Thursday, 28 April 2022 15:44

KUTIPAN ZAKAT PAHANG MENINGKAT RM10.5 JUTA

Rate this item
(0 votes)

KUANTAN, 27 APRIL 2022 - Prestasi kutipan zakat harta di seluruh Pahang bagi tahun 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak RM10.5 juta dengan jumlah RM42.86 juta berbanding tempoh sama pada tahun 2021 sebanyak RM32.3 juta.

Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat harta tahun ini ialah sumbangan daripada sektor potongan gaji sebanyak RM17.3 juta manakala sumbangan daripada zakat wang simpanan adalah sebanyak RM9.3 juta. Kutipan zakat daripada sektor perniagaan pula adalah sebanyak RM9.22 juta dan RM5.68 juta pula disumbangkan oleh zakat pendapatan. 

Walaupun jumlah kutipan zakat harta mencatatkan peningkatan namun jumlah pembayar zakat menurun seramai 733 orang kepada 73,401 orang berbanding tempoh sama pada tahun lalu seramai 74,134 orang.Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah berkenan menerima bayaran zakat daripada tujuh badan korporat bertempat di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Sebanyak RM8.45 juta bayaran zakat telah diterima daripada Lembaga Tabung Haji (RM5.64 juta), CIMB Islamic Bank Berhad (RM1.1 juta), Maybank Islamic Berhad (RM578,186.63), Bank Islam Malaysia Berhad (RM370,000), FOMEMA Sdn Bhd (RM350,000), Maybank Investment Bank Berhad (RM211,622) dan Nurraysa Global Sdn Bhd (200,000).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi bin Hussien.

Sumber : pahangmedia.my

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Read 117 times