PERBINCANGAN AWAL KE ARAH MENJALIN KERJASAMA ANTARA UiTM PAHANG DAN PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG

KUANTAN, 3 November 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi. Pertemuan ini diadakan di Ibu Pejabat PKZP dan bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam melaksanakan inisiatif kebajikan berasaskan zakat dan wakaf.

Delegasi UiTM Cawangan Pahang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Azhan Hashim @ Ismail, Rektor UiTM Cawangan Pahang, bersama Dr. Mohd Kamal Azman Jusoh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), En. Mohammad Khair Mohd Seni, Timbalan Pendaftar Kanan, Ts. Mohd Khairul Izwan Mohd J. Makir, Timbalan Bendahari, Prof. Madya Dr. Norhapizah Mohd Burhan, Koordinator ACIS, Dr. Abu Bakar Jaafar, Pakar Rujuk Penyelaras Zakat, Sedekah & Wakaf (ZAWAF) UiTM Pahang, Ustaz Muhamad Azlan Md Aris dan Ustazah Siti Yuhanis Suhani Ibrahim daripada Unit Hal Ehwal Islam.

Manakala pihak PKZP diketuai oleh YBrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, bersama Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar PKZP, En. Zafridan bin Mohd Daud, Ketua Bahagian Pemasaran, En. Zainal bin Man, Pegawai Perhubungan Awam & Korporat serta En. Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir, Pembantu Pegawai 1 Bahagian Perhubungan Awam & Korporat.

Antara fokus utama perbincangan ialah pelaksanaan Program Agihan Wakalah kepada pelajar UiTM Pahang, yang dijangka dapat memberi manfaat secara langsung kepada golongan mahasiswa asnaf dan berkeperluan. Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi penganjuran program bersama berbentuk pendidikan, kesedaran zakat, serta aktiviti kebajikan komuniti yang dapat memanfaatkan kedua-dua institusi.

Pertemuan ini merupakan langkah awal ke arah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Pahang dan Pusat Kutipan Zakat Pahang dalam masa terdekat. Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan agensi zakat negeri dalam memperluas manfaat zakat serta memperkasa tanggungjawab sosial ummah.

Disediakan oleh,
Che Nurin Nabilah Binti Che Duhall
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial