KUANTAN, 12 Disember 2025 – Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM4 juta kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang(PKZ Pahang) dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat PKPP pada jam 8.30 pagi.
Zakat tersebut telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, YH Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, Ybrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman sebagai tanda komitmen berterusan agensi itu dalam menunaikan kewajipan zakat serta menyokong agenda kebajikan negeri. Penyerahan ini juga mencerminkan keprihatinan PKPP terhadap usaha membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya asnaf di seluruh Pahang.
Majlis serahan turut disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi PKPP dan PKZ Pahang. Dalam majlis tersebut, pihak PKPP menyatakan hasrat untuk terus menjadi penyumbang tetap zakat perniagaan selaras dengan peningkatan prestasi serta keberhasilan operasi agensi dari tahun ke tahun.
PKZ Pahang pada masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PKPP atas komitmen konsisten dalam menunaikan tanggungjawab zakat, sekaligus membantu memperkukuh pelaksanaan program pembangunan ummah, bantuan kebajikan dan aktiviti pemerkasaan asnaf di negeri ini.
PKZ Pahang berharap bayaran zakat yang ditunaikan ini dapat memberi manfaat besar kepada golongan asnaf yang memerlukan serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat dan agensi di Pahang untuk turut sama menunaikan zakat perniagaan secara konsisten demi kemaslahatan ummah.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
