BULAN ZAKAT DAN WAKAF PAHANG 2024

TEMERLOH, 08 Februari 2024 – Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang sekali lagi melaksanakan Bulan Zakat Dan Wakaf (BZW) peringkat negeri Pahang sempena kedatangan bulan Syaaban 1445 hijriy. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, “Pelaksanaan BZW ini adalah bagi membangkitkan kesedaran berzakat dan berwakaf di kalangan umat Islam menjelang bulan Ramadan al-Mubarak nanti.

“Menunaikan zakat adalah Rukun Islam manakala ibadah berwakaf adalah amalan sunat yang sangat dituntut dalam agama dan keduanya menyumbang kepada kekuatan ekonomi ummah,” katanya pada ketika merasmikan Bulan Zakat Dan Wakaf (BZW) 2024 di Masjid Sultan haji Ahmad Shah Al-Musta`in Billah. Pada majlis berkenaan, beberapa individu dan institusi telah menerima bantuan zakat bulanan, bantuan rumah, program Ihya’ Ramadan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Masjid Sultan haji Ahmad Shah Al-Musta`in Billah sendiri turut menerima bantuan dana wakaf sebanyak RM50 ribu untuk menukar karpet baharu masjid.

Untuk rekod bagi tahun 2023, PKZ Pahang berjaya mengutip zakat harta sebanyak RM223.9 juta berbanding RM214.3 juta bagi tahun 2022 di mana menunjukkan peningkatan sebanyak RM9.6 juta atau 4.5 peratus. Prestasi agihan zakat bagi tahun 2022 pula yang diagihkan oleh MUIP sebanyak RM230 juta kepada 135,000 orang penerima. Manakala kutipan wakaf yang terkumpul pada tahun 2023 adalah sebanyak RM3.5 juta berbanding RM2.2 juta bagi tahun 2022 menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.3 juta atau 59 peratus. Pada tahun lalu juga sebanyak RM2.16 juta dana wakaf iaitu sebanyak 61 peratus telah diagihkan untuk manfaat umat islam dalam Pahang.

Sepanjang Bulan Zakat dan Wakaf dilaksanakan, sebanyak 49 program promosi zakat dan wakaf telah dirancang dan adalah diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan umat Islam untuk berzakat dan berwakaf.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial