DISKUSI ZAKAT & WAKAF DI CAMERON HIGHLAND

CAMERON HIGHLANDS 8 Mei 2024 – Satu diskusi mengenai peranan zakat dan wakaf dalam mengurus sosio ekonomi umat Islam telah diadakan di tiga Masjid berbeza di Cameron Highland iaitu di Masjid Abu Bakar Tanah Rata, Masjid Kayangan Berinchang dan Masjid Kg.Raja. Ini merupakan satu lagi program dalam siri jelajah oleh Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang dalam usaha menyebarluas pengetahuan mengenai zakat dan wakaf ke seluruh negeri Pahang.

 Diskusi yang bertempat di Masjid Abu Bakar diketuai sendiri oleh Dato’ Hj Halidan Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang bersama En Zaisam bin Zainal Pengurus PKZ Zon Barat dan Ust Felza Zulrafaee, Pengurus PKZ Zon Timur selaku moderator, diskusi tersebut telah menekankan bahawa zakat yang dikeluarkan oleh mereka yang mempunyai kekayaan telah dapat membantu mengeluarkan umat Islam dari terperangkap dalam belenggu kemiskinan dan kesusahan. Oleh itu, Pusat Kutipan Zakat Pahang atau PKZ senantiasa berusaha membantu umat Islam dalam urusan memudahkan umat Islam untuk menunaikan zakat harta. Apa pun harta kekayaan yang dimiliki samada hasil perniagan besar mahu pun kecil, pendapatan dari gaji atau upah serta wang simpanan, hendaklah disemak sama ada telah mencukupi syarat yang mewajibkan mengeluarkan zakat.

Manakala suasana penuh semangat di Masjid Kayangan Brinchang, telah dihadiri oleh Pengerusi dan ahli jemaah masjid serta penduduk tempatan. Tuan Haji Mohd Asri bin Awang, selaku moderator telah memulakan diskusi dengan menjelaskan betapa pentingnya zakat dan wakaf dalam memperkuat aspek keagamaan, ekonomi dan sosial umat Islam. Seterusnya, panel pertama, Tuan Haji Che Samsol Ibrahim selaku Timbalan Pengurus Besar Zakat Pahang, telah menjelaskan tentang kewajiban zakat adalah satu bentuk ibadah yang mampu membawa keberkatan dalam kehidupan umat Islam. Beliau juga memberikan contoh-contoh bagaimana zakat yang disalurkan dengan sempurna dapat membantu meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan. Sementara panel kedua, Dr. Mohd Syakir bin Mohd Taib sebagai Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, pula menerangkan mengenai pelaksanaan dan manfaat wakaf dalam konteks pembangunan agama, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sosial di Pahang yang menjadi pemangkin bagi menyelesaikan masalah kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Manakala di Masjid Kampung Raja pula, diskusi yang betajuk Zakat & Wakaf Pentingnya Peranan Masyarakat” telah disampaikan oleh dua orang ahli panel iaitu Tuan Hj Azmi Bin Othman, Ketua Bahagian Korporat & Dakwah Pusat Zakat Pahang dan Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Pemasaran & Dakwah Wakaf Pahang.Diskusi tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Zafridan Bin Md Daud, Ketua Bahagian Pemasaran PKZ Pahang.  Antara topik yang dibincangkan termasuklah pentingnya zakat dalam ekonomi Islam, peranan wakaf dalam pembangunan komuniti, serta strategi untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam amalan kedua-dua konsep tersebut.

 Diskusi ini juga turut menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para jemaah. Semoga, diskusi ini dapat memberikan kefahaman betapa zakat dan wakaf merupakan kaedah yang amat penting bagi umat Islam menguruskan harta masing-masing. Semangat untuk memahami dan mengamalkan nilai-nilai zakat dan wakaf semakin diperkukuhkan melalui program seperti ini. Kepelbagaian pandangan dari ahli panel serta interaksi bersama jemaah telah menjadikan program ini sebagai satu platform yang berharga bagi memperkukuhkan kefahaman dan komitmen terhadap amalan zakat dan wakaf dalam masyarakat tempatan khususnya di negeri Pahang.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial