BARAKAH QURBAN SATUKAN KOMUNITI

KUANTAN, 9 Jun 2025 – Sempena sambutan Aidiladha, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) dengan kerjasama erat McDonald’s Malaysia dan Rumah Anak Yatim Permata Camar telah menganjurkan Program Barakah Qurban 2025 dengan penuh semangat, keinsafan dan muhibah di Kuantan.

Program yang berlangsung di Rumah Anak Yatim Permata Camar itu turut disertai oleh kakitangan PKZWP, wakil McDonald’s Malaysia, warga rumah anak yatim, serta enam orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) daripada Program PACE cawangan Kuantan yang bertindak sebagai sukarelawan.

Sebanyak dua ekor lembu dan tujuh ekor kambing telah dikorbankan sebagai simbolik pengorbanan dan semangat ukhuwah, di mana dagingnya dimasak secara bergotong-royong bersama peserta dan dinikmati dalam satu majlis jamuan yang meriah dan penuh kehangatan kekeluargaan.

Tidak sekadar aktiviti sembelihan dan jamuan, pengisian rohani juga diketengahkan menerusi ceramah dan sesi interaktif mengenai ibadah zakat, wakaf dan qurban yang dikendalikan oleh pegawai PKZWP. Inisiatif ini bertujuan memperluas kesedaran tentang tanggungjawab sosial umat Islam, terutamanya dalam kalangan generasi muda dan anak-anak yatim.

McDonald’s Malaysia, yang dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, memainkan peranan penting sebagai penaja rasmi program ini. Komitmen syarikat makanan segera milik penuh Muslim itu dalam memartabatkan nilai-nilai Islam dan amal kebajikan amat dihargai, selari dengan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mereka junjung sejak 2017.

Pelajar UUM dari Program PACE Kuantan pula mencuri perhatian dengan semangat kesukarelawanan dan interaksi mesra mereka bersama anak-anak yatim sepanjang program. Kehadiran mereka menyerlahkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam mendidik mahasiswa bukan sekadar cemerlang akademik, malah peka terhadap isu sosial dan kemanusiaan.

Menurut wakil PKZWP, program seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penerima, tetapi juga mendidik masyarakat tentang erti sebenar pengorbanan dan tanggungjawab sesama insan.

Zakat Pahang optimis untuk terus menganjurkan program seperti ini pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuh jaringan kerjasama dan menyemai nilai Islam dalam tindakan nyata. Penglibatan McDonald’s dan pelajar UUM dalam menjayakan Barakah Qurban 2025. Ia membuktikan bahawa sinergi antara agensi zakat, sektor korporat dan pendidikan mampu memperluas impak ibadah kepada komuniti secara menyeluruh.

Semoga segala usaha ini menjadi asbab kepada kesejahteraan umat serta pembentukan masyarakat prihatin yang berpaksikan kasih sayang dan tanggungjawab.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial