FGV HOLDINGS TUNAI ZAKAT DAN MENGAGIHKAN WAKALAH ZAKAT

KUANTAN, 29 Ogos 2024 – Pusat Kutipan Zakat Pahang – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (PKZ-MUIP) menerima RM1.6 juta bayaran zakat daripada FGV Holdings Berhad. Pengerusinya, YBhg. Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dan MUIP dalam menyalurkan sebahagian wakalah zakat perniagaan FGV. “Usaha ini mencerminkan komitmen kami (FGV) untuk membantu komuniti-komuniti setempat terutamanya di sekitar operasi perniagaan FGV,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV Dan Agihan Wakalah Zakat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, pagi tadi. Untuk rekod, FGV Holdings Berhad telah mengeluarkan sebanyak RM9.8 juta zakat bagi seluruh negara. Turut berangkat pada majlis itu ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain dan Timbalan Pengurus Besar PKZ Pahang, Haji Che Samsol Ibrahim. Menurut Dato’ Ahmad Hairi, sehingga 25 Ogos 2024, zakat Pahang mencatatkan peningkatan kepada RM100 juta dengan seramai 87,437 orang pembayar zakat berbanding tempoh sama pada tahun lalu sebanyak RM94.6 juta dengan 86,121 pembayar zakat. “Ini bermakna berlaku peningkatan sebanyak 5.7 peratus atau bersama RM5.4 juta. Dengan pertambahan jumlah kutian zakat ianya secara langsung dapat membantu lebih ramai lagi asnaf di negeri Pahang ini,” katanya.

Pada majlis sama, FGV Holdings Berhad turut mengagihkan wakalah berjumlah RM2.1 juta kepada 21 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin, pesakit kronik yang menjalankan rawatan dialisis di Pusat Rawatan Dialisis MUIP, pusat-pusat pendidikan dan sekolah serta rumah-rumah kebajikan.

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Kongsikan di media sosial