PAHANG TUAN RUMAH BAGI MESYUARAT MAJLIS PENGURUSAN ZAKAT NEGERI-NEGERI (MPZN) KALI KE-39 (BIL. 2/2025)

CAMERON HIGHLANDS, 6 November 2025 – Mesyuarat Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) Kali Ke-39 (Bil. 2/2025) telah melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan dan semangat kebersamaan. Mesyuarat kali ini dianjurkan oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) selaku tuan rumah, bertempat di Century Pines Resort, Cameron Highlands mulai 4 hingga 6 November 2025, dengan penyertaan Pengurusan Tertinggi dan wakil institusi zakat seluruh negara.

Program dimulakan dengan sesi ramah mesra pada malam pembukaan, sebelum mesyuarat rasmi diadakan keesokan harinya di Conference Hall. Perbincangan tertumpu kepada strategi pengukuhan pengurusan zakat, penambahbaikan proses kutipan dan agihan serta pendekatan menyantuni asnaf secara lebih inklusif dan berimpak.

Selain pengisian rasmi, peserta turut dibawa menjelajah ke beberapa lokasi ikonik sekitar Cameron Highlands, termasuk BOH Tea Centre Sungei Palas, Opah Strawberry dan Kebun Ikon Usahawan Tani Kampung Raja. Lawatan ini menjadi ruang mengukuhkan hubungan melalui pengalaman bersama termasuk cabaran mendaki laluan beraltitud tinggi.

“Alhamdulillah, semua program berjalan lancar. Terima kasih kepada PKZ Pahang atas penganjuran yang sangat baik serta aktiviti yang menarik. Semoga ukhuwah makin kukuh, dapat saling mengenal antara yang lama dan baharu. Terima kasih juga kepada MUIP dan semua PBZN (Pengurus Besar Zakat Negeri). Semoga kita berjumpa lagi, insya-Allah,” ujar En. Mohammed bin Hassan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Wakil Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Encik Zamri Bin Ahmad Suhaimi, turut menyatakan penghargaan, “Penganjuran kali ini amat berjaya. Semoga hubungan kita terus erat dan kita bertemu lagi pada program akan datang, insya-Allah.”

Sementara itu, Ust Mohamad Zaidi bin Azizan, Ketua Pegawai Kutipan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pula menyifatkan layanan tuan rumah sebagai sangat baik, “Terima kasih kepada PKZ Pahang, Dr. Haji Azmi, Haji Shamsul dan seluruh pasukan atas layanan terbaik sepanjang di Cameron Highlands.”

Wakil Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR), Ust Ahmad Nazim bin Md Tajuri dan Zulfadli bin Baharum, menyatakan kenangan paling diingati ialah aktiviti mendaki terakhir yang mencabar namun membina, “Penuh ukhuwah, penuh memori. Cabaran mendaki bukit itu memang tak boleh dibawa bincang, tapi seronok!”

Ucapan apresiasi turut disampaikan oleh wakil Baitulmal Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), “Ukhuwwah terserlah bukan hanya ketika mesyuarat, tetapi sepanjang keberadaan kita bersama. Pengalaman mendaki mencari muzakki itu sangat berharga,” ujar Ust Hj Ridwan bin Abdul Rahman.

Bagi pihak urusetia, Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim selaku Timbalan Pengurus Besar PKZP merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak, “Kami memohon maaf atas sebarang kekurangan. Moga ukhuwah dan institusi zakat terus mantap.”

Penganjuran MPZN kali ini bukan sahaja menjadi medan penyelarasan gerak kerja pengurusan zakat negeri-negeri, malah memperkukuh jaringan persahabatan, kefahaman dan kesatuan matlamat untuk memartabatkan kebajikan ummah.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial