KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2025 – Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang (PKZWP) telah dijemput bagi menyampaikan Taklimat Khas sempena Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) yang berlangsung baru-baru ini.
Sesi taklimat tersebut disampaikan oleh Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang bertujuan memberi penerangan lanjut mengenai pelantikan PEKAP sebagai Ejen Korporat Rasmi PKZWP, selain memperkukuh kefahaman ahli-ahli terhadap tanggungjawab serta peranan persatuan dalam memperluas kempen kesedaran berzakat dalam kalangan warga Pahang di perantauan.Melalui pelantikan ini, PEKAP diberi kepercayaan untuk mengurus kutipan zakat secara sah melalui pautan rasmi PEKAP, mengikut sistem dan garis panduan yang ditetapkan oleh PKZWP.
PKZWP turut menyeru semua ahli PEKAP dan masyarakat Pahang di ibu kota agar menunaikan zakat melalui saluran rasmi PEKAP, bagi memastikan kutipan direkod dengan telus serta sampai kepada asnaf yang layak. Kerjasama strategik ini diharap dapat memperkukuh sinergi antara PKZWP dan komuniti anak Pahang di perantauan dalam memperkasa agenda kebajikan dan kesejahteraan ummah.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
