Al-Quran tidak memberi keterangan yang jelas tentang kekayaan yang wajib dizakatkan dan tidak pula menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipenuhi serta tidak menjelaskan juga tentang berapa banyak atau jumlah yang harus dizakatkan melainkan hanya menyentuhnya secara umum.
Sebagai menjelaskan dan menerangkan perkara-perkara di atas, Sunah Nabi (sama ada berbentuk ucapan atau perbuatan) yang akan mentafsirkan perkara-perkara yang bersifat umum, menerangkan perkara yang masih samar-samar dan mengkhususkan perkara yang terlalu umum, menjadi contoh atau qudwah dalam setiap pelaksanaannya. Ini kerana Rasulullah s.a.w bertanggungjawab dalam menjelaskan al-Quran melalui ucapan, perbuatan dan ketetapan baginda kerana baginda s.a.w lebih faham tentang maksud firman Allah dan al-Quran.
Allah S.W.T dalam menjelaskan perkara di atas melalui ayat 44 surah an-Nahl yang bermaksud: (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
Terdapat beberapa jenis kekayaan yang disebutkan dan diperingatkan di dalam al-Quran untuk dikeluarkan zakatnya sebagai hak Allah S.W.T antaranya:
- Emas dan perak, firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
- Tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam surah an-An’aam yang bermaksud: “Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”
- Hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
- Hasil perut bumi. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 267 juga yang bermaksud “Dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
Selain dari apa yang disebutkan di atas, al-Quran hanya merumuskan apa yang wajib dizakatkan itu dengan rumusan yang umum iaitu dengan perkataan “harta kekayaan” seperti firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:
“Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”
Dan juga firman Allah di dalam surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud:
“Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
Terminologi dan Pengertian “Harta Kekayaan”
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi tentang istilah “harta kekayaan” ini?
“Harta kekayaan” (amwal) merupakan bentuk jamak (bilangan ramai atau banyak) dari kalimah (mal) dan mal bagi istilah orang Arab (bahasa yang diturunkan al-Quran) adalah “segala sesuatu yang diinginkan sekali oleh manusia menyimpan dan memilikinya”. Berdasarkan kepada maksud di atas maka unta, lembu, kambing, tanah, kelapa, emas, perak dan lain-lain adalah harta kekayaan. Oleh kerana itulah ensiklopedia-ensiklopedia Arab sebagai contoh al-Qamus al-Muhith dan Lisan al-Arab mengatakan bahawa harta kekayaan adalah segala sesuatu yang dimiliki namun bagi orang-orang kampung atau desa sering menghubungkannya dengan ternakan atau tanaman dan orang-orang bandar atau kota menghubungkannya dengan emas, perak dan pendapatan harian melalui perniagaan atau perkhidmatan tetapi semua ini adalah harta kekayaan.
Ibnu Asir mengatakan “Kekayaan pada mulanya bererti emas dan perak, tetapi kemudian berubah pengertiannya menjadi segala barang yang tersimpan dan dimiliki.”
Tetapi ulama-ulama Feqh berbeza pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan pengertian harta kekayaan ini. Sebahagian fuqaha’ menyatakan harta kekayaan adalah segala yang dapat dimiliki dan dapat digunakan secara kebiasaannya. Kekayaan hanya dapat disebut kekayaan apabila memenuhi 2 syarat iaitu dimiliki dan boleh diambil manfaatnya secara kebiasaannya.
Sesuatu yang dimiliki dan boleh diambil manfaatnya adalah kekayaan yang berbentuk seperti tanah, binatang, barang-barang kelengkapan dan wang ringgit. Bagi sesuatu yang tidak dapat dimanfaatkan tetapi mungkin boleh dimiliki dan mungkin boleh diambil manfaatnya juga termasuk dalam istilah kekayaan sebagai contoh segala yang boleh diambil seperti ikan di laut, burung di langit binatang di hutan dan sebagainya.
Sebaliknya sesuatu yang tidak mungkin dimiliki tetapi dapat diambil manfaatnya seperti cahaya dan panas matahari dan seumpama dengannya tidaklah termasuk dalam istilah ini. Begitu juga tidak termasuk dalam istilah kekayaan, sesuatu yang dimiliki pada dasarnya seperti memiliki segenggam tanah, setitis air, seekor lebah, sebutir beras dan seumpama dengannya tetapi tidak dapat diambil manfaatnya.
Hasil dari definisi di atas menunjukkan bahawa harta kekayaan itu bermaksud hanya kepada sesuatu benda yang wujud sehingga dapat dipegang dan dimiliki sahaja tidak termasuk manfaat dari sesuatu benda tersebut.
Sebahagian fuqaha’ yang lain pula menyatakan bahawa manfaat-manfaat itu termasuk dalam istilah harta kekayaan, menurut mereka yang penting bukanlah dapat dimiliki sendiri tetapi dimiliki dengan menguasai sumbernya. Yang pastinya adalah manfaat-manfaat itu dapat dikuasai dengan menguasai tempat dan sumbernya sebagai contoh seseorang memiliki sebuah kereta dan dia menghalang orang lain untuk menggunakan kenderaan itu tanpa izinnya.
Ibnu Najim mengatakan bahawa kekayaan, sesuai dengan yang ditegaskan oleh ulama’ Usul Feqh adalah sesuatu yang dapat dimiliki dan disimpan untuk keperluan. Ini dari satu sudut dan dari satu sudut yang lain pula beliau menyatakan manfaat itu adalah kekayaan kerana dengan manfaat ini pada dasarnya berubah fungsinya (manfaat) menjadi kekayaan itu.
Walau apa pun perbezaan pendapat di atas, yang kita ambil iktibar di sini adalah bahawa kekayaan pada dasarnya adalah sesuatu yang berwujud (memang ada, boleh dipandang,dipegang dan seumpama dengannya) dan itulah yang wajib dizakatkan.
Waallahu ’alam.
Disusun Oleh :
Us. Felza Zulrrafaaee b. Abd Hamid
Ketua Bahagian Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my