Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, 19 Disember 2025. Forum ini, yang bermula pada jam 9.00 pagi, diadakan dengan sokongan padu daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Wakaf Pahang, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan ISUZU, menunjukkan kerjasama strategik antara institusi agama dan sektor korporat dalam memperkasa pemahaman masyarakat Islam mengenai pengurusan harta, zakat dan wakaf.
Forum tersebut menampilkan barisan panelis berwibawa seperti Ustazah Asma’ Harun sebagai Panelis Undangan Khas, YH Dato’ Dr. Haji Badli Shah bin Alauddin, Timbalan Mufti Negeri Pahang, Ybrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang, serta Tuan Haji Mohd Rizzal bin Mohd Ali Nafiah, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang bertindak sebagai moderator.
Dalam forum tersebut penekanan diberikan kepada kesedaran umat Islam mengenai potensi harta yang terbiar, peranan zakat dan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah, serta bagaimana pengurusan kewangan berlandaskan syariah boleh memberikan pulangan yang berpanjangan di dunia dan akhirat. Didalam program ini juga turut diadakan pelancaran wakaf tunaik RM1 sehari yang dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Pahang, Ybrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Sektor Pengurusan Dan Dasar, Encik Khairuddin bin Ismail.
PKZ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua panelis, agensi yang terlibat, serta para jemaah dan peserta yang hadir. Program ini telah berjaya dilaksanakan dengan penuh ilmiah dan memberi manfaat kepada masyarakat.
PKZ dan Wakaf Pahang berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai platform dakwah, pendidikan dan kesedaran kewangan Islam kepada semua lapisan masyarakat, demi mengukuhkan lagi pemahaman dan pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang
