KUANTAN, 10 Februari 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Rakan Strategik: Panduan Profesional Ejen Korporat PKZ Pahang sebagai usaha memperkukuh peranan serta meningkatkan tahap profesionalisme ejen korporat dan PESAZA dalam memperluas jaringan kutipan zakat di negeri ini.
Program tersebut melibatkan pegawai dan kakitangan daripada pelbagai bahagian termasuk Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Perhubungan Awam dan Korporat, Dakwah, Pemasaran, ICT serta Bahagian Potongan Gaji. Ucaptama telah disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar yang menekankan kepentingan integriti, tadbir urus cekap dan pengukuhan jaringan rakan strategik sebagai pemacu utama kejayaan kutipan zakat.





Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan panduan profesional berkaitan peranan ejen korporat, strategi pemasaran zakat, pengurusan hubungan pelanggan serta pemanfaatan teknologi digital termasuk penggunaan pautan dan kod QR baharu 2026 serta Dashboard Ejen Korporat bagi memperkemas pemantauan prestasi dan capaian.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan PKZ Pahang dalam memastikan pengurusan kutipan zakat dilaksanakan secara sistematik, berintegriti dan berimpak tinggi, seterusnya menyokong usaha memperkasa ekonomi ummah dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat di negeri Pahang.
Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
