KUANTAN, 4 Oktober 2025 – Mini Karnival MyKampung 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Bakti Felda Bukit Sagu 1 hari ini berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh ceria dan harmoni. Program anjuran bersama Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Waqaf Pahang serta Felda ini menampilkan pelbagai pengisian berteraskan tema “Gigih, Amanah, Penyayang”.
Acara bermula seawal jam 8.00 pagi dengan aktiviti Fun Run yang mendapat penyertaan penduduk pelbagai peringkat umur. Turut diadakan pameran agensi-agensi serta kuliah dhuha di Masjid Felda Bukit Sagu 1, 2 dan 3. Majlis perasmian karnival disempurnakan pada jam 9.30 pagi dengan aturcara ucapan aluan, ucapan perasmian, majlis serahan zakat dan penyampaian cenderahati. Cabutan bertuah turut diadakan sebagai tarikan tambahan untuk para pengunjung.
Selain itu, pertandingan mewarna dan pertandingan azan yang dianjurkan turut mencuri perhatian dengan penglibatan aktif kanak-kanak dan remaja Felda. Majlis penyampaian hadiah bagi kedua-dua pertandingan tersebut berlangsung pada jam 12.00 tengah hari diiringi cabutan bertuah sesi kedua. Program melabuhkan tirainya sekitar jam 1.00 petang. Secara keseluruhan, penganjuran Mini Karnival MyKampung 2025 bukan sahaja berjaya mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat malah turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berzakat dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera.
Disediakan oleh,
Che Nurin Nabilah Binti Che Duhall
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
