KUANTAN, 13 Januari 2026 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) bertempat di bilik mesyuarat Pusat Kutipan Zakat Pahang sebagai usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi zakat negeri.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan dan pentadbiran zakat, khususnya dalam aspek kutipan zakat serta pelaksanaan inisiatif strategik yang dilaksanakan oleh PKZ Pahang. Sesi pertemuan ini turut membuka ruang perbincangan dua hala dalam memperkukuh tadbir urus zakat secara lebih sistematik dan berkesan.
Delegasi MAIDAM telah disambut oleh pihak pengurusan PKZ Pahang dan seterusnya diberikan taklimat berkaitan struktur organisasi, operasi kutipan zakat serta pendekatan pengurusan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan zakat kepada masyarakat.
PKZ Pahang merakamkan penghargaan atas kunjungan hormat yang diadakan dan berharap hubungan kerjasama yang terjalin ini dapat diperkukuh pada masa akan datang demi memperkasakan institusi zakat serta memastikan pengurusan zakat yang lebih mampan dan berintegriti.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
