PKZ PAHANG MENERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI UPSI BAGI PERKONGSIAN KUTIPAN ZAKAT HARTA

KUANTAN, 27 Januari 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Dr. Nur Faaizah binti Md Adam, bagi tujuan perkongsian maklumat berkaitan pengurusan kutipan zakat harta.

Kunjungan hormat ini diadakan susulan permohonan rasmi pihak penyelidik UPSI untuk menjalankan pengumpulan data berkaitan penyelidikan institusi Islam, khususnya dalam memahami peranan dan fungsi PKZ Pahang sebagai institusi yang diamanahkan menguruskan urusan kutipan zakat harta di negeri Pahang.

Dalam sesi pertemuan tersebut, pihak PKZ Pahang telah menjelaskan skop tanggungjawab organisasi yang tertumpu kepada aspek kutipan zakat harta, termasuk kaedah kutipan, pematuhan syariah serta tadbir urus yang dilaksanakan. PKZ Pahang turut menegaskan bahawa urusan agihan zakat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Perkongsian ini bertujuan memastikan kefahaman yang jelas terhadap pembahagian peranan antara institusi zakat negeri, di samping menyokong usaha penyelidikan dan dokumentasi yang dijalankan oleh pihak akademik. PKZ Pahang berharap agar kunjungan hormat ini dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi akademik dan institusi zakat, serta menyumbang kepada penyebaran maklumat yang tepat berkaitan sistem pengurusan kutipan zakat harta di negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial