KUANTAN, 2 Oktober 2025 – Program “Rezeki, Tuhan… Aku Serah Semuanya” dengan tema “Bila Rezeki Membawa Tenang, Bukan Sekadar Wang” telah berlangsung penuh penghayatan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan yang dihadiri hamper 800 orang wanita yang terdiri daripada komuniti Sahabat Tadabbur Kuantan. Program ini adalah anjuran bersama Sahabat Tadabbur Kuantan, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.
Program yang bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta. Antara pengisian utama ialah ceramah daripada Al-Fadhil Ustaz Mohd Nadhir Syafiq yang menyampaikan tajuk Pensyariatan Zakat Harta. Beliau menekankan kepentingan zakat sebagai kewajipan agama, di samping menekankan fungsi zakat dalam membersihkan harta dan menenangkan jiwa.
Selain itu, program turut diserikan dengan perkongsian rohani oleh Ustazah Nurul Syahida, yang menyentuh aspek pengukuhan iman dan ketakwaan dalam menjalani kehidupan seharian. Perkongsian ini memberi suntikan motivasi kepada peserta agar sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam setiap urusan rezeki dan kehidupan.
Keseragaman tema warna purple yang dipakai oleh para peserta dan urusetia menambah seri suasana, sekali gus melambangkan kesatuan dan kesepakatan dalam menjayakan program ini.
Penganjur merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua urusetia, penceramah serta peserta yang telah hadir. Semoga penganjuran program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah ilmu, medan tarbiyah rohani dan platform memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai zakat serta kepentingannya dalam pembangunan ummah.
Disediakan Oleh
Fatin Nor Azrin Omar
Bahagian Dakwah
Pusat Kutipan Zakat Pahang
