan atau ternakan secara individu atau bersyarikat, keuntungan jualan atau pembiakan ternakan atau dikira sebagai al-Mal al-Mustafad. Pendapatan itu dicampurkan dengan modal induk dan jumlahnya dikira bersama. Penambahan harta tersebut termasuk harta yang boleh dikenakan zakat.
Pendapatan melalui ganjaran atau upah daripada sesuatu pekerjaan atau perkhidmatan yang telah disempurnakan oleh ahli profesional tetapi tidak termasuk dalam kategori perniagaan seperti upah doktor, akauntan, jurubina, perunding cara, royalti dan lain-lain. Pendapatan mereka itu tidak termasuk dalam struktur zakat yang sedia ada.
Pendapatan berasaskan kepada kerja bermajikan semata-mata yang mana menerima bayaran upah atau al-Mal al-Mustafad atau sagu hati atau sesuatu yang seumpamanya daripada majikan. Pendapatan tersebut tidak termasuk dalam struktur zakat yang sedia wujud.
Pendapatan berasaskan kepada keadaan kematian, perkahwinan dan tamat tempoh perkhidmatan berupa hadiah, pusaka, subsidi atau yang dinamakan dengan pendapatan pindahan dan lain-lain. Dalam hal ini, tidak terdapat nas yang jelas dalam struktur kewajipan zakat yang sedia ada.
Waallahu a’lam.
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN “MILIK SEMPURNA”
Muqadimah:
Prasyarat dalam menentukan sesuatu harta kekayaan itu wajib dikeluarkan zakat antaranya ialah milik sempurna. Sebelum kita mengkaji lebih mendalam prasyarat ini ada baiknya kita perhatikan kepada asas kewujudan kekayaan ini yang asalnya adalah datang dari kurniaan Allah swt.
Kekayaan pada dasarnya adalah milik Allah swt. Allah swt yang menciptakannya dan mengurniakannya kepada manusia. Al-Quran telah memperingatkan perkara dasar ini iaitu hubungan kekayaan itu dengan pemilik yang sebenarnya iaitu Allah swt melalui firmannya di dalam surah an Nur ayat 33 yang bermaksud:
“Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu”
Begitu juga firman Allah swt di dalam surah al-‘Ali Imran ayat 180 yang bermaksud :
“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka”.
Allah swt juga menegaskan kedudukan manusia dalam hubungan dengan harta kekayaan ini. Hubungan itu adalah kedudukan manusia sebagai kuasa atau penyimpan harta kekayaan. Ini boleh diperhatikan di dalam surah al-Hadid ayat 7 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil”
Berdasarkan kepada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah swt telah menjadikan manusia sebagai khalifah dalam mentadbir urusan dunia termasuklah harta kekayaan yang dikurniakan olehNya. Kekayaan tersebut dijadikan oleh Allah swt sebagai hadiah ataupun cubaan dan dugaan untuk manusia di bumi ini dan manusialah sebagai pemiliknya.
Dalam meneliti definisi prasyarat milik sempurna ini, ia terdiri daripada dua perkataan, pemilikan dan sempurnanya pemilikan itu. Istilah bagi “pemilikan” ini adalah menguasai dan dapat digunakan. Dalam kamus al-Mu’jam al-Wasith disebutkan bahawa memiliki sesuatu yang membawa maksud menguasai dan ia dapat digunakannya. Pengertian ini sama ertinya dengan istilah yang diguna pakai oleh fuqaha’ sebagai contoh Sheikh Kamal bin Humam di dalam karangannya al-Fath mengertikan pemilikan itu “dapat menggunakan sesuatu itu sebagai haknya, bilamana tidak wujud hal-hal yang menghalangi” . Imam Qarafi di dalam kitabnya al-Furuq ada menyebutkan pemilikan itu sebagai “ketentuan hukum yang terdapat di dalam benda atau manfaat yang memberikan hak kepada orang yang memilikinya untuk menggunakannya, diambil manfaat atau meminta penggantiannya selama tidak terdapat hal-hal yang menghalangnya.”
Bagi perkataan “sempurna” pula, kekayaan itu haruslah berada di bawah penguasaan dan di dalam kekuasaannya atau seperti mana yang telah dinyatakan sebahagian fuqaha’ “kekayaan itu harus berada di tangannya, tidak tersangkut di dalamnya hak orang lain, dapat ia menggunakannya dan faedahnya dapat dinikmati”
Hikmah ditetapkan syarat tersebut:
Hikmah ditetapkan syarat milik sempurna ini adalah kerana pemilikan adalah nikmat yang paling besar sekali. Ia berkait rapat dengan syarat yang kedua dalam syarat wajib zakat iaitu merdeka. Ini kerana pemilikan melambangkan seseorang itu merdeka dari sudut sosial kehidupannya berbanding seorang hamba tidak mampu memiliki harta kerana hal keadaannya sebagai hamba. Pemilikan juga membezakan kelebihan yang diberikan Allah swt kepada manusia berbanding binatang kerana keupayaan untuk memiliki harta kekayaan yang ada. Dengan kekayaan itu dapatlah manusia memenuhi segala keperluan hidup mereka seharian.
Dengan pemilikan itu juga membuatkan manusia dapat menggunakan, menanam dan mengembangkan kekayaannya sendiri atau melalui orang lain. Nikmat besar yang diberikan ini membuatkan manusia seharusnya berterima kasih kepada Yang Maha Mengurniakan dan wajarlah apabila Islam mewajibkan pemilik harta kekayaan ini berzakat dan dan mengeluarkan hak kekayaan yang dimilikinya kepada golongan yang berhak menerima sebagai tanda kesyukuran dan penghambaan kepadaNya.
Harta kekayaan yang tidak mempunyai pemilik tertentu:
Berdasarkan penerangan di atas, kekayaan yang tidak mempunyai pemilik (yang dimaksudkan ialah pemilik yang khusus), maka kekayaan itu tidak wajib dizakatkan. Sebagai contoh harta kekayaan pemerintah yang berasal dari hasil kutipan zakat atau hasil pendapatan seperti cukai atau sumber-sumber lain untuk kepentingan rakyat, Ini kerana kekayaan itu tidak ada pemilik khususnya dan ia adalah milik seluruh rakyat termasuklah orang-orang miskin.
Harta haram tidak wajib zakat:
Harta kekayaan yang diperoleh dengan cara yang tidak baik dan haram tidak termasuk dalam harta yang diwajibkan zakat. Sebagai contoh kekayaan yang diperoleh dari cara perampasan, pencurian, penipuan, penyogokan, riba dan lain-lain yang diperoleh dengan cara yang tidak benar dan melanggar syarak. Hakikatnya, kekayaan yang diperoleh secara tidak sah dianggap bukan harta milik seseorang itu sekalipun seseorang itu mencampurkan ke dalam kekayaannya yang sah sehingga tidak mampu untuk dipisah-pisahkan di antara kedua-duanya.
Para ulama berkata bahawa seandainya sesuatu kekayaan yang diperoleh dengan cara tidak sah dan kotor cukup nisabnya, maka zakat tidaklah wajib ke atas kekayaan itu. Ini berdasarkan kepada hadis shahih Nabi saw bersabda yang bermaksud:
“Tidak diterima sedekah (zakat) dari kekayaan yang ghulul”
“Ghulul” bererti kekayaan yang diperoleh secara tidak sah dari kekayaan umum.
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN “HARTA YANG BERKEMBANG” (Bahagian Pertama)
Sesuatu harta itu ditentukan kewajipan zakat ke atasnya berdasarkan kepada sejauh mana berkembangnya harta tersebut sama ada ianya berkembang secara sengaja ataupun tidak. Maksud “berkembang” menurut bahasa ialah sesuatu harta yang memberikan keuntungan atau pendapatan kepada seseorang. Harta itu juga dikira berkembang sekiranya ia bertambah dengan sendiri sebagaimana yang dijelaskan oleh ahli fiqh.
Dari sudut istilah pula, takrif “berkembang” boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulama. Takrif yang pertama ialah “bertambah dengan kukuh” iaitu bertambahnya harta melalui perkara-perkara seperti pelaburan dan perdagangan. Takrif yang kedua pula ialah “bertambah dengan tidak kukuh” iaitu sesuatu kekayaan yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan baik sama ada ianya berada di tangan tuannya sendiri ataupun harta tersebut diamanahkan kepada orang lain.
Maksud Disyaratkan Kekayaan itu Berkembang
Menurut Ibnu Humam, takrif “zakat” dan takrif “zakat disyaratkan” adalah sesuatu yang berlainan. Menurut beliau, takrif asal zakat ialah “pemberian beban atas kekayaan” iaitu pemberian pertolongan kepada orang miskin sejumlah harta yang datangnya daripada lebihan dari kekayaan seseorang, di mana pertolongan itu tidak akan membebankan pemberi harta tersebut. Mewajibkan zakat ke atas harta yang bersifat “tidak mungkin berkembang” mungkin akan mengakibatkan perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya jika ia terjadi saban tahun bilamana ia digunakan untuk perbelanjaan sehari-hari. Oleh yang demikian, kita dapat melihat betapa benarnya sabda Rasulullah s.a.w., “Tidak akan berkurangan kekayaan kerana zakat”. Hal ini kerana zakat itu hanyalah sejumlah kecil dari harta yang wajib dikeluarkan, hasil daripada jumlah kekayaan yang banyak, berkembang, dan dimodalkan, di mana menurut sunnah Rasulullah pemberian itu tidak akan mengurangkan harta seseorang walaupun sedikit.
Alasan Ulama Menetapkan Syarat Tersebut
Ulama telah menetapkan syarat supaya sesuatu harta itu mestilah berkembang untuk diwajibkan zakat ke atasnya. Penetapan syarat tersebut adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah dan amalan para sahabat. Rasulullah tidak mewajibkan zakat ke atas kekayaan yang digunakan untuk kepentingan atau kegunaan peribadi seseorang sebagaimana yang ditegaskan oleh baginda di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Seorang Muslim tidak wajib mengeluarkan zakat dari kuda atau budaknya”
Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini merupakan landasan yang menunjukkan bahawa sesuatu harta yang bertujuan untuk kegunaan peribadi tidak diwajibkan zakat. Rasulullah hanya mewajibkan zakat ke atas harta yang berkembang dan di laburkan sahaja. Di Negara Arab dahulunya, kekayaan seperti ini ada bermacam jenis antaranya ialah:
1- Ternakan yang di gembala seperti unta, lembu/sapi, dan kambing
2- Wang emas dan perak di mana sebahagian orang memperdagangkannya atau disimpan
3- Hasil pertanian dan buah-buahan terutamanya makanan ruji seperti biji gandum, kurma, dan anggur.
4- Harta karun yang disembunyikan oleh orang-orang terdahulu yang kemudiannya ditemui. Walau bagaimanapun, ulama berselisih pendapat dalam mengkategorikan harta tersebut sama ada ianya dikenakan zakat atau tidak.
Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa setiap harta yang berkembang hasil daripada usaha seseorang wajib dikenakan zakat. Sebagai contohnya ialah ternakan yang diusahakan berkembang kerana faktor-faktor seperti diberi rawatan, diberi makan, kemudian melahirkan anak dan menghasilkan susu. Perkembangan ternakan ini adalah bersifat semula jadi kerana ia bertambah banyak seiring dengan pertambahan daging, susu, dan sebagainya.
Harta benda perdagangan yang mendatangkan keuntungan pula berkembang bukan secara semula jadi. Hal ini kerana pelaburan memerlukan usaha seseorang untuk menjana keuntungan dengan melakukan perkara-perkara seperti melaburkannya, menjalankan perniagaan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ulama amat bersetuju dengan usaha-usaha tersebut kerana melalui perdagangan akan dapat menghasilkan pekerjaan dan memberikan keuntungan.
Islam melihat pengembangan harta seperti ini adalah halal dan amat baik. Selain itu,wang juga merupakan kekayaan yang berkembang kerana ia merupakan pengukur nilai barangan, alat perantara sesuatu transaksi, dan menjadi lambang sesuatu barang. Apabila wang itu dilaburkan untuk urusan perniagaan, ia akan mendatangkan keuntungan dan memberikan pulangan. Tetapi sekiranya wang itu hanya disimpan dan tidak dilaburkan, maka penyimpannyalah yang bertanggungjawab kerana telah membekukan harta tersebut dari memperoleh keuntungan. Islam tidak menggalakkan umatnya untuk membekukan harta. Justeru Islam telah mengelakkan pembekuan harta ini dengan mengenakan zakat ke atas harta tersebut supaya ianya dapat kembali beredar di pasaran dan dapat memberikan keuntungan kepada ekonomi umat Islam khususnya.
Syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh ini adalah berlandaskan kepada petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah dan khulafa’ ar-Rashidin dan ianya amat bertepatan dengan definisi zakat itu sendiri. Hal ini kerana zakat menurut bahasa ialah berkembang. Harta yang dikeluarkan itu disebut zakat adalah kerana jumlah zakat yang dikeluarkan itu pada akhirnya akan mendapat berkat dan berkembang sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesuatu yang kalian berikan akan dibalas berlipat kali ganda oleh Allah” (Al-Quran 30:39)
Dari sudut pandangan yang lain pula, zakat itu sebenarnya hanya wajib dikeluarkan daripada harta yang berpotensi untuk berkembang sahaja. Oleh sebab itu, barangan yang digunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak mempunyai potensi untuk dikembangkan tidak diwajibkan zakat.
Kekayaan Yang Tidak Dapat Dikembangkan
Apabila sudah ditetapkan bahawa hanya harta yang berkembang sahaja yang diwajibkan zakat, maka timbul persoalan adakah harta yang tidak dapat dikembangkan wajib dikenakan zakat? Harta yang tidak dikembangkan ini dikhuatiri akan habis sekiranya digunakan setiap hari. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada faktor kenapa harta itu tidak dapat dikembangkan. Terdapat dua faktor yang memungkinkan harta itu tidak dapat berkembang iaitu pertamanya adalah kerana memang kerana harta itu tidak dapat dikembangkan dan faktor yang keduanya adalah kerana kelemahan pemiliknya sendiri.
Mengikut faktor yang pertama, harta tersebut memang tidak dapat dikembangkan mungkin disebabkan harta itu dicuri oleh orang lain, ataupun harta tersebut mungkin tertanam di tempat yang tidak diketahui atau lainnya yang mana perkara tersebut memang di luar kekuasaan pemilik dan faktor inilah yang menjadikan zakat tidak diwajibkan ke atas harta tersebut. Tetapi sekiranya harta itu tidak dikembangkan berpunca daripada kelemahan pemiliknya, maka Islam tidak dapat memaafkan individu terbabit. Oleh sebab itulah, Islam menetapkan orang seperti ini wajib juga mengeluarkan zakat tanpa mengira apa pun alasan yang menyebabkan dia tidak mengembangkan harta tersebut. Hal ini kerana, setiap Muslim dituntut untuk mengembangkan harta dan kekayaannya melalui pelbagai cara yang dihalalkan untuk mengembangkannya, baik dengan menguruskannya sendiri ataupun bekerjasama dengan orang lain.
Seseorang Muslim tidak seharusnya merasa tidak yakin kepada diri untuk melakukan sesuatu perkara tetapi sebaliknya dia haruslah bersedia dan berkeyakinan untuk menghadapi segala rintangan. Perasaan tidak berupaya melakukan sesuatu menurut Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk membebaskan pemilik kekayaan dari kewajipan berzakat, tetapi sebaliknya harus dijadikan cabaran untuk meningkatkan prestasinya. Oleh sebab itu, terdapat hadis yang mana Rasulullah telah berdoa supaya terhindar dari ketidakupayaan, melarang perbuatan tersebut, dan tidak menyukai orang yang mempunyai sifat tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah di dalam sahih Bukhari yang bermaksud:
“Ya Allah aku berlindung kepada mu dari tidak berdaya dan kemalasan”.
Hadis riwayat Abu Hurairah:
“Kejarlah segala yang memberi keuntungan kepada mu, minta tolonglah kepada Allah, dan janganlah kau merasa tidak berdaya”.
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN “HARTA YANG BERKEMBANG” (Bahagian Terakhir)
Semua Kekayaan Yang Berkembang Merupakan Subjek Zakat
Daripada ketentuan yang telah dibuat oleh ulamak, jelaslah kepada kita bahawa harta yang berkembang secara semula jadi akan menjadi subjek atau sumber zakat. Walaupun Rasulullah tidak pernah menegaskan secara jelas kewajipan mengeluarkan zakat dengan sebab berkembangnya harta, tetapi hal itu dapat kita simpulkan daripada pernyataan umum dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Hal ini berbeza dengan pendapat segelintir ulamak yang berpandangan terlalu tertutup yang mengatakan bahawa zakat hanya dikenakan ke atas harta yang disebut di dalam hadith nabi sahaja. Harta yang selain dari hadith Nabi adalah tidak dikenakan zakat menurut pendapat mereka. Antara ulamak yang berpendapat seperti ini ialah Ibn Hazam. Di dalam al-Muhalla, Ibn Hazam menyatakan bahawa jenis harta yang dikenakan zakat hanya ada lapan berdasarkan kepada hadith Rasulullah iaitu, unta, lembu, kambing, gandum, biji gandum, kurma, emas dan perak. Menurut beliau lagi, harta lain yang tidak dinyatakan oleh Rasulullah seperti anggur dan lainnya tidak dikenakan zakat. Justeru itu, menurut pendapat Ibn Hazam lagi, kekayaan dari jenis haiwan yang dikenakan zakat hanya ada tiga jenis iaitu unta, lembu, dan kambing sahaja. Manakala harta yang berada dalam kategori pertanian pula hanyalah gandum, biji gandum, dan kurma sahaja. Bagi kategori logam yang berharga pula, hanya emas dan perak yang akan dikenakan zakat.
Walaupun terdapat ulamak yang berpendirian agak tertutup seperti Ibn Hazam, terdapat juga segelintir ulamak lain yang berfikiran lebih luas sehinggakan mereka menyatakan bahawa segala harta yang berkembang akan dikenakan zakat. Ulamak fiqh yang berpendapat sebegitu antaranya ialah Imam Abu Hanifah. Beliau berpendapat bahawa segala usaha pertanian yang berfaktorkan keuntungan haruslah dikenakan zakat tanpa mngira dari jenis apakan pertanian tersebut. Beliau juga mewajibkan zakat ke atas kuda tunggangan dan barangan perhiasan tetapi kewajipan tersebut hanya dibebankan keatas orang dewasa sahaja tidak termasuk kanak-kanak dan orang gila.
Pendapat Ibnu Hazam dan ulamak yang sealiran pendapat dengannya seperti Syaukani, dan Sadiq Hasan Khan adalah didasari oleh beberapa alasan iaitu:
Kekayaan kaum muslimin harus dijaga kehormatannya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh nas-nas al-Quran dan Hadith. Justeru itu, tidak boleh diambil harta kaum Muslimin dengan sewenangnya tanpa ada nas yang membenarkannya.
Zakat merupakan perintah agama. Menurut pendapat Ibnu Hazam, asal sesuatu perintaah dalam agama adalah bebas dari melakukan sesuatu kecuali terpadat dalil-dalil yang mewajibkannya. Mengenai kaedah “Qias” pula Ibnu Hazam menyatakan ia tidak boleh digunakan terutamanya dalam masalah yang berkaitan dengan zakat.
Walau bagaimanapun, kita (pandangan Dr Muhammad Yusuf al-Qardhawi) mempunyai pendapat yang begitu berbeza dengan pendapat Ibnu Hazam dan ulamak yang sealiran dengannya. Pandangan kita ini adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip lain yang begitu berbeza dengan prinsip di atas. Pendapat ini adalah seperti berikut:
Kandungan al-Quran dan hadis menegaskan bahawa setiap kekayaan terdapat di dalamnya hak orang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang didalam kekayaan mereka terkandung hak tertentu orang lain”.
Selain itu Rasulullah pernah bersabda:
“Khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan zakat atas kekayaan mereka yang dipungut dari orang-orang kaya dan dikembalikan kepada orang-orang miskin dari kalangan mereka”.
Juga Hadith yang bermaksud:
“Bayarlah zakat kekayaan kamu”
Semua orang kaya perlu membersihkan dan mensucikan diri mereka. Cara membersihkan diri ini adalah dengan mengorbankan harta dan mensucikan diri dari sifat bakhil dan sifat mementingkan diri sendiri. Oleh sebab itulah Allah berfirman yang bermaksud:
“Pungutlah zakat dari kekayaan mereka, engkau bersihkan dan sucikan mereka dengan zakat tersebut”.
Pembersihan dan penyucian jiwa ini tentulah tidak adil sekiranya hanya diwajibkan kepada golongan petani khususnya petani gandum seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hazam.
Semua kekayaan adalah perlu dibersihkan daripada kotoran-kotoran yang mungkin tersangkut ketika mana seseorang berusaha mencarinya (kekayaan). Cara membersihkan kekayaan itu ialah dengan mengeluarkan zakat. Hal ini sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah melalui Ibnu Umar, bahawa Allah mewajibkan zakat sebagai alat untuk membersihkan kekayaan. Selain itu terdapat juga hadith yang lain berkenaan membersihkan kekayaan ini sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Bila engkau membayar zakat kekayaan, maka bererti engkau telah membuang yang tidak baik darinya”.
Oleh sebab itulah, tidak logik sekiranya pembersihan kekayaan itu hanya terbatas kepada lapan jenis kekayaan sahaja sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Hazam.
Tujuan zakat diwajibkan adalah kerana untuk membantu fakir miskin, orang-orang yang berhutang, para musafir, untuk membantu mereka yang berjihad dijalan Allah, mengambil hati orang yang baru memeluk Islam, membantu orang-orang yang berhutang supaya persahabatan tidak rosak dan lain-lainnya untuk kemaslahatan umat Islam.
Menjaga kemaslahatan umum itu merupakan kewajipan setiap umat Islam terutamanya mereka yang mempunyai kekayaan. Amat tidak adil sekali sekiranya agama membebankan kewajipan berzakat hanya kepada orang yang memiliki unta, kambing dan lembu sahaja. Sedangkan kemaslahatan umat Islam haruslah dijaga bersama. Tidak adil juga sekiranya orang-orang yang memiliki gedung kain yang besar atau pegawai-pegawai yang berpendapatan tinggi tidak membantu dalam menjaga kemaslahatan umat Islam (tidak membayar zakat).
Prinsip Islam mengenai kekayaan ialah “sesungguhnya segala kekayaan itu adalah hak milik Allah, sedangkan manusia hanya penerima amanah dari pemiliknya yang asal iaitu Allah. Saudara mara yang miskin dan orang-orang yang serba kekurangan pula mempunyai hak dalam kekayaan itu dan mereka dilihat dari segi sesungguhnya mereka juga merupakan anggota keluarga Allah”.
Menurut jumhur ulamak, qias merupakan salah satu sumber hukum sekalipun ianya tidak diterima oleh Ibnu Hazam dan ulamak-ulamak bermazhab Zahiri. Justeru itu, jumhur ulamak berpendapat bahawa perlu diqiaskan semua harta yang berkembang dengan kekayaan yang dikeluarkan zakatnya oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda.
Kita berpendirian tegas bahawa Islam tidak membezakan di antara dua perkara yang sama dan sebaliknya tidak menyamakan dua perkara yang berbeza. Bagi kita, zakat yang diqiaskan itu merupakan suatu ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah dan ianya bukanlah sesuatu perkara yang diada-adakan (bida’h).
Kita juga tidak mencabuli kesucian harta seseorang muslim bahkan sebaliknya begitu menjaga hak peribadi seseorang muslim. Kita berpendapat bahawa di dalam sesuatu kekayaan terdapatnya hak Allah atau dalam erti kata lain hak orang yang memerlukannya seperti fakir miskin. Ibnu Hazam sendiri pernah menegaskan supaya pemerintah berhak memaksa rakyatnya untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Golongan miskin pula tidak seharusnya membiarkan diri mereka ditindas dengan hanya membiarkan sahaja hak-hak mereka tidak diberikan (zakat).
Walaupun begitu, masih terdapat keraguan yang mengatakan bahawa Rasulullah tidak mengambil zakat daripada harta yang berkembang pada zaman baginda. Dalam menjawab persoalan ini, saya melihatnya daripada dua sudut. Yang pertamanya ialah, kerana pada zaman Rasulullah terlalu sedikit harta yang boleh dikembangkan. Oleh sebab itu, Rasulullah tidak meminta zakat daripada mereka dengan tujuan untuk memberikan keringanan dan menggalakan umat Islam di zaman baginda untuk lebih berusaha. Yang keduanya adalah kerana umat Islam di zaman Rasulullah begitu kuat iman mereka. Walaupun Rasulullah tidak pernah mengenakan zakat kepada mereka, tetapi dengan iman mereka yang kuat telah memberikan kesedaran kepada mereka untuk menyedekahkan harta mereka kepada yang memerlukan. Mereka menyedari bahawa di dalam setiap kekayaan yang dimiliki, terkandung di dalamnya hak-hak orang lain yang mana harta tersebut perlu dibersihkan dengan memberikannya kepada mereka yang memerlukan.
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN ‘CUKUP NISAB'
CUKUP NISAB
Dalam Islam, kewajipan menunaikan zakat tidak dinilai daripada sejauh mana kekayaan seseorang, tetapi sebaliknya ia dinilai daripada sejumlah tertentu dari harta yang telah mencapai jumlah ditetapkan yang disebut sebagai ‘nisab’. ‘Nisab’ seperti mana yang diterangkan hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut tentang kewajipan mengeluarkan zakat ke atas unta yang mencapai jumlah lima ekor serta kambing yang berjumlah empat puluh ekor. Bilangan unta dan kambing tersebut wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kerana telah cukup ‘nisab’. Begitu juga tanaman (seperti padi bagi di negara ini) adalah sebanyak 5 ausuq yang bersamaan dengan 400 gantang Baghdad.
Syeikh Dahlawi telah menjelaskan berkenaan hikmah ditentukan nisab ini berdasarkan kata-katanya seperti berikut, “Ditetapkan 5 ausuq bijian dan kurma itu kerana ianya bersesuaian dengan keperluan minimum dalam sesebuah rumah tangga untuk tempoh setahun. Dalam sebuah keluarga, terdapat suami, isteri, dan anak-anak dan jumlah makanan asasi yang dimakan oleh sesebuah keluarga adalah satu gantang atau satu kati beras sahaja bagi setiap seorang. Jumlah yang dimakan tersebut sudah mencukupi bagi tempoh setahun dan lebihan dari itu mungkin dijadikan simpanan atau lauk-pauk dan lebihan inilah yang akan dikenakan zakat. Bagi wang perak pula, wajib dikeluarkan zakat apabila beratnya menyamai atau melebihi 595g atau 176 mayam (200 dirham). Jumlah tersebut adalah mencukupi untuk keperluan sesebuah keluarga dalam tempoh setahun dan zakat yang dikeluarkan tidak sedikit pun menjejaskan keperluan atau merugikan sesebuah keluarga.
Manakala jumlah unta yang wajib dizakatkan ialah apabila jumlahnya sebanyak 5 ekor dan ke atas. Bagi 5 ekor unta, jumlah zakatnya adalah sebanyak 1 ekor kambing. Walaupun dari segi prinsipnya, zakat itu perlu dibayar dari jenis yang sama dengan apa yang dizakatkan sebagai contoh unta perlu dibayar dengan unta, tetapi unta merupakan binatang yang terlalu banyak manfaatnya yang mana kita boleh gunakannya sebagai makanan, diambil susunya, kulitnya dijadikan pakaian dan sebagainya. Oleh sebab itulah, zakat bagi unta digantikan bayarannya dengan kambing dengan tujuan untuk mengurangkan beban pemilik unta tersebut.
Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa sesuatu harta itu haruslah cukup nisabnya untuk dikenakan zakat kecuali dalam hasil tanaman, buah-buahan, emas, dan perak. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa setiap tanaman harus dikenakan zakat sebanyak sepuluh peratus walaupun jumlah tanamannya sedikit atau banyak. Begitu juga pendapat daripada Ibnu Abbas, Umar bin Abdul Aziz dan lain-lain, bahawa dalam 10 ikat hasil tanaman, harus dikeluarkan zakat sebanyak satu ikat (10%) dari tanaman tersebut. Walau bagaimanapun, jumhur ulama berpendapat bahawa nisablah yang merupakan penentuan bagi sesuatu kekayaan itu untuk dikenakan zakat tidak kiralah sama ada kekayaan itu hasil daripada tumbuhan di tanah ataupun bukan. Pendapat jumhur ulama ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w iaitu “ Di bawah lima ausaq, tidak ada zakatnya”. Berdasarkan kepada hadis ini, para ulama membuat kiasan dengan kekayaan-kekayaan yang lain seperti binatang ternakan, wang dan barang-barang perniagaan.
Hikmah ditentukan kadar nisab ini jelas menunjukkan bahawa, zakat merupakan cukai atau perolehan yang dikenakan ke atas orang yang memiliki kekayaan untuk membantu orang miskin dan untuk pembangunan Islam secara keseluruhannya. Oleh sebab itulah zakat dikenakan kepada orang yang mampu sahaja dan tidak dikenakan kepada orang yang tidak berkemampuan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
‘Tidak dikenakan zakat melainkan hanya kepada orang kaya’
Sekian terima kasih.
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN ‘LEBIHAN HARTA DARI KEPERLUAN BIASA
LEBIHAN HARTA DARI KEPERLUAN BIASA
Sebahagian ulama-ulama fiqh berpendapat bahawa zakat hanya diwajibkan ke atas harta kekayaan yang berlebihan daripada keperluan biasa pemiliknya. Contohnya ialah harta yang berlebihan setelah ditolak dengan perbelanjaan harian. Hal ini kerana, menurut mereka, harta yang berlebihan inilah yang dipanggil sebagai kekayaan dan membolehkan seseorang itu menikmati kemewahan dan lebihan ini wajib dikenakan zakat. Menurut mereka, keperluan harian mesti dipenuhi terlebih dahulu contohnya makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Sekiranya seseorang hanya sekadar mampu untuk menyara keperluan harian sahaja, maka dia tidak dikira sebagai orang yang hidup mewah kerana keterbatasannya untuk bermewah-mewah dan ini tidak melayakkannya untuk mengeluarkan zakat dari lebihan hartanya.
Walaubagaimanapun, ada sesetengah ulama yang terdiri dari ulama mazhab Hanafi, tidak meletakkan penentuan ini (lebihan harta dari keperluan biasa) sebagai suatu penentu sesuatu harta itu dikenakan zakat. Menurut mereka yang berpendapat sedemikian, harta yang digunakan untuk kegunaan harian seperti pakaian, rumah, makanan tidak boleh dikira sebagai harta yang berkembang kerana ianya dikira sebagai harta rutin untuk kegunaan peribadi.
Menurut mereka (ulama mazhab Hanafi), keperluan harian merupakan sesuatu yang besifat peribadi dan tidak boleh dicabuli sewenangnya. Islam begitu menjaga kepentingan individu dan tidak sesiapa pun boleh melanggarnya sesuka hati. Menurut mereka, sesuatu harta itu boleh dikira berlebihan sekiranya lebihan dari harta itu dapat diniagakan supaya apa yang dimaksudkan dengan pertumbuhan itu wujud. Sekiranya tidak wujud sebarang pertambahan, maka harta itu tidak boleh dikenakan zakat.
Landasan bagi mereka yang berpendapat lebihan harta dari keperluan biasa sebagai penentuan dikenakan zakat berdasarkan Al-Quran dan Hadis:
Sebahagian ulama menetapkan syarat bahawa “lebihan harta dari keperluan biasa” adalah syarat untuk harta dikenakan zakat berdasarkan kepada hadith daripada Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya yang bersumber daripada Abu Hurairah iaitu:
“Zakat hanya dibebankan di atas bahu orang yang kaya”.
Imam Bukhari pula meriwayatkan hadith tersebut dalam kitabnya Sahih Bukhari dalam bab “Nasihat-nasihat” pada bab yang berkaitan dengan zakat. Bagi orang yang mempunyai keluarga yang sangat memerlukan harta, atau mempunyai hutang yang harus dibayar, maka hutang itu lebih penting dibayar daripada dikenakan zakat.
Dalil lain yang menunjukkan “Harta yang lebih dari keperluan biasa” wajib dikenakan zakat ialah berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu Muhammad tentang apa yang akan mereka nafkahkan. Katakanlah, “Yang lebih dari keperluan”.
Menurut Ibnu Abbas, maksud perkataan “Yang lebih dari keperluan” dalam surah al-Baqarah itu ialah sesuatu yang lebih dari keperluan keluarga (lebihan harta).
Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa Allah yang maha bijaksana telah menetapkan bahawa hanya harta yang berlebihan sahaja yang akan dikenakan zakat manakala harta yang digunakan untuk peribadi seperti makan, pakaian, dan tempat tinggal langsung tidak diganggu gugat.
Ibnu Kathir pula menyatakan bahawa syarat “Harta yang lebih dari keperluan biasa” akan dikenakan zakat berdasarkan kepada satu lagi hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Jarir dengan sanadnya daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Seorang lelaki telah berkata, “Saya mempunyai wang sebnyak satu dinar wahai Rasulullah.” Rasulullah menjawab, “Berikanlah kepada dirimu sendiri.” Ia bertanya lagi, “Saya mempunyai wang lagi.” Nabi menjawab, “Berikanlah kepada isterimu”, Ia bertanya lagi. “Saya masih mempunyai wang lagi”. Rasulullah menjawab, “Berikanlah kepada anakmu”. Ia bertanya lagi, “Saya masih mempunyai wang lagi”. Rasulullah menjawab, “Ini bererti kau telah mempunyai kelapangan”
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN ‘BEBAS DARI HUTANG’
BEBAS DARI HUTANG
Apa yang dimaksudkan dengan pemilikan sempurna ialah sesuatu harta itu haruslah melebihi dari keperluan asas seperti pakaian, makanan, dan tempat tinggal dan ia seharusnya cukup nisab dan bebas dari hutang. Sekiranya semua syarat ini dipenuhi, barulah harta itu diwajibkan zakat keatasnya. Bagi seseorang yang menanggung beban hutang yang mana hutang itu mengurangkan nisabnya, maka hutang itu haruslah dibayar terlebih dahulu sebelum harta itu boleh dikira sebagai harta yang wajib dizakatkan. Walaubagaimanapun, terdapat segelintir ulamak yang berbeza pendapat dalam memahami konsep “harta yang diwajibkan zakat” ini. Faktor perbezaan pendapat ini adalah kerana mereka memahami erti zakat, cara pembayaran zakat dan sebagainya secara berbeza.
Terdapat dua pendapat ulamak dalam memahami perkara ini. Pandangan yang pertama terdiri daripada ulamak yang berpandangan bahawa zakat adalah hak fakir miskin. Zakat tidak diwajibkan ke atas orang yang memiliki hutang kerana mereka berpendapat hak orang yang menerima hutang adalah lebih utama daripada hak orang miskin untuk menerimanya. Kekayaan itu sebenarnya adalah hak milik orang yang menerima hutang dan bukannya hak orang yang berhutang.
Pendapat yang kedua adalah ulamak yang mengatakan bahawa zakat merupakan suatu ibadat yang dikenakan ke atas orang yang memiliki kekayaan walaupun orang itu mempunyai hutang. Hal ini kerana, menurut mereka, kekayaan seseorang merupakan syarat yang menyebabkan seseorang itu wajib membayar zakat walaupun ia berhutang. Mereka berpandangan bahawa dalam hal tersebut, bertemu dua kepentingan iaitu hak Allah dan hak manusia, justeru hak Allah haruslah didahulukan iaitu dengan membayar zakat.
Menurut Ibnu Rushd pula, beliau berpandangan bahawa beban membayar zakat haruslah digugurkan kepada orang yang memiliki hutang. Pandangan beliau ini didasari oleh nas-nas yang kuat, dan dasar syariat mengenai kekayaan, baik kekayaan yang kukuh ataupun tidak. Pandangan beliau adalah seperti berikut:
Hak milik orang yang berhutang itu sebenarnya adalah lemah. Hal ini kerana orang yang menerima hutang mempunyai hak ke atas harta tersebut dan boleh memintanya pada bila-bila masa sahaja. Menurut mazhab Hanafi, orang yang menerima hutang berhak mengambil semula hartanya daripada “si berhutang” dalam bentuk apa sekalipun asalkan nilainya sama dengan hutang yang harus dibayar kepadanya. Sebagaimana yang diketahui, kita telah sedia maklum bahawa syarat harta yang wajib dizakatkan ialah harta tersebut merupakan milik penuh pemiliknya. Dalam hal ini, harta tersebut bukanlah milik penuh pemiliknya kerana sebahagian hartanya adalah hak milik orang yang menerima hutang.
Orang yang paling layak untuk dikenakan zakat ialah orang yang menerima hutang tersebut. Hal ini kerana, hutang itu merupakan harta miliknya dan dia berhak ke atas harta tersebut. Ini merupakan pendapat jumhur ulamak. Sekiranya hutang itu harus dibayar oleh orang yang berhutang, hal ini akan menyebabkan satu kekayaan akan dizakatkan sebanyak dua kali dan akan menyebabkan pertindihan yang dilarang oleh syarak.
Orang yang berhutang merupakan orang yang layak menerima zakat kerana dia termasuk dalam kategori orang yang miskin. Oleh sebab itulah ia tidak dikenakan zakat. Mana mungkin seseorang yang layak menerima zakat diwajibkan zakat ke atasnya.
Sedekah hanya diwajibkan ke atas orang yang kaya sahaja sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. Orang yang berhutung tidak tergolong dalam orang yang memiliki kekayaan kerana dia wajib menjelaskan hutangnya terlebih dahulu yang boleh menyiksakan jiwanya kerana terpaksa memikirkan hutangnya siang dan malam.
Secara umumnya, kewajipan menunaikan zakat bertujuan untuk membantu orang-orang yang berada dalam kesulitan. Orang yang berhutang merupakan orang yang berada di dalam kesulitan. Sekiranya dia diwajibkan untuk membayar zakat, sudah tentu keadaan ekonominya akan bertambah buruk. Justeru tidak adil sekiranya kesusahan seseorang diabaikan semata-mata untuk menutup kesusahan orang lain. Rasulullah bersabda dalam hadithny yang bermaksud:
“Dahulukan dirimu, kemudian barulah orang yang berada dibawah tanggunganmu”
Syarat-syarat hutang yang menggugurkan kewajipan zakat
Syarat yang tidak ada perselisihannya di kalangan ulamak ialah apabila sesuatu hutang itu mengurangi atau menghabiskan jumlah nisab. Sebagai contohnya ialah, jika seseorang mempunyai wang sebanyak RM1000, sedangkan hutangnya lebih dari itu, maka hutangnya itu telah mengurangkan nisab dan wang itu tidak dikenakan zakat ke atasnya.
MENGELUARKAN ZAKAT HARTA SATU DARI RUKUN ISLAM
Zakat adalah salah satu asas bina ISLAM yang lima. Kepentingan zakat dalam ISLAM digambarkan melalui kedudukannya yang merupakan rukun ISLAM yang ketiga iaitu sesudah mengucapkan dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Ini telah dirakamkan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
ISLAM dibina di atas lima asas: menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad pesuruh ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan haji bagi sesiapa yang berkuasa melaksanakannya. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sebagai pengetahuan, perkataan zakat dalam bentuk ma’rifah (definisi) telah disebut di dalam al-Quran sebanyak 30 kali, antaranya 27 kali disebut bersama perkataan solat dalam satu ayat. Dari segi penurunan ayat-ayat zakat ini, terdapat 8 kali disebut di dalam surah-surah yang diturunkan di Makkah dan yang selebihnya telah disebut pada surah-surah yang diturunkan di Madinah.
Antara ayat-ayat yang disebut bersama perkataan solat dalam satu ayat, firman Allah di dalam surah al-Baqarah, maksudnya: Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat, dan setiap pekerjaan baik yang kami kerjakan untuk dirimu nescaya akan kami dapati kembali nanti disisi tuhan dan sesungguhnya tuhan melihat apa yang kamu kerjakan. (110: al-Baqarah)
ALLAH telah berfirman dalam mensifatkan hamba-hambaNya yang mukmin di dalam surah al-Anfal, maksudnya: Mereka yang mengerjakan solat dan membelanjakan setengah dari rezeki yang kami berikan kepada mereka, mereka itu lah orang-orang yang sebenarnya beriman. (3-4: al-Anfal)
Hadis Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa sesiapa yang tidak menunaikan zakat hartanya, tidak boleh dianggap seorang mukmin yang sebenar.
“Barangsiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, maka hendaklah ia menunaikan zakat hartanya.”
Dan ketahuilah juga bahawa orang yang solat, berpuasa dan telah menunaikan hajinya, tetapi belum mengeluarkan zakat, nescaya ALLAH tidak akan menerima solatnya dan puasanya serta hajinya sehingga ia mengeluarkan zakat sebab semua perkara-perkara ini adalah bertalian satu dengan lain. ALLAH tidak akan menerima dari hambaNya setengah ibadahnya sehingga ia sempurnakan kesemuanya.
PENGERTIAN ZAKAT
DARI SEGI BAHASA:
Zakat bererti ”BERSIH”,” SUCI”,” SUBUR”,” BERKAT” dan” BERKEMBANG”.
Pengertian” BERSIH” dan” SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti kata yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.
DARI SEGI SYARAK
Zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada golongan-golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu
HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT
Hikmah dan tujuan ALLAH mensyariatkan zakat antaranya ialah:
- Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
- Membersihkan diri pembayar zakat
- Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat
- Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH di kalangan golongan yang berada
- Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan orang yang kurang bernasib baik
- Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
- Memberikan peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka
- Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat ISLAM dalam urusan ekonomi dan kewangan
PERINGATAN KERAS DARI ALLAH DAN RASUL TERHADAP ORANG YANG TIDAK MEMBAYAR ZAKAT HARTA
Nabi Muhammad s.a.w telah menegaskan semasa baginda s.a.w berada di Madinah bahawa zakat adalah satu perkara yang wajib ditunaikan serta menjelaskan kedudukan zakat di dalam Islam. Baginda s.a.w menegaskan bahawa zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang utama, dipuji bagi orang yang melaksanakan ibadah zakat ini dan diancam bagi orang yang tidak melaksanakannya dengan berbagai-bagai ancaman sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Di dalam beberapa hadis yang berkaitan, Rasulullah s.a.w menerangkan tentang ancaman kepada orang yang tidak membayar zakat harta dengan hukum berat di akhirat moga-moga dengan ancaman ini, orang yang lalai dari melaksanakan ibadah ini akan tersentak lalu terus melaksanakannya dan dapat mengikis sifat kikir dan kedekut yang terpendam dalam hati mereka.
Kemudian dengan cara memberi pujian dan memberi rasa takut kepada seksaan yang bakal diterima, baginda s.a.w mengajak umatnya agar melaksanakan kewajipan zakat ini secara sukarela tetapi bila mana manusia enggan atau ingkar dengan tuntutan ini, Islam menuntut secara paksa menggunakan hukum yang telah ditetapkan dan menggunakan kekuasaan yang ada pada pemerintah (seperti mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan dan ingkar akan kewajipan membayar zakat) agar melaksanakan kewajipan tersebut.
Hukuman di Akhirat
Antara hukum di akhirat bagi mereka yang tidak melaksanakan tuntutan ini, Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat nanti, ia akan didatangi seekor ular yang besar yang sangat berbisa dan amat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya lalu membelit dan mematuk lehernya sambil berteriak “Aku adalah kekayaanmu, aku adalah kekayaanmu yang kamu kumpulkan dahulu“
Kemudian baginda s.a.w membaca ayat al-Quran “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.
Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?”surah ali-’Imran ayat 180
Hukuman di Dunia
Bagi hukuman di dunia pula, Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Bila mereka tidak mengeluarkan zakat bererti mereka telah menghalang hujan turun. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak akan diberi hujan” hadis riwayat Ibnu Majah, Bazzar dan Baihaqi.
Orang-orang Yang Tidak Membayar Zakat Dihukum Bunuh
Islam tidak hanya menghukum golongan yang tidak membayar zakat dengan hukuman seperti di atas sahaja tetapi lebih dari itu, Islam memerintahkan agar memerangi dan harus dihukum bunuh golongan yang membangkang dari membayar zakat. Hal ini berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih dan menjadi ijmak (telah disepakati) oleh para sahabat. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abdullah bin Umar bermaksud:
”Rasululah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi mereka kecuali bila mereka sudah mengikrarkan syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah RasulNya, mendirikan solat dan membayar zakat. Bila mereka sudah melaksanakan hal itu, maka darah mereka sudah mendapat perlindungan dari aku kecuali dengan hak-hak lain yang perhitungannya diserahkan kepada Allah s.w.t.”
Hadis ini menunjukkan dengan tegas bahawa orang yang tidak membayar zakat harus diperangi sampai mereka membayarnya.
Orang Yang Mengingkari Zakat Adalah Kafir
Berdasarkan kedudukan zakat dalam syariat Islam, para ulama’ menetapkan bahawa orang yang mengingkari dan tidak mengakui zakat itu wajib, adalah kafir dan sudah keluar dari Islam.
Imam Nawawi Rahimahullahu Taala Alaihi berkata:”Bila orang itu mengingkari wajibnya zakat kerana dia belum mengetahuinya dengan sebab hidup pada masa Islam baru tersebar atau tinggal jauh di pendalaman (tidak sampai seruan dakwah), maka ia tidaklah dinilai kafir tetapi harus diterangkan dan diberi pendedahan kepadanya terlebih dahulu bahawa zakat itu wajib lalu baru dipungut zakatnya.
Bila dia tetap mengingkarinya (setelah diberi penerangan) barulah ia dihukum kafir. Tetapi bila orang itu hidup di tengah-tengah umat Islam, maka dia dihukum kafir dan diperlakukan sebagai orang-orang murtad yang harus diberi hukuman. Oleh kerana wajibnya zakat ini sudah diketahui oleh umum, yang mengingkari wajib zakat ini dinilai sama seperti tidak mengakui Allah dan RasulNya dan mereka ini dihukum kafir. (Rujukan al-Majmuk jilid 5: 334) Penegasan Imam Nawawi ini diperkuatkan pula oleh Ibnu Qudamah (rujuk al-Mughni jilid 2: 573)
Berdasarkan hukum syarak yang jelas, tegas dan diakui secara keseluruhannya dapatlah kita nilai bagaimana kedudukan orang-orang yang merendahkan kedudukan zakat dan memandang enteng tidak mengambil berat tentangnya serta mengatakan bahawa zakat tidak sesuai dilaksanakan di zaman yang serba moden ini. Ingatlah, Allah s.w.t tahu atas apa yang telah kita nilaikan selama ini.
ADAB-ADAB BERZAKAT
- Berzakat dengan ikhlas.
- Mengeluarkan harta yang paling baik yang dimiliki
- Hendaklah dirahsiakan pemberian zakat jika dibimbangi timbulnya perasaan riak
- Bersegera mengeluarkan zakat apabila mencukupi syarat-syaratnya
- Sunat mewakilkan kepada orang lain untuk mengeluarkan zakat, jika takut dipuji yang boleh menimbulkan riak
- Disunatkan berdoa semasa mengeluarkan zakat dengan doa: “Ya ALLAH jadikanlah ia suatu keuntungan dan janganlah jadikan ia sesuatu kerugian “
- Bagi amil pula disunatkan berdoa ketika menerimanya: “Semoga ALLAH mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap apa yang telah engkau berikan dan memberkati segala harta kamu yang masih tinggal dan semoga ALLAH menjadikan zakat mu sebagai pembersih harta mu “Amin.
KELEBIHAN ORANG YANG BERHARTA KELUAR ZAKAT
Allah SWT telah merakamkan penganugerahan kelebihan dan keuntungan kepada hambaNya yang telah membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT melalui al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Maksud Firman Allah Ta’ala di dalam surah al Baqarah:
Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. Surah al-Baqarah: 261
Orang yang berzakat itu, apabila mengeluarkan zakatnya tentu mendapat pahala yang besar dan ganjaran yang mulia disamping memperoleh faedah dan keuntungan dunia dan akhirat. Di dalam harta itu terdapat beberapa bahaya, fitnah dan bencana yang tidak akan terlepas dari seseorang yang berharta itu melainkan setelah ia mengeluarkan zakatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika anda menunaikan zakat hartamu dengan senang hati, maka sebenarnya anda telah terselamat dari bencananya”
Demikianlah pula harta yang telah dizakatkan itu tidak akan ditimpa kerosakan dan kebinasaan sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”
SabdaNya lagi yang bermaksud: “Bentengi harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan ubati penyakit-penyakit kamu dengan mengeluarkan sedekah”
Harta yang telah dizakatkan itu terbenteng dan terpelihara dalam pemeliharaan Allah SWT kerana harta itu bersih dan telah diberkati. Manakala harta yang tidak dizakatkan itu adalah harta yang tersia-sia kerana ianya kotor dan tidak diberkati
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada sesuatu harta yang bercampur dengan zakat (tidak dizakatkan) melainkan ia memusnahkannya”
Apalah baiknya dan apalah gunannya harta yang telah terangkat atau terhapus berkatnya dan yang tinggal hanya bencana dan fitnah semata-mata sedang terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu adakalanya secara zahir dapat dilihat iaitu terhapusnya gambaran harta itu dan kembalinya manusia sesudah kaya raya menjadi miskin dan papa kedana, hidup penuh gelisah dan keluh kesah, mereka bosan terhadap ketentuan Allah SWT. Perkara serupa ini sering menimpa ke atas ramai orang yang mengambil mudah dan enteng terhadap kewajipan zakat.
Ada kalanya terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu secara batin iaitu harta yang dikumpul itu tetap ada ditangan, semakin hari semakin bertambah namun tuannya tidak pula memanafaatkan harta itu samada pada kepentingan agamanya seperti menginfaqkannya ke jalan kebajikan mahupun pada kepentingan diri sendiri seperti membelanjakannya untuk menutup hajat dan keperluan hidup seharian, sebaliknya ada pula yang terus hidup dalam kecelakaan dan kesusahan kerana mereka sayang hendak mengeluarkan hak (zakat) harta itu tetapi tidak sayang untuk mengeluarkannya pada jalan-jalan yang ditegah oleh agama Allah seperti membelanjakannya untuk berbuat maksiat dan seumpamanya.
Mudah-mudahan Allah melindungi kita daripadanya ataupun membelanjakannya pada memburu nafsu dan syahwat kebinatangan yang tidak akan mendapat faedah atau hasil yang baik di dunia mahupun di akhirat.
SYARAT-SYARAT UMUM UNTUK MENUNAIKAN ZAKAT
ISLAM
Zakat adalah rukun ISLAM yang ketiga. Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang ISLAM dan tidak diwajibkan ke atas orang bukan ISLAM.
MERDEKA
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib dan hamba tidak diwajibkan zakat.
MILIK SEMPURNA
Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak hiyazah) dan keupayaan mengurus ( hak tasarruf ) di mana seseorang berhak menjual, menyewa dan seumpamanya ke atas barangan tersebut. Bagi harta yang berkongsi antara orang ISLAM dan orang bukan ISLAM, hanya bahagian orang ISLAM sahaja yang diambil kira dalam pengiraan zakat.
HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT
Semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.
CUKUP NISAB
Nisab ialah paras minimum pemilikan sesuatu harta yang menyebabkan seseorang itu wajib mengeluarkan zakat. Bagi kebanyakan harta, nisabnya ialah 20 misqal bersamaan nilai 85-gram emas pada harga semasa.
CUKUP HAUL
Harta yang dimiliki itu genap setahun Hijrah (354 hari). Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.
MENELUSURI AYAT-AYAT ZAKAT DALAM SURAH AT-TAUBAH (bahagian pertama)
Sepertimana yang kita maklum, antara surah-surah yang terakhir penurunannya di dalam al-Quran ialah surah at-Taubah. Surah ini diturunkan di Madinah dan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya dipanggil ayat Madaniah. Apa yang menarik perhatian kita, banyak perkara penting berkaitan zakat diterangkan dengan jelas di dalam surah ini. Marilah sama-sama kita menelusuri ayat-ayat tersebut melalui beberapa keterangan di bawah ini.
a.) Pada permulaan surah ini, ayat yang ke 5 menceritakan tentang perihal orang-orang musyrik. Allah SWT memerintahkan agar orang-orang musyrik dibunuh kerana melanggar perjanjian damai yang telah disepakati bersama-sama orang mukmin setelah habisnya bulan-bulan haram (haram berperang) berlalu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Penerangan berkaitan ayat di atas, ada tiga syarat untuk menghentikan mereka supaya tidak dibunuh dan diberi kebebasan iaitu:
Bertaubat dari mensyirikkan Allah SWT dengan mengucap kalimat Syahadah (memeluk agama Islam)
Mendirikan Solat Wajib sebagai merealisasikan keimanan yang merupakan salah satu rukun Islam yang harus dikerjakan setiap hari dan ianya merupakan kriteria membezakan Muslim dan Musyrik atau kafir dan merupakan juga rantai penghubung berbentuk keagamaan-spiritual-sosial antara umat Islam.
Membayar zakat yang dikenakan atas kekayaan mereka untuk keperluan orang yang berhak dan kesejahteraan masyarakat dan merupakan rantai penghubung material-sosial-politik dalam masyarakat Islam.
b.) Seterusnya ayat yang ke 11 dalam surah ini,
Allah SWT telah berfirman bermaksud: “Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan bahawa seorang kafir tidak berhak masuk ke dalam barisan kaum Muslimin dan tidak berhak memperoleh ikatan persahabatan seagama yang membuatnya termasuk salah seorang dari kaum Muslimin itu (sama-sama merasa suka-duka dan terikat dengan satu ikatan kukuh) kecuali bila ia bertaubat dari segala kesyirikan dengan implikasi-implikasinya, mendirikan solat dan dengan solat itu seorang Muslim diterima dengan senang hati dan dikira sebagai mentaati Allah SWT dan membayar zakat sebagai lambang perpaduan kemasyarakatan.
Para Ulama semenjak zaman Sahabat sudah memperingatkan satu hal penting iaitu bahawa al-Quran selalu menghubungkan Zakat dengan Solat dan jarang sekali disebutkan tanpa solat:
Abdullah bin Mas’ud berkata: “kalian diperintahkan mendirikan solat dan membayar zakat, barang siapa yang tidak berzakat bererti tidak ada erti solat baginya”.
Ibnu Zaid berkata: “Solat dan Zakat diwajibkan bersama, tidak secara terpisah-pisah “. Kemudian ia membaca ayat: bermaksud: “Bila mereka bertaubat, mendirikan solat, dan membayar zakat, barulah mereka menjadi teman kalian seagama dengan kamu”. Solat tidak akan diterima tanpa zakat. Selamat bagi Sayidina Abu Bakr yang mengerti benar tentang masalah ini kerana katanya menunjuk ucapan Abu Bakr “Aku tidak memisah-misahkan dua hal yang disatukan sendiri oleh Allah! “.
c.) Di dalam surah ini juga ayat 18, Allah SWT telah menceritakan tentang orang-orang yang suka mengimarahkan masjid-masjid yang mana mereka ini merupakan orang-orang yang mendapat restuNya:
firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan kepada kita hakikat bagi orang yang layak digelar golongan yang memakmurkan rumah-rumah Allah. Bagi Allah, mereka masih belum layak memperoleh restu dariNya sekalipun mereka menghidupkan dan mengimarahkan masjid-masjidNya, sebelum mereka ini beriman, mendirikan solat dan membayar zakat.
d.) Terdapat juga di dalam surah ini akan ancaman dari Allah SWT ke atas pengumpul-pengumpul emas dan perak serta harta kekayaan yang tidak mengeluarkan hak Allah iaitu zakat.
Firman Allah SWT pada ayat 34 dan 35 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
Para ulama’ mengatakan bahawa ancaman yang dinyatakan di dalam ayat ini adalah satu ancaman yang sangat berat dan dahsyat disebabkan oleh sifat kikir dan bakhil manusia. Tetapi jika mereka takut pada ancaman yang berat ini, sudah tentu mereka akan segera patuh pada perintah Allah SWT iaitu dengan menunaikan zakat.
e.) Di dalam surah ini juga terdapat penjelasan tentang orang-orang yang layak menerima zakat yang di sebut di dalam surah ini dengan shodaqah. Penjelasan ayat ini menempelak buat mereka-mereka yang rakus dengan harta kekayaan zakat.
Firman Allah SWT pada ayat 58 hingga ayat 60 yang bermaksud: “Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah. Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Penerangan ayat di atas menegaskan kepada kita akan ketegasan Allah SWT menempelak dan menghentikan keserakahan orang-orang yang tamak haloba dan tidak menyerahkan pembahagian zakat mengikut kehendak dan kemahuan orang-orang yang tamak haloba tadi atau mengikut keinginan hati para orang yang berpengaruh tetapi pembahagian ini telah ditetapkan sendiri oleh Allah SWT kepada lapan asnaf (golongan) yang layak menerimanya. Penetapan siapakah yang lebih adil dari ketetapan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah” ayat 50 surah al-Maaidah
Ayat 60 surah at-Taubah ini juga merupakan dalil bahawa zakat itu harus dikumpulkan dan dibuat pembahagian dengan perantaraan “Amil” (petugas zakat) yang memberi petunjuk kepada kita bahawa yang menguruskan urusan zakat (pungutan dan pengagihan) mestilah pemerintah bukan secara peribadi atau persendirian.
MENELUSURI AYAT-AYAT ZAKAT DALAM SURAH AT-TAUBAH (bahagian terakhir)
f.) Di dalam surah ini juga Allah SWT menjelaskan pula institusi-institusi masyarakat Islam.
Firman Allah SWT ayat 71 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan zakat merupakan salah satu institusi yang membezakan seorang itu Mukmin dengan seorang Munafik yang dijelaskan oleh Allah SWT sebelum ayat tersebut iaitu ayat 67 yang bermaksud:
”Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”
Mereka ini adalah orang yang kikir dengan menggenggam tangan (bakhil dan kedekut) oleh kerana rakusnya mereka kepada harta dan enggan mengeluarkan zakat dan disebabkan (bakhil dan kedekut) itulah mereka telah dilupakan Allah dengan erti kata lainnya Allah SWT membiarkan dan tidak diperhatikan olehNya (tidak mendapat rahmat Allah SWT). Bagi orang-orang yang beriman, mereka membuka tangan mereka (mengeluarkan zakat) oleh kerana tidak bakhil dan kedekut, mereka mendapat rahmat dari Allah SWT.
g.) Pada ayat yang ke 103 surah at-Taubah ini, Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW dan semua orang yang diberi amanah untuk memimpin umat Islam sesudah kewafatan Baginda SAW dengan firmanNya yang bermaksud:
”Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa para mufassirin (ahli tafsir) menjelaskan bahawa perkataan min (dari) dalam ayat Khuz min amwalihim shodaqah (Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi zakat) itu bererti ”sebahagian”. Ini memberi makna shodaqah (zakat) yang diwajibkan itu bukanlah seluruh kekayaan tetapi hanya sebahagian kecil sahaja. Adapun perkataan amwalihim (harta-harta kekayaan mereka) bukan disebut maalihim (harta mereka) di dalam ayat tersebut dan ini membawa maksud bahawa harta-harta kekayaan itu meliputi berbagai jenis kekayaan dan bukannya hanya pada satu-satu bentuk kekayaan sahaja. Manakala kata ganti nama (dhamir) him yang bersambung dengan perkataan amwal (harta-harta kekayaan) bermaksud keseluruhan orang Muslim. Demikianlah pendapat jumhur ulama’ tafsir dalam menjelaskan perkara yang terdapat di dalam ayat ini. Inilah yang menjadi landasan dan pegangan mengapa kekayaan seluruh orang Muslim itu wajib dikenakan zakat, oleh kerana kesamaan kedudukan mereka dalam pandangan pelaksanaan hukum Islam.
Sebagai rumusan dari apa yang telah diperjelaskan dari ayat-ayat berkaitan dengan zakat di dalam surah at-Taubah ini, dapatlah disimpulkan dari kaca mata al-Quran bahawa, manusia tidak boleh meraih kebajikan, tidak boleh disebut sebagai orang baik, tidak boleh dianggap sah masuk barisan orang-orang yang bertakwa dan masih tidak boleh sederap selangkah dengan orang Mukmin yang lain selagi mana mereka masih tidak mengeluarkan zakat.
Tanpa zakat, seseorang itu tidak boleh dibezakan dari orang-orang musyrik yang tidak membayar zakat dan tidak meyakini hari akhirat. Tanpa zakat, seseorang tidak boleh dibezakan dengan orang-orang munafik yang menggenggam tangan (tidak mengeluarkan zakat) bakhil dan kedekut serta rakus pada harta kekayaan. Tanpa zakat, seseorang itu tidak akan memperoleh rahmat Allah SWT yang tidak rela diberikan kepada orang-orang yang tidak berzakat. Firman Allah SWT di dalam surah al-a’raaf ayat 156 yang bermaksud:
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”
Tanpa zakat, seseorang itu tidak berhak memperoleh pertolongan dari Allah SWT, RasulNya dan dari orang-orang yang beriman. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam surah al-Maaidah ayat 55 dan 56 yang bermaksud:
”Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.”
Tanpa zakat, seseorang itu tidak boleh mendapat pembelaan dari Allah SWT yang sudah dijanjikanNya melalui surah al-Hajj ayat 40 dan 41 yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”
MENGAPA ISLAM TIDAK MEWAJIBKAN ZAKAT KE ATAS ORANG BUKAN ISLAM ? (Bahagian Pertama)
Para ulama Islam telah bersepakat bahawa zakat hanya diwajibkan kepada Muslim baligh yang berakal dan merdeka yang mempunyai atau memiliki kekayaan dalam jumlah yang tertentu beserta syarat-syarat yang telah ditentukan syarak.
Para ulama Islam juga bersependapat bahawa zakat tidak diwajibkan kepada bukan Muslim kerana kefardhuan mengeluarkan zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Atas dasar itulah orang kafir tidak dituntut untuk mengeluarkannya dan tidak akan menjadi hutang yang harus ditunaikannya setelah seseorang kafir itu menganut agama Islam.
Perkara ini dirujuk bersandarkan kepada hadis Ibnu Abbas yang shahih bahawa ketika Rasulullah SAW mengutuskan Muaz ke Yaman yang bermaksud:
” Kau akan berhadapan dengan penganut-penganut ahli Kitab, oleh itu, perkara pertama yang harus kamu lakukan ialah menyeru mereka agar beriman (menyakini) bahawa tiada tuhan yang wajib disembah selain Allah dan Muhammad adalah RasulNya. Sekiranya mereka menerima (taat)akan seruan kamu itu, maka ajarkanlah mereka bahawa Allah telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam dan apabila telah mengerjakannya (solat) maka khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka berzakat, (yang mana zakat ini) dikenakan kepada orang-orang kaya dan (hasil zakat itu) diberi (diagihkan) kepada orang-orang miskin di kalangan mereka ”
Hadis ini menunjukkan (menurut Imam An Nawawi dan lain-lain) bahawa tuntutan hukum wajib di dunia tidak akan terjadi melainkan setelah seseorang itu memeluk agama Islam.
Berdasarkan kepada pendapat ulama Islam di atas, Imam Syairazi r.a, dikuatkan pula dengan pendapat Imam Nawawi r.a telah mengemukakan pendapat mengapa zakat tidak diwajibkan kepada orang kafir asli, ini kerana zakat adalah satu hak yang perlu dilaksanankan oleh seseorang Islam dan sebab itu ia (zakat) tidak dibebankan kepada orang kafir samada kafir harbi (yang memusuhi Islam) ataupun kafir zimmi (yang hidup di bawah naungan Islam). Mereka tidak terkena akan kewajipan ini semasa mereka kafir dan tidak harus untuk melunaskannya apabila mereka telah memeluk agama Islam.
Apabila zakat tidak diwajibkan kepada bukan Muslim, maka zakat itu juga tidak sah seandainya dibayar oleh orang kafir. Ini kerana mereka tidak memiliki pensyaratan pertama iaitu Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud:
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
Namun begitu, amal kebajikan yang mereka (orang kafir) kerjakan di dunia dapat meringankan hukuman mereka di akhirat. Maka azab itu adalah penghinaan manakala nikmat itu adalah penghargaan.
Semua yang di atas adalah mengenai orang kafir, tetapi bagi orang-orang yang murtad atau beralih agama, (mohon dijauhkan dan diberi perlindungan kita semua darinya) zakat telah diwajibkan ke atas mereka semasa hal keadaan mereka Islam dan zakat itu tidak akan gugur (kefardhuannya) disebabkan murtad. Ini kerana hak dalam menunaikan zakat ini telah wajib ketika mana ia Islam dan tidak gugur dengan sebab murtadnya dia sepertimana sama hukumnya pada bab hutang kepada seseorang itu setelah diisytihar muflis. Inilah pendapat dari mazhab As Syafie’yah.
Tetapi Ulama-ulama as-Syafie’yah berselisihan pendapat tentang kewajipan zakat pada masa hal keadaan seseorang itu murtad. Sebahagian mereka mengatakan bahawa zakat mereka ditangguhkan (pendapat ini menjadi pilihan). Ini kerana zakat itu adalah hak fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya maka hak ini tidak hilang disebabkan murtadnya seseorang itu sepertimana sama hukumnya pemberian nafkah dan hutang piutang.
Mengapa Islam Tidak Mewajibkan Zakat Ke atas Orang Bukan Muslim?
Ramai orang memperkatakan masalah ini. Islam telah memberi keluasan kepada orang bukan muslim yang hidup di bawah naungannya. Islam memberi mereka jaminan untuk hidup di bawah perlindungannya, hak-hak asasi mereka, memperoleh perlindungan dan kemerdekaan mereka terjamin sama seperti orang-orang Islam yang lain. Berdasarkan keterangan di atas, mengapa Islam membeza-bezakan perkara zakat ini di antara orang Islam dengan yang lain yang mana mereka semuanya berada di bawah satu naungan kerajaan yang sama ? Pada hal zakat merupakan kewajipan sosial, cukai atas kekayaan yang diperolehi yang harus dikeluarkan untuk menolong golongan fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya.
Bagi menjawab persoalan di atas, kita seharusnya memperhatikan dua alasan dari orang yang melihat mengapa zakat itu diwajibkan dan alasan-alasan ini akan kita bicarakan pada bahagian terakhir pada siri yang akan datang. Wallahu a’lam.
MENGAPA ISLAM TIDAK MEWAJIBKAN ZAKAT KE ATAS ORANG BUKAN ISLAM? (Bahagian Terakhir)
Mengapa Islam Tidak Mewajibkan Zakat Ke atas Orang Bukan Muslim?
Sebagai menyambung bicara pada keluaran lalu tentang persoalan di atas, ramai orang memperkatakan masalah ini. Islam memberi keluasan kepada orang bukan Muslim yang hidup di bawah naungannya. Islam memberi mereka jaminan untuk hidup di bawah perlindungannya, hak-hak asasi mereka, memperoleh perlindungan dan kemerdekaan mereka terjamin sama seperti orang-orang Islam yang lain. Berdasarkan keterangan di atas, mengapa Islam membeza-bezakan perkara zakat ini di antara orang Islam dengan yang lain yang mana mereka semuanya berada di bawah satu naungan kerajaan yang sama? Pada hal zakat merupakan kewajipan sosial, cukai atas kekayaan yang diperoleh yang harus dikeluarkan untuk menolong golongan fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya.
Bagi menjawab persoalan di atas, kita seharusnya memperhatikan dua alasan dari orang yang melihat mengapa zakat itu diwajibkan:
- Zakat adalah satu tanggungjawab sosial dan merupakan hak asnaf yang telah ditentukan dan juga satu cukai yang dikenakan ke atas kekayaan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dikeluarkan atau diambil dari orang-orang yang mempunyai kekayaan untuk diberi atau diagihkan kepada orang-orang fakir dan miskin sebagai merealisasikan hubungan silaturahim satu sama lain, hubungan kemasyarakatan dan hubungan hamba dengan Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Pencipta.
- Zakat adalah salah satu ibadah dalam Islam dan merupakan satu tiang seri dalam menegakkan agama Islam ini. Statusnya sama penting dengan syahadah, solat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah al-Haram.
Sebelum ini kita telah menjelaskan bagaimana al-Quran telah menghubungkan kalimah zakat dengan solat berpuluh-puluh kali banyaknya dan menjadikan kalimat zakat bersama kalimah taubat dari mensyirikkan Allah SWT berserta kalimah solat sebagai bukti seseorang itu telah menganuti agama Islam dan berhak mendapat gelaran saudara seagama Islam. Al-Quran juga menjelaskan bahawa sebahagian zakat yang dikeluarkan itu adalah untuk memperkuatkan Islam, menaikkan martabatnya dan juga untuk kepentingan sosial dalam agama dan negara dan juga untuk memberi kekuatan dari sudut dalaman dan luaran kepada orang-orang yang masih baru dalam Islam.
Apa yang diterangkan di atas tadi semuanya telah dijelaskan pada bahagian asnaf ”Fi sabilillah” dan juga asnaf ”Mualaf”
Banyak hadis yang menyebut perihal zakat bahawa zakat ini diambil dari orang-orang yang memiliki kekayaan untuk diberi dan diagihkan kepada orang-orang fakir miskin, maka tindakan ini merupakan satu perlaksanaan atas maksud pertama zakat dikeluarkan iaitu tanggungjawab sosial memberi keperluan yang mencukupi kepada orang-orang fakir miskin. Tetapi al-Quran telah memperincikan kepada kita bahawa lapan asnaf (golongan) sebagai penerima zakat dan di antaranya adalah orang-orang mualaf (mualafatu qubuhum) dan juga untuk perkara-perkara yang membawa kepentingan kepada Islam (fi sabilillah) dan ini adalah pelaksanaan atas maksud kedua zakat ditunaikan iaitu tanggungjawab beribadah kepada Allah SWT.
Atas dasar itu, Islam yang penuh kemuliaan dan keadilan (dalam berhadapan dan bermuamalah dengan golongan bukan Islam serta menghormati pegangan agama mereka) akan tercalar kemuliaannya dan keagungannya dan menyebabkan mereka (golongan bukan Islam) akan tersinggung bilamana mereka juga diwajibkan melaksanakan kefarduan ini yang jelas sekali bercirikan agama Islam. Bahkan sebenarnya zakat merupakan kemegahan Islam yang terbesar (dalam memberi tanggungjawab sosial yang sempurna), ia salah satu dari Ibadah yang empat dan salah satu dari lima tonggak utama dalam Islam.