KUANTAN, 13 Januari 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP), YBrs. Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga kerja PKZWP sebagai panduan dan hala tuju strategik organisasi bagi tahun mendatang.
Dalam amanat tersebut, beliau menegaskan bahawa integriti, profesionalisme dan komitmen tinggi merupakan tunjang utama dalam memastikan pengurusan zakat dan wakaf dapat dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan. Menurut beliau, kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat hanya dapat diperkukuh melalui budaya kerja beretika serta penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berfokuskan pelanggan.
Beliau turut menyeru seluruh warga PKZWP agar terus mengekalkan disiplin kerja yang tinggi, memperkukuh kerjasama berpasukan serta meningkatkan keupayaan diri seiring dengan keperluan semasa. Pendekatan yang lebih proaktif dan berinovasi, katanya, amat penting dalam mendepani cabaran baharu dan memastikan PKZ Pahang kekal relevan serta berdaya saing.
Mengakhiri amanat, beliau menyatakan harapan agar usaha berterusan warga kerja PKZWP dapat meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap kewajipan berzakat. Seiring dengan itu, PKZWP optimis dapat mencatat peningkatan bilangan pembayar zakat serta jumlah kutipan yang lebih memberangsangkan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan, seterusnya memperkasa manfaat zakat dan wakaf kepada golongan asnaf di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
