PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN DENGAN TAKSIRAN DAN PEMBAYARAN ZAKAT

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013

a) Seksyen 24 – Enggan memberi taksiran pendapatan

“Mana-mana orang yang dikehendaki memberi penyata atau taksiran pendapatannya berhubung dengan zakat dan fi­trah dalam tempoh yang ditentukan dengan sengaja enggan atau cuba mengelakkan diri daripada berbuat demikian dengan tiada sebab yang munasabah ataupun memberi penyata atau taksiran yang palsu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

b) Seksyen 25(2) – Menghasut supaya mengabaikan kewajipan agama

“Mana-mana orang yang dengan apa-apa cara menghasut atau menghalang mana – mana orang Islam daripada membayar zakat atau fi­trah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

c) Seksyen 39 – Pembayaran zakat atau ­fitrah kepada orang yang tidak diberi kuasa

“Mana-mana orang yang membayar atau menyebabkan supaya dibayar zakat atau ­fitrah kepada mana-mana orang yang tidak diberi kuasa secara sah untuk memungut zakat atau ­fitrah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

d) Seksyen 40 – Tidak membayar zakat atau fi­trah

“Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fi­trah tetapi –

a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau ­fitrah itu; atau enggan membayar atau

b) dengan sengaja tidak membayar zakat atau fi­trah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fi­trah,

melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.