CABUTAN BERTUAH PKZ PAHANG HARGAI PEMBAYAR ZAKAT DISEMBER 2025

KUANTAN, 29 Januari 2026 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) telah mengadakan Cabutan Bertuah PKZ Pahang sebagai tanda penghargaan kepada para pembayar zakat yang telah menunaikan kewajipan mereka pada Disember 2025.

Cabutan bertuah ini telah dilaksanakan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi PKZ Pahang, iaitu Facebook, TikTok dan YouTube, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan proses cabutan secara telus dan terbuka.

Seramai 11 orang pemenang telah berjaya dipilih dalam cabutan bertuah tersebut, melibatkan pembayar zakat yang telah menepati syarat penyertaan seperti yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Kempen cabutan bertuah ini merupakan inisiatif PKZ Pahang bagi menggalakkan budaya berzakat secara konsisten di samping menghargai komitmen para pembayar zakat.

Kempen cabutan bertuah ini telah diiklankan lebih awal menerusi media sosial PKZ Pahang sepanjang bulan Disember 2025, bagi memberi makluman dan peluang kepada para pembayar zakat untuk turut serta dalam kempen tersebut.

Pihak PKZ Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang telah menyokong kempen ini serta menunaikan kewajipan zakat mereka. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat terus menyemarakkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat Islam terhadap kepentingan berzakat demi kesejahteraan asnaf dan pembangunan ummah di negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial