DAKWAH ZAKAT DI KARNIVAL SEGALANYA FELDA

RAUB, 2 Oktober 2023 – Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) Zon Barat telah menyertai ‘Karnival Segalanya Felda’ anjuran Pejabat Felda Wilayah Mempaga bertempat di Dataran Felda Chemomoi, Bentong. Menurut pihak Felda, objektif program ini diadakan sebagai satu medium mendekatkan komuniti Felda setempat dan mengangkat agenda kebersamaan serta menyemarakkan semangat kesepaduan masyarakat di tanah rancangan itu.

Program yang berlangsung selama 2 hari ini telah dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Anwar bin Ibrahim. Seramai tiga orang kakitangan PKZ Pahang Zon Barat terlibat menjayakan program tersebut dengan membuka kaunter zakat dan wakaf sepanjang program ini berlangsung. Beberapa agensi kerajaan lain turut bersama-sama menjayakan program ini di antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Program ini telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat dengan kehadiran hampir 500 orang pengunjung sepanjang program berlangsung.

Sepanjang program ini diadakan, PKZ Pahang dapat menyampaikan maklumat berkaitan dengan zakat dan wakaf kepada para pengunjung yang hadir melalui sesi taklimat dan kaunter penerangan yang disediakan. Sepanjang program ini dijalankan PKZ Pahang telah menerima bayaran wakaf tunai daripada 3 pembayar baru dan 4 orang pengunjung telah membuat potongan wakaf melalui potongan gaji bulanan.

Adalah diharapkan program seumpama ini mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam memahami kewajipan zakat dan wakaf, seterusnya menjadi penyumbang kepada dana zakat dan wakaf negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial