LEBIHAN HARTA DARI KEPERLUAN BIASA
Sebahagian ulama-ulama fiqh berpendapat bahawa zakat hanya diwajibkan ke atas harta kekayaan yang berlebihan daripada keperluan biasa pemiliknya. Contohnya ialah harta yang berlebihan setelah ditolak dengan perbelanjaan harian. Hal ini kerana, menurut mereka, harta yang berlebihan inilah yang dipanggil sebagai kekayaan dan membolehkan seseorang itu menikmati kemewahan dan lebihan ini wajib dikenakan zakat. Menurut mereka, keperluan harian mesti dipenuhi terlebih dahulu contohnya makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Sekiranya seseorang hanya sekadar mampu untuk menyara keperluan harian sahaja, maka dia tidak dikira sebagai orang yang hidup mewah kerana keterbatasannya untuk bermewah-mewah dan ini tidak melayakkannya untuk mengeluarkan zakat dari lebihan hartanya.
Walaubagaimanapun, ada sesetengah ulama yang terdiri dari ulama mazhab Hanafi, tidak meletakkan penentuan ini (lebihan harta dari keperluan biasa) sebagai suatu penentu sesuatu harta itu dikenakan zakat. Menurut mereka yang berpendapat sedemikian, harta yang digunakan untuk kegunaan harian seperti pakaian, rumah, makanan tidak boleh dikira sebagai harta yang berkembang kerana ianya dikira sebagai harta rutin untuk kegunaan peribadi.
Menurut mereka (ulama mazhab Hanafi), keperluan harian merupakan sesuatu yang besifat peribadi dan tidak boleh dicabuli sewenangnya. Islam begitu menjaga kepentingan individu dan tidak sesiapa pun boleh melanggarnya sesuka hati. Menurut mereka, sesuatu harta itu boleh dikira berlebihan sekiranya lebihan dari harta itu dapat diniagakan supaya apa yang dimaksudkan dengan pertumbuhan itu wujud. Sekiranya tidak wujud sebarang pertambahan, maka harta itu tidak boleh dikenakan zakat.
Landasan bagi mereka yang berpendapat lebihan harta dari keperluan biasa sebagai penentuan dikenakan zakat berdasarkan Al-Quran dan Hadis:
Sebahagian ulama menetapkan syarat bahawa “lebihan harta dari keperluan biasa” adalah syarat untuk harta dikenakan zakat berdasarkan kepada hadith daripada Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya yang bersumber daripada Abu Hurairah iaitu:
“Zakat hanya dibebankan di atas bahu orang yang kaya”.
Imam Bukhari pula meriwayatkan hadith tersebut dalam kitabnya Sahih Bukhari dalam bab “Nasihat-nasihat” pada bab yang berkaitan dengan zakat. Bagi orang yang mempunyai keluarga yang sangat memerlukan harta, atau mempunyai hutang yang harus dibayar, maka hutang itu lebih penting dibayar daripada dikenakan zakat.
Dalil lain yang menunjukkan “Harta yang lebih dari keperluan biasa” wajib dikenakan zakat ialah berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu Muhammad tentang apa yang akan mereka nafkahkan. Katakanlah, “Yang lebih dari keperluan”.
Menurut Ibnu Abbas, maksud perkataan “Yang lebih dari keperluan” dalam surah al-Baqarah itu ialah sesuatu yang lebih dari keperluan keluarga (lebihan harta).
Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa Allah yang maha bijaksana telah menetapkan bahawa hanya harta yang berlebihan sahaja yang akan dikenakan zakat manakala harta yang digunakan untuk peribadi seperti makan, pakaian, dan tempat tinggal langsung tidak diganggu gugat.
Ibnu Kathir pula menyatakan bahawa syarat “Harta yang lebih dari keperluan biasa” akan dikenakan zakat berdasarkan kepada satu lagi hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Jarir dengan sanadnya daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Seorang lelaki telah berkata, “Saya mempunyai wang sebnyak satu dinar wahai Rasulullah.” Rasulullah menjawab, “Berikanlah kepada dirimu sendiri.” Ia bertanya lagi, “Saya mempunyai wang lagi.” Nabi menjawab, “Berikanlah kepada isterimu”, Ia bertanya lagi. “Saya masih mempunyai wang lagi”. Rasulullah menjawab, “Berikanlah kepada anakmu”. Ia bertanya lagi, “Saya masih mempunyai wang lagi”. Rasulullah menjawab, “Ini bererti kau telah mempunyai kelapangan”.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my