DAKWAH ZAKAT TERNAKAN KEPADA PENTERNAK DI BENTONG

BENTONG, 12 Februari 2025 – Pusat Kutipan Zakat Pahang Dan Wakaf Pahang (PKZWP) baru-baru ini mengadakan sesi dakwah mengenai kewajipan menunaikan zakat ternakan di kalangan penternak di Felda Chemomoi, Bentong. Antara penternak yang menerima pencerahan tentang kewajipan zakat ternakan ialah Mohamad Asyraf bin Sharudin, seorang penternak muda berusia 29 tahun yang mengusahakan ternakan lembu fidlot dan integrasi dengan baka KK (Kedah-Kelantan). Asyraf yang telah bergiat dalam industri ternakan selama lebih 10 tahun, turut mengendalikan perkhidmatan jualan korban dan aqiqah setiap tahun.

Menurut Mohamad Asyraf, pencerahan yang diberikan oleh pihak PKZWP sangat penting kerana ia membuka mata beliau tentang tanggungjawab sebagai seorang penternak dalam menunaikan zakat ternakan. “Saya kini lebih memahami kewajipan untuk menunaikan zakat ternakan yang sebelum ini saya kurang jelas. Dengan penjelasan yang diberikan, saya akan lebih bersemangat untuk menunaikan zakat ini sebagai sebahagian daripada kewajipan saya sebagai seorang Muslim,” kata Asyraf.

PKZWP melalui program dakwah zakat ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran kepada penternak tentang kewajipan zakat ternakan, yang merupakan salah satu daripada jenis zakat yang wajib ditunaikan jika memenuhi syarat tertentu, seperti jumlah ternakan yang mencapai nisab dan genap setahun. Program ini tidak hanya memberi pencerahan tentang tatacara pengiraan dan pembayaran zakat ternakan, tetapi juga mengenai keberkatan yang diperoleh apabila menunaikan kewajipan ini.

Selain itu, pihak PKZP turut menekankan kepentingan zakat sebagai salah satu cara untuk membersihkan harta dan memupuk semangat kebersamaan dalam masyarakat. Dalam sesi tersebut, para penternak diberi penerangan tentang cara-cara mengira zakat ternakan lembu, serta prosedur pembayaran zakat melalui pusat kutipan zakat yang sah.

“Zakat bukan sahaja kewajipan agama, tetapi ia juga merupakan satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan dan memperkasa ekonomi umat Islam,” tambah wakil PKZWP dalam program dakwah tersebut.

Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai penternak di Pahang, seperti Asyraf, akan menunaikan zakat ternakan mereka dengan lebih faham dan ikhlas, sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan umat Islam dan pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial