KUANTAN, 4 Oktober 2024 – Pusat Kutipan Zakat Pahang – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (PKZ-MUIP) bersama FOMEMA Sdn Bhd telah mengadakan majlis agihan wakalah zakat yang berlangsung di Penthouse Hotel Grand Darulmakmur baru-baru ini. Dalam acara tersebut, syarikat FOMEMA Sdn Bhd telah menyumbangkan sebanyak RM110,000 kepada 11 institusi yang terpilih. Majlis ini bertujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dan menyokong pelbagai aktiviti kebajikan di seluruh negara khususnya di negeri Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Sdn Bhd, YBhg. Dr. Mohd Afiq Farhan bin Md Hanif, dalam ucapannya menyatakan bahawa agihan zakat ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat dan tanda komitmen FOMEMA dalam membantu masyarakat. Beliau berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada penerima dalam mengembangkan agama Islam dan berkhidmat kepada ummah.



Antara institusi yang menerima sumbangan termasuk rumah kebajikan, sekolah rendah, dan pusat pendidikan. Acara ini turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Dr Asmadi bin Abdul Rahaman, Timbalan Pengurus Besar PKZ Haji Che Samsol bin Ibrahim, pegawai-pegawai dari PKZ-MUIP dan pengurusan kanan FOMEMA Sdn Bhd. Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada pihak syarikat FOMEMA Sdn Bhd dan seluruh kakitangannya.