PKZ PAHANG MENYANTUNI PEMBAYAR KORPORAT MELALUI KUNJUNGAN HORMAT KE SYARIKAT DAN AGENSI STRATEGIK

KUALA LUMPUR, 26 & 27 Januari 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah mengadakan beberapa siri kunjungan hormat ke organisasi korporat dan agensi strategik sebagai usaha menyantuni pembayar zakat serta memperkukuh jaringan kerjasama institusi zakat. Pada 26 Januari 2026, delegasi PKZ Pahang telah mengadakan kunjungan hormat ke TH Plantations Berhad sebagai tanda penghargaan atas komitmen syarikat tersebut dalam menunaikan zakat perniagaan, di samping membincangkan potensi kerjasama berterusan dalam pengurusan dan pembangunan zakat.

Sementara itu, pada 27 Januari 2026, PKZ Pahang meneruskan kunjungan hormat ke beberapa organisasi utama iaitu SD Guthrie, Foreign Workers Medical Examination Monitoring Agency (FOMEMA) dan Perbadanan Wakaf Selangor. Kunjungan ini menjadi platform pertemuan strategik bagi memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar pandangan berkaitan pengurusan zakat dan wakaf. Dalam setiap sesi pertemuan, PKZ Pahang turut berkongsi perkembangan semasa prestasi kutipan zakat, inisiatif agihan serta hala tuju pengurusan zakat dan wakaf bagi tahun 2026, selaras dengan aspirasi memperkasakan sistem zakat yang telus, efisien dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan ummah.

PKZ Pahang menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan TH Plantations Berhad, SD Guthrie, FOMEMA dan Perbadanan Wakaf Selangor terhadap institusi zakat negeri Pahang. PKZ Pahang berharap agar kunjungan hormat ini dapat menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan mampan bersama sektor korporat serta agensi berkaitan, seterusnya memperkukuh peranan zakat dan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah di negeri Pahang dan di peringkat nasional.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial