JERANTUT, 24 September 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM4.87 juta daripada FGV Holdings Berhad (FGV) bagi haul 2024 untuk disalurkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Selain itu, FGV turut menyalurkan RM2 juta lagi melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk manfaat komuniti setempat, menjadikan keseluruhan sumbangan kumpulan itu berjumlah RM6.87 juta.
Majlis penyerahan diadakan dalam Program FGV Seikhlas Hati dimana Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Kurniaan Sumbangan Kumpulan FGV 2025 bertempat di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR).
Sebagai simbolik, Seri Paduka turut berkenan menyampaikan bantuan tunai sebanyak RM500 setiap seorang kepada 100 penerima asnaf, di samping menyempurnakan penyerahan cek cura bagi beberapa inisiatif lain, antaranya:
Pembinaan 10 unit rumah baharu untuk asnaf bernilai RM863,700.
Sumbangan kepada 15 institusi pendidikan termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Kebangsaan dan Maahad.
Kerja naik taraf Masjid PPPTR bernilai RM100,000.
Penyerahan mesin ultrabunyi kepada Klinik Kesihatan Chini bernilai RM89,000.
Penyediaan van jenazah bernilai RM150,000.
Pelaksanaan Projek Hijrah Asnaf bersama MUIP dan Agrobank bernilai RM500,000.
Sumbangan RM100,000 kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada FGV atas komitmen menunaikan zakat perniagaan selain mendoakan syarikat tersebut terus berjaya.
“Saya harap FGV dapat menambah lagi zakat perniagaan ini pada tahun hadapan, insya-Allah,” titah baginda.
Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa pula menegaskan pihaknya komited menunaikan zakat perniagaan mengikut kemampuan syarikat pada masa depan serta memperkukuh tanggungjawab sosial korporat melalui pelbagai inisiatif.
Menurut beliau, apabila prestasi keuntungan meningkat, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kerja, malah membolehkan FGV menyalurkan lebih banyak zakat untuk membantu golongan memerlukan.
Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) merakamkan penghargaan atas pembayaran zakat perniagaan FGV ini, yang bukan sahaja menzahirkan ketaatan kepada tuntutan agama, malah menjadi bukti peranan besar syarikat korporat dalam memperkukuh ekosistem zakat negeri.
PKZP yakin langkah ini mampu menjadi inspirasi kepada syarikat lain untuk sama-sama menyumbang melalui zakat perniagaan, seterusnya membantu memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan ummah di Negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
