KUANTAN, 21 Januari 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah menerima kunjung hormat delegasi penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pasir Gudang bagi membincangkan pelaksanaan dan kajian berkaitan Potongan Zakat FELDA (PZF).
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan institusi zakat, khususnya dalam aspek penyelidikan berkaitan mekanisme potongan zakat FELDA serta impaknya terhadap pematuhan zakat dan tahap kesedaran peneroka. Sesi perbincangan ini turut menjadi platform pertukaran pandangan dan perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak.
Dalam pertemuan tersebut, pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk skop penyelidikan PZF, kaedah pelaksanaan potongan zakat, cabaran yang dihadapi di peringkat operasi serta potensi penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan zakat dalam kalangan warga FELDA.
PKZ menyambut baik inisiatif penyelidikan ini dan berharap hasil kajian yang dijalankan dapat dijadikan rujukan penting dalam memperkukuh sistem Potongan Zakat FELDA secara lebih tersusun, telus dan berkesan. Kerjasama ini juga diharapkan dapat menyumbang kepada penambahbaikan dasar dan strategi kutipan zakat di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
