KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Persatuan Kebajikan Anak Pahang (PEKAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik serta meneroka pelbagai peluang kerjasama dalam inisiatif zakat, wakaf dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kunjungan ke PEKAP diadakan sempena pelantikan barisan baharu Ahli Jawatankuasa (AJK) PEKAP serta memperkenalkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu PKZP Tuan Haji Mohd Azmi Bin Haji Othman. Pertemuan ini menjadi medan untuk mempererat jalinan kerjasama antara kedua-dua organisasi dalam usaha memperkasa kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat.
Dalam sesi tersebut, PKZP turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan program Ejen Korporat (EK), iaitu satu platform kerjasama strategik bersama organisasi dan syarikat bagi memperluas jaringan kutipan zakat di peringkat korporat. Selain itu, promosi program wakalah korporat juga turut dikongsikan, yang membolehkan pembayar zakat menguruskan semula 30% daripada jumlah zakat melebihi RM30,000 bagi tujuan kebajikan dan program yang diluluskan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Sementara itu, PKZP turut membuat kunjungan ke PNB bagi memberi tumpuan kepada perbincangan tiga agenda utama iaitu pembentangan fatwa serta pandangan Majlis Penasihat Zakat Negeri (MPZN) bagi memberi kefahaman tentang pelaksanaan zakat di Pahang, perbincangan program tahunan CSR PNB di negeri Pahang serta pendekatan pelaksanaan inisiatif wakaf yang berpotensi membuka ruang kerjasama baharu antara PKZP dan PNB.
Kedua-dua kunjungan ini jelas mencerminkan komitmen PKZP untuk terus mengukuhkan jaringan strategik bersama rakan korporat dan pertubuhan kebajikan, sekali gus memperluas impak zakat dan wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi ummah di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Che Nurin Nabilah Binti Che Duhall
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
